20 June 2010

Antara Semalam dan Hari Ini..

Salam w.b.t.

Saya baru sahaja pulang dari bermain bola. Jam kini menunjukkan pukul 12.40am. Agak keletihan, tetapi lagi sejam lebih sudah masuk Subuh. Mungkin lebih baik jika saya menulis sedikit sementara masuk waktu Subuh pukul 2 pagi nanti.

Semenjak habis peperiksaan Neurology tempoh hari, saya banyak membaca artikel dan berita. Dan saya banyak juga membaca sejarah terdahulu yang berhubung kait dengan konflik isu Palestin yang kian menghangat ini.

Sebenarnya terdapat banyak persamaan antara kisah silam dan hari ini. Cuma wataknya sahaja yang berbeza.

Kisah Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi

Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi menawan Jerusalem pastinya diketahui semua. Namun, barangkali tidak ramai orang yang tahu bagaimana sebenarnya Salahuddin berjaya mengalahkan kuasa besar dunia ketika itu.

Sebenarnya sebelum Salahuddin menawan Jerusalem, beliau telah menawan kerajaan-kerajaan Kristian yang berada di sekitar Jerusalem. Ada juga kerajaan yang tidak ditawan, sebaliknya beliau menjalinkan hubungan dengan kerajaan-kerajaan Kristian tersebut. Malah ada kerajaan Kristian yang meminta perlindungan dari Salahuddin, sepertimana yang dilakukan oleh Yusuf Batit, iaitu seorang pemimpin Kristian Orotodoks yang meminta perlindungan dari Salahuddin kerana tahu kepimpinan di bawah kerajaan Islam lebih banyak kebebasan daripada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh penguasaan Kristian Latin yang berkuasa di Jerusalem.

Akhirnya penguasaan dan hubungan-hubungan baik ini telah memudahkan lagi gerakan Salahuddin dalam usahanya menawan semula Baitulmaqdis. Dan kita semua tahu bagaimana Salahuddin akhirnya menang di dalam pertempuran peperangan al-Hittin pada Julai 1187 Masihi.

Tidak perlulah saya huraikan bagaimana strategi-strategi yang digunakan sewaktu peperangan Hittin ini.

Namun perkara yang hendak ditekankan adalah, keadaan ini sebenarnya seolah-olah berulang kembali, namun wataknya sahaja yang bertukar. Strategi yang digunapakai oleh Salahuddin kini diadaptasi oleh Israel. Kita tahu kedudukan geografi Palestin pada hari ini yang dikelilingi oleh negara-negara Islam. Namun, hubungan rapat antara negara-negara Arab di sekeliling Palestin dengan Israel membuatkan kewujudan mereka tidak ada sebarang makna. Malah ada sesetengah negara yang meminta perlindungan dari Israel. Dan apabila keadaan sebegini berlaku, di mana negara-negara Arab di sekitar Palestin semuanya mementingkan diri dan menjaga hubungan dengan Israel, dengan mudahnya Israel menduduki tanah-tanah Palestin tanpa sebarang penentangan dari negara sekelilingnya.

Kisah Nabi Musa dengan Bani Israel.

Ayuh kita lihat pula kisah Nabi Musa dengan Bani Israel sepertimana yang diceritakan di dalam al-quran.

Saya suka untuk memetik beberapa ayat quran berkenaan Bani Israel, iaitu suatu kaum, yang dahuluya pernah mendapat kitab, sepertimana kita pada hari ini.

Firman Allah dalam surah al-Maidah:
'Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah Ditentukan Allah bagimu, dan jangalah kamu berbalik ke belakang (kerana takut kepada musuh), nanti kamu menjadi orang yang rugi' 5: 21

Ayat ini merakamkan perintah Nabi Musa a.s. kepada kaumnya supaya berjihad dan masuk ke tanah Palestin untuk menentang satu kaum yang kuat dan zalim yang menduduki Palestin ketika itu.

Namun, Bani Israel menjawab:
'Mereka berkata: "Wahai Musa! Sesungguhnya di dalam negeri itu ada orang-orang yang sangat kuat dan kejam, kami tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. Jika mereka keluar dari sana, nescaya kami akan masuk." - 5: 22
'Berkatalah dua orang laki-laki di antara mereka yang bertaqwa, yang telah diberi nikmat oleh Allah, "Serbulah mereka melalui pintu gerbang (negeri) itu. Jika kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan bertawakkallahkamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang yang beriman." - 5: 23

Menurut Ibnu Kathir, dua orang tersebut adalah Yusha' bin Nun dan Kalib bin Yufna'. Setelah itu, bani Israel menjawab lagi.

Mereka berkata, "Wahai Musa! Sampai bila pun kami tidak akan memasukinya selama mereka masih ada di dalamnya, kerana itu pergilah engkau bersama Tuhan-mu, dan berperanglah kamu berdua. Biarlah kami tetap (menanti) di sini sahaja." 5: 24

Demikianlah dia sikap pengecut bani Israel, iaitu satu kaum yang pernah dimuliakan Allah dengan para Anbia' dan kitab yang diturunkan sebagai petunjuk buat mereka.

Kita dengan Bani Israel

Sengaja saya ungkapkan peristiwa ini, buat renungan untuk kita, bahawasanya, seolah-olah sejarah ini berulang kembali, jika kita teliti dengan betul.

Walaupun ayat-ayat quran ini merujuk kepada Bani Israel, kita perlu ingat, bahawa al-quran ini diturunkan sebagai petunjuk buat kita, bukanlah sebagai cerita-cerita 'bed-time story' sepertimana murabbi saya selalu ingatkan. Ayat-ayat quran ini diturunkan untuk dijadikan pedoman buat kita, bukanlah untuk kita sekadar mengetahui cerita-cerita silam.

Biarlah bagaimana pengecutnya Bani Israel dahulu. Namun, realiti hari ini, umat Islam pada hari ini seolah-olah sedang menjurus ke arah sikap Bani Israel yang diceritakan di dalam quran tersebut.

Terdapat banyak persamaan antara situasi kita pada hari ini dengan keadaan Bani Israel ketika dahulu.

Kita terlampau takut untuk bertindak kerana takutkan orang-orang zalim, iaitu Zionis yang menduduki tanah suci itu.

Kita banyak memberikan alasan untuk tidak berjihad, walaupun telah banyak diberi nikmat oleh Allah.

Kita lebih suka menunggu daripada terlibat secara aktif.

Dan kita telah diberi kitab oleh Allah, sebagaimana Bani Israel dahulu.

Kesimpulannya sikap kita sebenarnya sangat mirip dengan kaum Nabi Musa terdahulu.

Namun apakah kesudahan kisah kaum Musa tersebut? Kedegilan dan sikap mereka itu akhirnya membuatkan diri mereka sendiri dihukum oleh Allah sepertimana yang diterangkan di dalam ayat ke 26 surah al-Maidah.

Apakah kita bersedia menerima hukuman dari Allah, sepertimana yang dikenakan ke atas Bani Israel sepertimana yang diceritakan dalam surah al-Maidah ayat 26 itu?

Sikap Kita

Mahu atau tidak, perubahan perlu berlaku. Tidak ada gunanya jika kita hanya menerima kitab dan membacanya tanpa kita mengambil sebarang pengajaran dari apa yang kita baca. Jika tidak, tidak ada bezanya sikap kita dengan ahli kitab sebelum kita.

Allah mencela sikap ahli Kitab sebelum kita kerana berpaling dari kitabullah yang diturunkan kepada mereka, lebih mengejar keduniaan dan mengabaikan perintah Rasul.

Maka sudah menjadi kewajipan untuk kita kaum Muslimin untuk menghentikan semua perbuatan yang membuatkan mereka (kaum ahli kitab) dicela oleh Allah s.w.t.

Firman Allah:
'Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka), dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. DAn banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik' - al-Hadid: 16

Semoga saya dan para pembaca beroleh manfaat. Akhir sekali, saya suka untuk berkongsi satu video menarik yang dikongsi oleh seorang rakan.


Ada seperkara lagi sebenarnya yang ingin saya utarakan, namun insyaAllah di entry seterusnya.

~Jam kini 1.35am. Mata sudah mengantuk namun perlu menanti lagi setengah jam untuk Subuh~



p/s - buat adik saya, Aisyah yang akan pergi menunaikan umrah, selamat pergi menunaikan umrah. Semoga mendapat keberkatan dan dilimpahi rahmatNya. Doakan abang juga ;p

08 June 2010

Orang Asing dan Pengembara

Salam w.b.t.

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Bukanlah tiada sebarang perkara yang berlaku sepanjang saya tidak menulis, cuma prioriti saya semakin berubah dari semasa ke semasa. Semakin lama, semakin banyak tanggungjawab yang dipikul. Kalau dahulu, bila ada sahaja masa luang, saya akan menulis, namun kini, setiap kali ada masa senggang, ada sahaja perkara lain yang perlu saya utamakan dahulu.

Apapun, syukur ke hadrat Allah, saya baru sahaja selesai subjek Neurology semalam dengan keputusan yang memuaskan. Dahulu, saya sungguh tidak gemar pelajaran ini, namun, semakin banyak dan semakin mendalam saya belajar, saya semakin jatuh hati dengannya. Itulah kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta'. Sehinggakan kadangkala saya merasakan seolah-olah ingin menjadi seorang 'neurologist' pada masa hadapan, kerana terlalu minat dengan bidang ini.

Neurology - subjek yang banyak buatkan kita berfikir ;p

Banyak perkara yang saya belajar dan ambil pengajaran sepanjang praktikal saya dalam blok Neurology. Mungkin tidak perlu saya huraikan di sini sekarang.

Sekali sekala menulis, saya rasakan terlampau banyak perkara yang hendak dikongsikan. Tidak tahu mana satu yang hendak didahulukan. Ya, sangat banyak idea dalam fikiran saya sebenarnya. Banyak sekali peristiwa-peristiwa yang penting yang saya rasa sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Apapun, biarlah saya simpan untuk entry-entry yang lain, kalau Allah izinkan. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi satu hadis Nabi yang saya belajar baru-baru ini. Sewaktu saya mencari-cari penafsiran hadis ini, saya sedang dalam kesibukan persiapan exam Neurology yang saya ambil semalam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
'Jadilah engkau di dunia laksana orang asing atau pengembara (yang sedang dalam perjalanan).... ' - Bukhari.
Barangkali ramai antara kita yang sudah mendengar hadis ini. Saya sendiri sudah banyak kali mendengarnya. Namun, kadangkala, sesuatu yang kita biasa dengar tidak sampai di hati kita jika kita tidak meneliti maksudnya.

Untuk menghayati hadis ini. Kita perlu jelas dengan konsep 'orang asing'.

Pertama, orang asing biasanya sentiasa bersedia untuk kembali ke tempat asal. Jika kita belajar di luar negara, tentu sekali kita selalu berusaha menghabiskan peperiksaan dan mengumpul duit supaya kita dapat pulang ke tempat asal kita. Kita cuba lakukan apa sahaja untuk memudahkan kita pulang ke tanah air kita.

Kedua, hati 'orang asing' juga sentiasa di tempat asalnya. Hatinya tidak terikat dengan tempat sementara yang sedang dilawati. Tidak kira betapa indah dan modennya tempat yang dikunjungi, pastinya hati kita sentiasa di tempat asal kita. Hati kita tidak mudah tertarik dengan tempat asing yang kita pergi.

'Orang asing' juga bukan seperti orang-orang di sekelilingnya. Rupa mereka berbeza. Sikap mereka berbeza. Tabiat juga berbeza. Usah dikata makanan kegemaran dan juga bahasa. Pendek kata, orang asing tidak bersifat sama dengan orang-orang setempat. Bagi yang berada di luar negara, kita dapat tahu sendiri betapa berbezanya kita dengan masyarakat setempat.

Demikianlah perumpamaannya dengan pesanan Nabi s.a.w. tentang hidup di dunia ini. Rasulullah berpesan agar kita menjadi 'orang asing' di dunia. Ertinya, hati kita seharusnya tidak terikat dengan dunia asing yang menjadi singgahan sementara kita ini. Kita juga seharusnya sentiasa bersedia untuk meninggalkan dunia ini. Hati kita seharusnya tidak berfokus pada dunia ini. Diri kita sendiri seharusnya bersifat berbeza dengan kebanyakan manusia di dunia ini. Jika tidak, kita bukanlah dikatakan sebagai orang asing.

Firman Allah di dalam quran:
'Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.. - al-An'am: 116
Pelajar luar negara pastinya lebih merasai hakikat menjadi 'asing' di bumi orang. Lokasi gambar: Karlovy Vary, Republik Czech

Namun demikian, Rasulullah, bukan setakat menyuruh kita menjadi 'orang asing', namun Rasulullah menyuruh kita menjadi 'pengembara' yang sedang dalam perjalanan.

Sifat pengembara pastinya lebih mencabar dari 'orang asing'. Sekurang-kurangnya, 'orang asing' ada menetap di satu-satu kawasan, namun pengembara adalah orang yang sentiasa dalam perjalanan siang dan malam untuk menuju destinasinya. Kalau pun berhenti, ia cuma akan berhenti sekadar untuk mengumpul kembali tenaga untuk meneruskan lagi perjalanan.

Orang asing juga sekurang-kurangnya ada menyimpan barang-barang yang lebih dari keperluan untuk menyara hidup. Sebaliknya seorang pengembara seboleh-bolehnya ingin mengurangkan lagi bebanan barang yang perlu diangkut dalam perjalanan.

Analoginya sangat mudah. Andaikata kita sedang melancong ke Italy, pastinya kita tidak akan membeli almari, kereta, atau perabot-perabot lain kerana kita tahu bahawa kita sedang dalam perjalanan dan kita tidak akan berada lama di situ.

Demikianlah pula perbandingannya dengan kehidupan di dunia ini. Jika kita hanya seorang pengembara di dunia ini, seharusnya kita tidak teringin pun untuk berbelanja berlebih-lebihan kerana kita sedar bahawa ini bukan destinasi kita, sebaliknya ia hanya satu singgahan dalam satu perjalanan yang panjang.

Kembara pastinya lebih mencabar

Pengembara juga mesti tahu arah tujunya, supaya dia tahu bahawa dia berada di dalam arah yang betul. Maka, seorang pengembara seharusnya memiliki ilmu dan teman yang dapat membantunya untuk menunjuk arah supaya sampai ke destinasi yang betul.

Sengaja saya kongsi analogi-analogi ini. Kebanyakan kita masih jauh dari perasaan zuhud apatah lagi bersifat seorang pengembara di dunia ini. Kadangkala kita terlampau risaukan peperiksaan kita sehingga kita melebihkannya dari perkara lain.

Baru-baru ini, sewaktu ramai sahabat saya pergi berdemonstrasi anti-Israel di ibu negara Republik ini, saya terlampau sibuk dengan persiapan peperiksaan sehingga tidak dapat menyertainya. Kebetulan ketika itulah saya mengkaji hadis ini, dan saya merasakan betapa hati saya sangat terikat dengan keduniaan.

Jika dunia yang lebih di hati kita, pastinya ia tidak akan pernah cukup bagi kita. Sebaliknya jika dunia dijadikan alat untuk destinasi sebenar, semestinya matlamat kita lebih jelas.

'Ya Allah, letakkan dunia ini di tanganku, bukan di hatiku'