13 October 2009

Satu Perjalanan..

Salam w.b.t.

Saya sedikit sibuk kebelakangan ini setelah mulanya kelas. Sebelum berbicara panjang, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan hari lahir kepada saya sewaktu ulang tahun hari lahir saya beberapa hari yang lepas. Saya memohon maaf kerana saya menerima banyak sekali ucapan namun banyak yang tidak saya jawab. Tidak lupa juga terima kasih buat adik saya Aisyah atas entry di blognya baru-baru ini :-) Semoga hidup kita semua diberkati Tuhan. InsyaAllah saya ingin menyentuh perihal ini dalam entry yang lain.

Usia yang meningkat banyak mengingatkan saya menginsafi pelbagai perkara yang telah saya lakukan selama ini. Kebetulan baru-baru ini saya ada membaca satu ayat quran yang menyebutkan:
'Allah lah yang Menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia Menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia Menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia Menciptakan apa yang Dia Kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa' - ar-Rum: 54
Sememangnya manusia itu lemah. Manusia sangat lemah. Kita bukan sahaja tidak mampu mengetahui apa yang dilakukan di rumah sebelah kita, malah di belakang badan kita pun kita tidak dapat melihat. Seorang doktor pakar jantung yang berkelulusan tinggi mana sekalipun tidak dapat mengawal denyutan jantungnya sendiri. Begitu kerdilnya kejadian kita. Kita sememangnya lemah dan kita akan menjadi semakin lemah ketika di penghujung usia. Pengalaman berjumpa pesakit di hospital sewaktu praktikal banyak mengajar saya betapa lemahnya manusia apabila usia sudah lanjut.

Kadangkala saya tertanya apakah yang dapat saya lakukan apabila usia yang sudah begitu lanjut dan badan yang lemah. Atau barangkali saya tidak sepatutnya menimbulkan persoalan tersebut memandangkan kehidupan pada hari esok pun tidak dapat dijamin lagi. Pemikiran-pemikiran sedemikian kadangkala merisaukan diri saya dengan peranan yang banyak yang perlu saya mainkan pada usia seperti sekarang ini.

Suatu Perjalanan

Apapun yang jadi dalam kehidupan kita, sejauh mana pun umur kita, yang pasti kita pasti akan menempuh maut suatu hari nanti. Maka terpulanglah pada diri kita bagaimana hendak kita corakkan hidup kita.

Saya suka untuk memberikan satu analogi.

Pada suatu masa ada 3 orang yang sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah destinasi. Destinasi tersebut adalah destinasi terakhir dan perjalanan tersebut pula hanyalah satu hala dan tiada U-turn yang dapat dibuat. Orang yang pertama berjalan sepanjang perjalanan tersebut dengan penuh gembira. Dia gelak ketawa, melihat keindahan alam, menghirup udara yang segar, melihat haiwan-haiwan di kiri dan kanan jalan gunung-ganang yang indah dan sebagainya. Akhirnya tanpa disedari orang yang pertama ini sudah pun sampai ke destinasi terakhir. Dia sangat asyik dengan pemandangan yang indah sehingga terlupa untuk membawa sedikit pun bekalan untuk digunakan di sana.

Orang yang kedua pula lain ceritanya. Orang ini orang yang bijak sedikit dari orang pertama. Orang ini menghayati keindahan alam di kiri dan kanan kenderaannya. Namun sambil-sambil melihat alam, dia sempat mencapai makanan-makanan dan minuman di kiri dan kanan jalan sebagai bekalan di destinasi yang terakhir. Dia berusaha mencapai sebanyak mungkin bekalan supaya dia tidak kekeringan dan kelaparan di destinasi terakhir kelak. Namun dia sendiri tidak pasti cukupkah bekalan-bekalan yang dibawanya.

Orang ketiga lain pula kisahnya. Orang ini adalah paling bijak. Selain mencapai makanan minuman di kiri dan kanan jalan untuk dijadikan bekalan, dia membina 'pipe line' yang dapat menyalurkan makanan dan minuman kepadanya apabila dia tiba di destinasi terakhir kelak. Maka orang ini lah yang paling beruntung, kerana sumber bekalannya tidak putus-putus sampai walaupun dia sudah tiba di destinasi terakhir.

Siapakah watak-watak yang dimaksudkan di atas? Ketiga-tiga orang yang disebutkan menggambarkan 3 watak manusia yang berbeza di atas muka bumi ini. Destinasi terakhir pula merujuk kepada kematian yang merupakan satu destinasi yang pasti. Orang pertama adalah orang yang sibuk menikmati keseronokan dunia. Mereka sering berbincang tentan isu-isu yang tiada langsung manfaat sebagai bekalan di akhirat kelak. Mereka sibuk menonton wayang, bermain games, mengetahui 'update' tentang isu-isu hiburan, sibuk melancong ke luar negara dan sebagainya. Pendek kata mereka adalah orang yang LALAI. Mereka terlalu berseronok sehinggakan mereka terlupa langsung untuk menyediakan bekalan di akhirat kelak.

Sementara itu orang kedua pula adalah orang yang ada sedikit kesedaran perlunya ada bekalan di akhirat kelak. Mereka menikmati kehidupan dunia, namun mereka ada kesedaran untuk melakukan ibadah, menunaikan solat-solat sunat, berpuasa, membayar zakat dan sebagainya.

Orang yang ketiga pula adalah orang yang menghabiskan hidupnya dengan melakukan dakwah kepada orang yang lain. Mereka beriman dengan hadith Nabi s.a.w. yang dapat ditemui dalam kitab Riyadus Shalihin yang menyebutkan:
Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, 'Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa menyeru kepada hidayah maka baginya pahala seperti orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dari pahala mereka sedikit pun" 1391
Golongan ini menghabiskan hidupnya dengan meyeru manusia lain ke arah kebaikan. Mereka memberi manfaat kepada orang lain, dan tidak jemu menyampaikan dakwah dan ilmu kepada manusia lain ke arah kebaikan.

Justeru saya mengajak diri saya dan para pembaca yang lain supaya meringankan diri untuk berdakwah kepada orang lain. Tanggungjawab dakwah adalah tugas yang besar, yang penuh dengan cabaran, namun ganjarannya adalah pasti. Barangkali saya akan berbicara lebih banyak perihal ini pada masa lain.

Golongan manakah letaknya diri kita? Fikir-fikirkan..