23 August 2010

Asma' Iffah

Salam w.b.t.

Alhamdulillah, pada 18 Ogos 2010, kakak saya, Arbaeyah telah melahirkan anaknya yang diberi nama Asma' Iffah. Dengan kelahiran itu, bertambahlah seorang lagi ahli keluarga saya, dan bertambah juga bilangan anak sedara saya menjadi 3 orang. Lebih penting dari itu, bertambahlah seorang lagi Muslimat di atas bumi ini. Syukur pada Allah.

Rata-rata kelahiran bayi comel ini disambut dengan kegembiraan. Ramai yang mengucapkan kata-kata tahniah dan tidak kurang pula kegembiraan yang ditunjukkan oleh kakak dan abang kepada Asma' Iffah. Alya Mahdiya, iaitu kakak sulong kepada Asma' Iffah yang kini petah bercakap, jelas kelihatan gembira dan tidak habis-habis menceritakan perihal bayi kecil itu sekembalinya saya ke rumah 2 hari yang lepas.

Afiq Aliyuddin pula tidak kurang gembira dengan kelahiran adiknya yang pertama itu. Dia seringkali melihat dan mencium adiknya itu.

Maha suci Allah atas penciptaan manusia. Saya teringat penciptaan manusia yang diceritakan oleh Allah di awal surah al-Mu'minun.

Selamat datang, Asma' Iffah. Moga menjadi hamba Allah yang solehah dan semoga Allah murahkan rezeki sentiasa.

Buat kakak saya, Arbaeyah dan suami Asmadib,

Baarokallohulaka fiil mauhuubilaka, wa syakartal waahiba, wa balagho asyuddahu, wa ruziqta birrohu.
Semoga Alloh memberikan keberkahan untuk dirimu atas (karunia) yg diberikan kepadamu. Semoga engkau mensyukuri Yang Maha Memberi hingga sang anak menjadi dewasa dan menjadi anak yang berbakti.


p/s - gambar tidak dapat disertakan disebabkan ketiadaan kamera

15 August 2010

Repost - Hadis Dhaif, Maudhu' Bulan Ramadhan

Salam w.b.t.

Entry ini adalah 'repost' entry saya pada tahun lepas. Ia adalah antara entry yang paling banyak mendapat respon peribadi kepada saya tahun lalu. Semoga bermanfaat. Kepada Allah saya berlindung atas segala kelemahan diri saya.



Menjadi kebiasaan bagi masjid di sini membuat sesi tazkirah di antara solat tarawih pada waktu malam. Namun, seringkali dalam bulan puasa ini saya mendengar penceramah-penceramah menggunakan beberapa hadith dha'if dalam tazkirah-tazkirah yang disampaikan, dan perkara itu sudah banyak kali saya dengar. Ini bukanlah kali pertama saya mendengar ceramah-ceramah sedemikian. Sewaktu saya di Pulau Pinang baru-baru ini, saya juga ada mendengar tazkirah yang menghuraikan hadith-hadith palsu yang jika difikir logik sendiri tidak masuk akal. Antaranya penceramah tersebut menceritakan satu hadith berkenaan fadhilat-fadhilat solat fardhu. Contohnya jika tunaikan solat subuh, diampunkan segala dosa. Jika tunaikan solat zohor, dilepaskan dari api neraka, dan sebagainya.

Saya agak terkejut dengan penggunaan hadith-hadith sedemikian itu dengan begitu meluas rupanya di kalangan masyarakat Malaysia. Lebih malang, bulan Ramadhan yang mulia ini juga banyak dicemari dengan hadith-hadith yang sangat dha'if dan maudhu'.

Gambar hiasan - kesucian agama wajib dijaga bersama

Persoalan-persoalan sedemikian mendorong saya untuk membaca buku-buku dan mencari lagi sendiri pandangan ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam penggunaan hadith-hadith yang sedemikian.

Benar, para ulama' hadith bersepakat bahawa tidak boleh atau haram untuk menggunakan hadith maudhu' atau hadith palsu. Namun, berlaku sedikit perbezaan pendapat mengenai penggunaan hadith dha'if.

Imam-imam besar seperti imam Bukhari, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak boleh kita mempergunakan hadith dha'if untuk segenap pekerjaan, untuk segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu 'amal, supaya tidak ada yang mengatakan kepada Rasulullah perkataan yang tidak baginda katakan dan supaya tidak ada orang yang mengi'tiqadkan sunat sesuatu perkara yang tidak disunatkan.

Di sini saya ingin berkongsi salah satu ciri ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam mengambil sumber agama.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam menerima hadith yang lemah (dha'if) dalam persoalan yang menerangkan keutamaan sesuatu amal (Fada'il 'Amal), anjuran dan ancaman (al-Targhrib wa al-Tarhib) serta dalam persoalan yang didiamkan oleh al-Qur'an dan al-Sunnah.

Terhadap persoalan-persoalan di atas, sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah mencukupkan diri dengan hadith-hadith yang sahih dan hasan manakala sebahagian tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang lain menerima hadith dha'if dalam persoalan di atas hanya dibolehkan jika ia menepati 4 syarat berikut:

1. Hadith tersebut dipastikan memiliki kelemahan yang ringan. Hadith yang berat kelemahannya (Dha'if jiddan), palsu (maudhu') dan tidak diketahui asal-usulnya tidak diterima.

2. Hadith tersebut termasuk dalam asas-asas agama.

3. Hadith tersebut disampaikan dalam bentuk yang menunjukkan kelemahannya atau disampaikan sambil menerangkan kelemahannya. Tidak boleh menyampaikannya dalam bentuk yang pasti kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.

4. Hadith tersebut digunakan dalam suasana yang terpencil. Tidak boleh menggunakannya secara meluas atau dengan kekerapan yang tinggi kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ia adalah sahih.

(Rujuk al-Sakhawi rahimullah dalam al-Qaul al-Badi' fi FAdhli Shalat 'ala al-Habib al-Syafi', ms 472-472).

Maka jelaslah bahawa syarat-syarat penggunaan hadith dha'if dalam menurut ahl Sunnah wa al-Jama'ah sangatlah ketat. Justeru untuk memilih jalan yang selamat, adalah lebih baik kita tidak menggunakan hadith-hadith sedemikian.

Terdapat pelbagai ancaman bagi sesiapa yang menggunakan sumber-sumber hadith yang palsu. Mereka itu membuat dusta kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. ada menyebut dalam satu hadith
"Barangsiapa menceritakan hadith dariku dan hadith tersebut diketahui dusta (tidak sahih), maka dia adalah seorang pendusta" (HR. Muslim)
Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Janganlah kamu berdusta ke atasku. Sesiapa yang berdusta ke atasku, maka dia masuk neraka" - Riwayat al-Bukhari 1/52 dan Muslim 1/10
Sedarlah bahawa meriwayatkan suatu sumber yang palsu adalah dosa besar. Saya sudah pun menghuraikan dengan panjang lebar berkenaan ancaman-ancaman bagi mereka yang meriwayatkan sumber-sumber sedemikian dalam entry saya 7 bulan lepas yang bertajukKeutamaan Meriwayatkan Sumber Yang Sahih.

Antara hadith palsu yang biasa kita dengar di bulan Ramadhan ini ialah:

1. "Rejab itu bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"

Menurut Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam buku fatwa Mu'asyirah (1/384) bahawa tidak ada hadith yang shahih yang menceritakan tentang fadhilat bulan Rejab, kecuali yang menceritakan tentang ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram sebagaimana yang dinyatakan dalam surah at-Taubah: 36. Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi,
"Hadith ini dimaklumkan sebagai sebuah hadith yang mengandungi fadhilat Rejab. Hadith ini mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadith ini palsu!!.. yakni penipu... Maka bukanlah kepadanya mempunyai nilai ilmiah dan bukanlah mempunyai nilai agama... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration) dan semuanya adalah suatu pembohongan. Dari ini satu tanda penipuan di dalam hadith yang memasukan perkara yang berlebih-lebihan.. " (Fatwa Mu'asyirah 1/384-485).
Hujah Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dapat dilihat di sini.

Hadith palsu lain yang biasa kita dengar:

2. "Bulan Ramadhan adalah bulan yang di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan sedangkan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka"

Hujah untuk kedha'ifan hadith ini bolehlah lihat di sini.

Lebih menarik, hujah tersebut boleh juga dilihat di sini.

Sebenarnya banyak lagi hadith-hadith palsu yang biasa kita dengar berlegar-legar di dalam masyarakat kita pada hari ini. Di sini saya sertakan link antara hadith-hadith palsu tersebut, beserta hujah-hujahnya. [Klik sini]

Kesimpulannya hadith di atas merupakan hadith palsu dan tidak layak ia dijadikan sebagai dalil dan sandaran, apatah lagi diamalkan. Bulan Ramadhan memang tidak dapat dinafikan mempunyai fadhilat-fadhilat di dalam hadith-hadith yang bertaraf sahih yang boleh dibuat sebagai sandaran.

Ketahuilah bahawa meriwayatkan sesuatu yang dusta pada Rasulullah itu adalah kesalahan yang berat sepertimana yang saya jelaskan dalam entry dahulu. Janganlah kita terlampau ghairah berkata sehingga kita berdusta pada Rasulullah. Sebaiknya eloklah kita rujuk terlebih dahulu kitab-kitab yang mengandungi hadith-hadith sahih agar kita tidak melibatkan diri kita dalam berdusta dengan menggunakan nama Nabi s.a.w.

Kepada Allah saya berlindung daripada termasuk di kalangan pendusta agama.