21 July 2012

Episod Baru..

Bismillah...

Entry ini mungkin adalah entry terakhir saya dari Czech Republic ;p Beberapa jam lagi, insyaAllah, saya akan meninggalkan negara ini. Saya tidak tahu, bila lagi saya akan sampai ke sini. Entry ini mungkin ringkas-ringkas sahaja memandangkan saya perlu bersiap-siap sebentar lagi.

InsyaAllah, esok pagi saya akan memulakan perjalanan pulang ke tanah air setelah bermastautin di sini sekian lama. InsyaAllah saya akan menamatkan siri perantauan yang saya mulakan beberapa tahun yang lepas.

6 tahun berada di perantauan pastinya satu pengalaman yang tidak ternilai. Saya banyak mengenal erti kehidupan sepanjang 6 tahun di sini. Saya fikir minda saya jauh lebih terbuka setelah berada di luar negara berbanding sewaktu di Malaysia dahulu. Cara hidup di sini lain, budaya di sini lain, dan persekitaran juga lain. Natijahnya, pastinya adaptasi kita lain pula. Sedangkan situasi yang berbeza melahirkan hukum-hukum fiqh yang berbeza, inikan pula pengalaman dan cara fikir.

Sepanjang berapa tahun di sini, saya tidak tahu entah berapa banyak tempat di eropah yang sudah saya lawati. Jika dahulu, saya fikir kesemua orang eropah sama, tetapi apabila sampai di sini, jelas sekali di kalangan orang-orang eropah banyak sekali perbezaan nilai mereka. Latar belakang sejarah yang berbeza-beza mempengaruhi budaya yang berbeza, dan jika dihayati latar belakang sejarah mereka, banyak sekali pengajaran yang dapat diambil.

Kepelbagaian dan perbezaan tidak seharusnya menjadi pemisah, sebaliknya keunikan masyarakat majmuk patut membantu kita memuhasabah kekurangan yang ada pada kita.

'Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya).(Surah al-Hujurat : 13)

Ukhwah 

Saya juga tersentuh dengan ke'osem'an ukhwah sesama Muslim di sini. Saya masih ingat sewaktu pertama sekali saya sampai di sini, saya disambut dengan penuh kasih sayang oleh komuniti Islam di sini. Mereka kebanyakannya golongan pelajar dan profesional, tetapi keakraban yang mereka tunjukkan saya fikir melebihi sedara-mara kita di Malaysia.

Saya benar-benar merasai nikmat ukhwah sepanjang berada di perantauan. Satu nikmat yang saya fikir belum lagi saya kecapi di tanah air kita sendiri. Subhanallah, keakraban kami mengatasi usia, kerjaya dan warna kulit. Setiap kali terjumpa pasti kami akan bertegur sapa. Jika ada seorang dari kalangan Muslim di sini punya masalah, pasti orang-orang lain menawarkan untuk bantu. Malah, ada beberapa Muslim di sini yang beria-ia untuk tumpangkan saya hingga ke lapangan terbang. Subhanallah, jika dikenang kembali, jasa mereka terlampau banyak yang jika difikir dari segi logik akal, tidak masuk akal untuk orang yang tidak ada langsung pertalian darah untuk memberi bantuan-bantuan sedemikian. Saya cintakan mereka kerana Allah.

Nilai ini sangat kekurangan di Malaysia saya fikir. Di Malaysia, jangan dikata tolong, beri salam pun hanya pada orang yang dikenali.

D&T 

Di sini juga saya mengenal dakwah dan tarbiyah. Sejarah dnt saya tidaklah menarik seperti ikhwah-ikhwah yang lain. Namun, saya percaya ia banyak sekali mempengaruhi kehidupan saya di sini. Ia mempengaruhi siang dan malam saya. Visi saya yang asalnya datang sini hanya untuk belajar berubah setelah diperkenalkan dengan dakwah dan tarbiyah. Alhamdulillah, ternyata sekali memang osem! Ia memberi erti yang lebih besar kepada keberadaan saya di sini. Malah saya banyak dibimbing rakan-rakan usrah saya yang mantap-mantap belaka! (seriously, dorang super mantap!)

Akademik

Pembelajaran di sini mencabar belaka. Ya, saya betul-betul maksudkan cukup mencabar! Saya masih ingat sewaktu tahun pertama, setiap hari saya ada ujian di kelas. Usah disebut sewaktu peperiksaan akhir setiap tahun.

Di tahun klinikal pula, lain pula masalahnya. Dengan perlu belajar sedikit sebanyak bahasa tempatan, pastinya awalnya rasa sedikit kekok. Apapun, saya memuji doktor-doktor di sini yang punya 'skill' yang sangat bagus. Ramai doktor-doktor muda di sini mantap-mantap belaka. Saya teruja dengan teknologi perubatan di sini yang saya fikir lebih terkedepan dari kita di Malaysia. Apapun, saya lebih memuji sikap doktor-doktor di sini yang tidak mempunyai budaya 'senior-junior'. Mereka melakukan kerja secar profesional. Sepanjang 4 tahun saya membuat praktis di sini, belum pernah sekali saya melihat doktor senior memarahi doktor junior! Mereka menghormati satu sama lain dengan cukup profesional. Malah mereka melayan kami yang merupakan pelajar medik dengan cukup baik, seolah-olah kawan mereka sendiri. Demikian pula dengan profesor-profesor di sini yang cukup rendah diri. Ada sesetengah mereka hanya menaiki basikal ke kerja.

Apapun, alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah dengan prestasi akademik saya di sini. Daripada puluhan peperiksaan yang saya hadapi, saya belum pernah 'fail' walau sekali. Malah, saya sangat berpuas hati dengan 'grade' di setiap peperiksaan saya. Namun, bukan rezeki saya untuk mendapat 'red diploma' atau '1st class honour'.

Saya tidak pasti apa akan berlaku pada masa akan datang. Yang pasti, cabaran yang mendatang semestinya berbeza dengan cabaran yang saya hadapi sepanjang berada di luar negara. Saya berterima kasih kepada semua sahabat handai, kenalan-kenalan terutama saudara-saudara Muslim saya di sini atas pertolongan dan jasa baik mereka yang tidak terkira banyaknya. Buat para pembaca, doakan kesejahteraan saya dan doakan Allah Memberkati hidup saya dan keluarga yang bakal saya bina nanti, insyaAllah.

Kita hanya musafir. Hanya orang asing dan pengembara.


Cau.. Kita beraksi di Malaysia pula, yer lepas ni, insyaAllah :-)

09 July 2012

Kerisauan..

Bismillah..

Ramai rakan-rakan saya yang sudah bekerja sebagai doktor bertanya bila saya mahu mula bekerja di Malaysia dan di mana. Saya hanya tersenyum tiap kali menerima persoalan tersebut. Semenjak selesai peperiksaan akhir saya tempoh hari, banyak perkara yang perlu saya uruskan. Hidup ini bukanlah semata-mata untuk belajar atau berkerjaya. Jika pelajaran adalah matlamat hidup kita, pastilah matlamat hidup saya sudah tercapai dan saya tidak punya apa-apa yang perlu difikirkan. Jika pangkat dan gelaran 'doktor' yang dicari, pastinya hidup saya sudah sempurna pada hari ini.

Tetapi hakikatnya, insan tidak akan pernah puas dengan apa jua pencapaian yang dicapai dalam hidup. Tanyalah orang kaya mana sekalipun, atau orang berpangkat mana sekalipun, saya yakin, tiada siapa yang benar-benar merasakan hidupnya sudah sempurna. Selagi mana seorang insan hidup di atas muka bumi ini, kita tidak akan pernah rasa sempurna hidup kita jika kita hanya meletakkan matlamat pada pangkat dan kedudukan.

Kerana itu al-quran telah pun meletakkan tujuan hidup yang mulia bagi insan. Al-quran telah meletakkan visi utama atas penciptaan kita.

'Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku' - 51: 56 

Hakikatnya tiada apa yang hendak dimegahkan hanya dengan mendapat gelaran 'doktor' atau apa sekalipun.

Lihatlah betapa tawaddu'nya sifat rasul s.a.w. dalam banyak perkara. Ketika rasul s.a.w. memasuki kota Makkah, dalam buku sirah diriwayatkan janggut baginda kena pada unta tunggangan baginda, bagi menunjukkan betapa tawaddu'nya sifat rasul s.a.w. menundukkan diri sewaktu memasuki kota Makkah.

Malah Allah memesan kita agar bertasbih, bertahmid dan beristighfar apabila memperoleh kemenangan. Kerana kadangkala kejayaan itu menduga hati kita lebih hebat dari dugaan ketika kita berada di bawah.

Saya ada membaca tentang situasi kerajaan uthmaniyah pada kurun ke 19 dan awal 20. Rupa-rupanya, kerajaan Islam yang berdiri ketika itu bukanlah satu kuasa yang saya sangkakan selama ini. Masyarakat dan sistem yang ada ketika itu sudah rosak dan saya fikir tidak jauh bezanya dengan masyarakat yang rosak pada hari ini. Malah dalam banyak perkara saya fikir masyarakat Islam yang ada pada hari ini lebih baik dari mereka ketika itu. Mereka dikhayalkan dengan kejayaan lampau. Dan sifat taqlid benar-benar telah membunuh masyarakat Islam sendiri. Hinggakan solat di Masjidil Haram sendiri berpecah kepada beberapa imam yang tidak bersatu di atas kefahaman yang sama. Ajaibnya, itu semua berlaku sewaktu dalam pemerintahan khilafah Islam.

Saya fikir jika demikianlah rupa khilafah Islam ketika itu, saya tidak hairan bagaimana mereka boleh jatuh dengan begitu mudah pada awal kurun ke-20. Hari ini kita menangisi kejatuhan khilafah, tetapi setelah membaca sejarah, saya fikir, tidak mustahil jika kita berada di zaman tersebut, mungkin kita sendiri termasuk di kalangan orang-orang yang menyokong pemansuhan sistem khilafah.

Banyak contoh lagi yang kita dapat teliti bagaimana sesuatu kejayaan kadangkala boleh mendatangkan kemudaratan yang cukup besar.

Saya cuma seorang hamba Allah yang dhaif. Di dalam hati ini, saya sebenarnya risau, apakah saya mampu hadapi pelbagai bentuk dugaan di masa hadapan. Moga-moga kesemua yang saya kecapi selama ini tidak menjadi fitnah pada diri saya.