Salam w.b.t.
Syukur ke hadrat Allah. Allah telah memanjangkan umur saya. Allah telah Memberi rezekinya berlimpah ruah pada saya. Dan Allah Masih lagi Mengurniakan nikmat Islam kepada saya.
Dan semalam sekali lagi, Allah Memudahkan urusan saya dalam peperiksaan ‘Surgery’ saya, meskipun saya amat sibuk kebelakangan ini. Sungguh, peperiksaan ini amat sukar dan sangat memenatkan untuk dipelajari. Saya menggunakan beberapa buah buku yang setiap satunya setebal lebih seribu mukasurat, hanya untuk satu peperiksaan. Itupun, saya masih rasakan tidak cukup, dan banyak ‘supplement’ lain yang saya gunakan. Sungguh, diri ini terasa amat kerdil berbanding dengan ilmu Allah yang tidak terbanding banyaknya.
Kebetulan, baru-baru ini, seorang saudara Muslim di sini ada menziarah ke bilik saya. Dan dia melihat buku-buku ‘Surgery’ yang berada di atas meja saya. Kemudian dia berkata kepada saya, ‘brother, how could you memorize and read these books when you can’t memorize the quran’.
Biarpun dengan nada gurau, kadangkala saya terfikir, ada benarnya kata-kata beliau. Sudah entah berapa tahun kita menghadap al-quran. Namun sangat sedikit sekali yang kite cuba dalami. Apatah lagi kuantiti yang kita hafaz.
Lantas, saya teringat firman Allah:
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni’matan) duniawi" (Al-Qoshosh : 77)
Kita diseru agar mengejar akhirat, tetapi usah dilupakan dunia. Namun, berapa ramai antara kita yang berbuat demikian. Malang sekali, kecenderungan kita adalah sebaliknya.
Kadangkala saya membandingkan usaha kita dalam pelajaran dengan mentadabbur al-quran.
Kalau belajar surgery, jika ada satu topik yang kita tidak faham, kita akan terus cari di sumber yang lain atau bertanya pada orang. Kita akan pastikan kita benar-benar faham agar tidak tersilap ketika menjawab kelak.
Setiap hari, walau sesibuk mana pun, kita akan pastikan saya ada membaca sesuatu soalan
Alangkah indahnya jika kita ada urgensi seperti itu untuk al-quran.
Alangkah indahnya jika kita sanggup meluangkan masa kita setiap hari untuk al-quran.
Alangkah indahnya jika kita ada perasaan cemburu dengan orang yang lebih ilmunya dengan al-quran.
Alangkah indahnya jika kita risau kita tidak benar-benar mendalami kitab suci ini hingga kita tersesat dari kehendak Tuhan sendiri.
Alangkah indahnya jika kita sanggup berbelanja lebih sedikit untuk memudahkan pemahaman kita tentang agama ini.
Alangkah indahnya.
Daie yang kosong dalamannya adalah umpama kenderaan yang tiada petrol. Biar seindah mana luaran, biar seteguh mana bahan binaan, andaikata tiada input, pastinya ia tiada gunanya. Maka jadilah ia besi buruk yang tidak mampu bergerak lebih jauh, malah ditinggalkan. Semakin jauh kita berjalan, semakin banyak petrol yang kita perlukan.
Ayuh mantapkan fikrah, tingkatkan ibadah, ketepikan perbahasan-perbahasan atas perkara khilaf dan rapatkan saf kita.
Kita jauh dari menjadi ahli ibadah. Usah dikata penggerak dakwah.
Ayuh penuhkan petrol kita.