Sebagai seorang yang masih bergelar pelajar, masa yang paling tidak saya minati adalah pada musim peperiksaan. Bukanlah kerana saya tidak mampu menjawab, namun, musim peperiksaan adalah musim yang paling tidak 'produktif' buat diri saya. Ia adalah masa yang saya agak terkongkong dengan pelajaran. Bukan sahaja blog tidak dikemaskini, malah yang lebih teruk daripada itu, kegiatan dakwah agak perlahan setiap kali musim peperiksaan.
Saya teringat pesanan seorang murabbi berkenaan mehnah seorang daie.
Mehnah seorang daie adalah apabila dia hanya bermain-main, lalai dan duduk tanpa berbuat apa-apa. Malah mehnah ini boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar apabila ia menjerut ke arah jahiliyah yang sentiasa menanti.
Realiti hari ini menunjukkan kita lebih gemar meluangkan sisa-sisa masa kita untuk dakwah. Lebih malang daripada itu, sudahlah masa sibuk dipenuhkan dengan urusan peribadi, apabila ada masa lapang, diisi pula dengan pelbagai jenis hiburan.
Lupakah kita pada firman Allah di dalam quran:
'... Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu infakkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya, Maha Terpuji' - 2: 267
Sedangkan tindakan menginfakkan sisa-sisa itu ditegah, apatah lagi jika kita mahu berurus niaga dalam urusan menegakkan agama. Pastinya 'barang' yang kita jual perlulah lebih baik dari 'barang' yang kita infakkan.
'Sesungguhnya Allah Membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh, atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah?.. ' - 9: 111
Ayat ini begitu dalam maksudnya. InsyaAllah saya akan sentuh di dalam entry lain.
Apapun, sedarlah, 'urusniaga' kita bukanlah seperti berniaga di pasar malam. Barang niaga kita bukanlah sekadar kereta Ferrari. Tetapi misi kita jauh lebih besar dan hakiki, tidak terbanding dengan urusan pelajaran kita.
Lupakah pula kita dengan kisah Abdullah bin Al-Mubarak dengan Al-Fudhail? Sedangkan Al-Fudhail yang merupakan seorang ahli hadis yang thiqah yang disibukkan dengan beribadah pun dikatakan sebagai 'ahli ibadah yang bermain-main'. Inikan pula kita yang bukannya disibukkan dengan ibadah.
Sedarlah bahawa Islam tidak memerlukan orang yang malas yang hanya mementingkan kepentingan diri. Tanggungjawab yang kita pikul sangat besar. Cukuplah dengan titik hitam kejatuhan khilafah lebih 80 tahun dahulu. Sanggupkah kita hanya menjadi pemerhati titik-titik hitam yang lain, tanpa kita sendiri ada sebarang sumbangan?
Masanya sudah tiba untuk saya dan anda berubah.
Peringatan-peringatan ini saya tujukan khasnya buat diri saya sendiri yang sangat mudah leka di musim peperiksaan ini, dan amnya buat sesiapa sahaja yang merasakan ia bermanfaat. Moga hamasah kita tidak pernah luntur.
Ya Allah, Mudahkanlah urusanku di dunia dan akhirat.
p/s ~ doakan kejayaan saya dalam semua peperiksaan sekarang.