08 December 2012

Induksi..


InsyaAllah, beberapa hari sahaja lagi, saya akan memulakan kerjaya saya seorang doctor, bermula dengan kursus induksi pada minggu hadapan.

Di mana tempat kerjaya saya? Saya masih tidak tahu, namun, doakanlah ianya terbaik untuk saya, keluarga, kerjaya dan dakwah dan tarbiyah ini. Kepada Allah saya bertawakkal.

Bila dilihat kembali lebih 20 tahun yang lepas saya seakan tidak percaya dengan pelbagai sekali rintangan hidup yang telah saya lalui. Bermula dengan lahirnya di atas muka bumi ini, kemudian membesar hingga sekolah rendah dan menengah. Diikuti dengan pengajian di university di bidang perubatan dan kini sudah pun menerima ijazah, berkahwin dan macam-macam lagi.

Kesemua itu berlaku dalam masa lebih 20 tahun yang lepas. Pantas sekali masa berlalu. Tidak hairan, Allah mengingatkan perihal masa ini di dalam quran:

‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ – al-Asr

20 tahun yang lepas, saya mungkin tidak percaya dengan diri saya sekarang. Namun, itulah keajaiban makhluk Allah iaitu masa.

Kalau dulu, saya kerap kali dengar pelbagai cerita-cerita orang-orang yang sudah berkerjaya ini, terutama sekali doctor. Dengan kesibukannya, stress kerja, kengkangan masa, dan komitmen dalam tarbiyah. Dulu-dulu, masa sekolah rendah, saya selalu letakkan kerjaya doctor sebagai cita-cita.

Kini giliran saya. Tidak tahu apa akan jadi, dengan tambahan tanggungjawab sebagai seorang suami. Doakan kejayaan saya di dunia dan akhirat. Doakan agar saya tidak hanyut dengan kesibukan kerja, atau hanyut dengan keseronokan dunia.

Secara jujur, saya risau dengan masa akan datang yang penuh dengan tanda tanya. Kalau sekarang, saya mampu lagi untuk membaca quran, menghafal quran setiap hari dan pelbagai lagi amal peribadi. Namun, saya tidak pasti, sejauh mana saya dapat menambah amal dengan bebanan yang semakin meningkat.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadikan masa itu berkat dengan doa-doa dan usaha yang ikhlas dan baik. Kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan. Kita mungkin boleh merancang dengan penuh teliti apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan, tetapi siapa yang dapat menjamin ia akan berjalan dengan baik sepertimana yang kita rancangkan.

Kepada Allah, saya serahkan semua urusan hidup ini.

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata”(Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani)