03 January 2012

Ada Sesuatu Dengan Sepanyol..


Bismillah..

Saya baru sahaja pulang dari Spain. Ada apa dengan Spain? Bola? Suhu yang nyaman? Pantai yang cantik?

Berukhwah ketika sakit di Alicante. Bumi Allah itu luas..

Hakikatnya, saya baru sahaja pulang dari satu tanah yang pernah menjadi saksi kesungguhan para pendokong dakwah untuk berjihad.. satu tanah yang pernah satu ketika dahulu menjadi saksi ketulusan penyaksian syahadatul haq, satu tanah yang satu ketika dahulu pernah menjadi pusat ketamadunan dunia Islam, tanah yang satu ketika dahulu pernah dinaungi khilafah Islam yang disegani seantero dunia.. juga tanah yang pernah menjadi kubur para syuhada yang cintakan syurga.

Bumi itu subur dengan darah perjuangan!

Alhamdulillah, secara kebetulan, sebelum berjaulah ke Sepanyol, saya baru juga menziarah Budapest, Vienna dan Prague (buat pertama kali ;p). Kempat-empat negara ini punya kisah yang tersendiri dari perspektif penyampaian dakwah satu ketika dahulu. Amat panjang untuk saya ungkapkan semua. Namun diringkaskan cerita, Budapest pernah satu ketika dahulu dinaungi kerajaan Islam. Vienna pula menjadi pintu penghalang kepada kemasukan Islam di Eropah selama puluhan tahun dan Prague adalah antara bandar yang langsung tidak pernah sampai seruan Islam satu ketika dahulu. Berbeza dengan tiga bandar tersebut, Sepanyol pula bukan sekadar pernah dimasuki Islam, malah pernah menjadi pusat naungan pemerintahan khilafah Islam dan pernah menjadi pusat ilmu dan teknologi yang dikagumi dunia.

Allah berfirman di dalam quran:

Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah; Karena itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). - 3: 137

Ya, berbekalkan ayat ini beserta semangat ukhwah, kami menyelusuri bumi Andalus untuk memerhati sunnah-sunnah Allah. Sebenarnya saya sudah bercadang untuk ke sini sejak habis tahun satu lagi, namun alhamdulillah, baru sekarang ada kesempatan.

Sekali lagi, bumi ini subur dengan darah perjuangan!

Alhamdulillah, begitu banyak sekali pengalaman berharga dan mutiara perjuangan yang dapat diteladani. Meneliti perjuangan Musa bin Nusayr dalam pentarbiyahan individu-individu Muslim cukup mengharukan. Selepas pembukaan utara Afrika oleh 'Uqbah bin Nafi', Musa bin Nusayr tidak berputus asa dalam pentarbiyahan dan penyebaran dakwah di utara Afrika. Tidak hairan, lahirnya tokoh muda Tariq bin Ziyad yang hanya merupakan seorang rakyat biasa namun akhirnya berjaya memimpin pasukan Islam dalam menyebarkan dakwah ke Andalus pada tahun 711.

Tidak cukup dengan kejayaan Tariq bin Ziyad dalam misi menyebarkan risalah, hanya selang 21 tahun kemudian sahaja, Abdul Rahman al-Ghafiqi, seorang lagi pemuda hebat yang juga merupakan gabenor khilafah Umayyah di Andalus, mengetuai misi penyebaran risalah Islam ke Perancis. Namun, sayangnya, misi mereka tersekat di Tours, satu tempat yang tidak jauh pun dari Paris. Jika tidak, mungkin hari ini Paris menjadi salah satu bandar Islam di Eropah.

Itu kisah di awal zaman Umayyah. Di era seterusnya pula, usah ditanya nama-nama tokoh ilmuan Islam yang terkemuka dalam pelbagai bidang. Mereka disanjung dan dirujuk oleh seluruh pelusuk dunia. Di situlah ketamadunan bermula. Terasa teruja apabila dapat tahu banyak sekali penemuan bidang perubatan yang saya ceburi sekarang ini sebenarnya dimulakan oleh ilmuan Islam di Andalus seperti Ibnu Rusyd, Abu Qassim al-Zahrawi, Ibnu al-Arabi dan ramai lagi.

Dan Andalus akhirnya gah menjadi pusat pemerintahan dan rujukan masyarakat dunia. Ia pernah menjadi pusat tamadun dunia dan rujukan ahli ilmu seantero dunia. Bayangkan sewaktu kemuncak zaman tersebut, terdapat lebih 1500 buah masjid yang menjadi pusat penyebaran ilmu di Andalus dan beratus-ratus perpustakaan awam di Cordoba sahaja. Bahasa Arab menjadi medium perantaraan utama, dan banyak buku-buku mereka diterjemah ke pelbagai bahasa, terutama bahasa Latin.

Ibnu Rushd, antara tokoh ilmuan di Cordoba

Rasa gah itu terserlah apabila melawat al-Hambra dan juga Madinah az-Zahra. Saya sangat sukakan seni bina al-hambra. Seni binanya tidak terbanding dengan ratusan binaan-binaan tamadun Rome yang sudah saya saksikan sebelum-sebelum ini. Setiap inchi di al-Hambra adalah unik dan penuh dengan nilai seni dan nilai kehambaan kepada Yang Maha Pencipta! Entah berapa ratus ribu agaknya tulisan 'Tiada penakluk selain Allah' yang menghiasi seluruh kota al-Hambra. Tidak kurang pula dengan teknologi pengairan, geometri dan astronomi yang melengkapkan lagi keunikan al-Hambra.

I love every inch of al-Hamra.



Apapun, lawatan ke Cordoba sangat memilukan apabila melawat Mesquita, sebuah masjid besar yang boleh memuatkan lebih 20 000 jemaah, namun akhirnya ditukar menjadi cathedral. Malah ia juga dikatakan sebagai 'the worst architectural vandalism on the earth'. Sungguh memilukan apabila melihat mihrab yang dihiasi nama-nama Allah hari ini kelihatan bersama patung-patung manusia dan 'malaikat'. Bangunan yang satu ketika dahulu menjadi pusat ibadah dan ilmu hari ini dihiasi dengan berhala-berhala yang entah apa-apa. Solat tidak diizinkan sama sekali. Banyak lagi gereja di Cordoba yang pada asalnya merupakan masjid. Dan hari ini, masjid yang berada di Cordoba hanyalah sebuah bangunan yang sangat kecil yang saya kira hanya boleh memuatkan seramai kurang 100 orang.

Di Masjid Besar Cordoba, Mesquita yang cantik, yang kini ditukar menjadi gereja

Apapun, bagi saya, keunikan Andalus bukan terletak pada senibinanya, dan bukan pula pada keagungan tamadunnya yang menjadi ikutan sedunia. Yang lebih ajaib adalah rijal-rijal yang membawa dan mendukung panji-panji Islam! Mereka ajaib! Mereka hebat! Bagaimana mungkin hari ini kita dapat jumpa seorang tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu? Bagaimana mungkin hari ini kita dapat jumpa pemuda-pemuda bersemangat kental yang sanggup berdakwah beribu-ribu kilometer? Mereka ini bagi saya lebih hebat daripada keunikan binaan-binaan tahap super yang dapat disaksikan hari ini. Lebih hebat dari superman dan batman. Mereka lebih unik. Dan mereka membawa risalah yang sama seperti Rasulullah s.a.w. Mereka adalah orang-orang ajaib yang terhasil dari kitab yang ajaib iaitu al-quran. Dan dengan keajaiban itu, mereka menyebarkan kemakmuran di atas muka bumi.

Hari ini bumi yang pernah makmur di bawah pemerintahan Islam itu hanya menjadi tatapan bagi yang rindukan kekhalifahan. Dan semenjak kekalahan Islam di 'Battle of Tours' pada tahun 733, Islam tersekat dari tersebar ke Perancis. Dan kekalahan di Vienna pula membantutkan penyebaran Islam ke Czech Republic. Beratnya tugasan kita.

Bumi Cordoba menuntut pembelaan. Tidak kurang pula tempat-tempat yang lain. Ya, tugas kita berat.

Walau apa pun musibah yang berlaku, seperti kata-kata Muhammad Ahmad ar-Rasyid, yakinlah ia hanya gerhana, bukan terbenamnya matahari. Yakinlah dengan kebangkitan Islam. Semoga kita termasuk di kalangan sebahagian dari kebangkitan ini insyaAllah.



Persaudaraan kami lebih kuat dari mereka, insyaAllah :-)