01 February 2011

Bersabarlah.. Kemenangan Pasti Akan Tiba

Salam w.b.t.

Saya percaya senario yang berlaku di Timur tengah kebelakangan ini banyak membuka mata kebanyakan antara kita. Setiap kali buka sahaja facebook dan google reader saya, ada sahaja berita baru yang timbul. Isu ini cukup mendapat perhatian sehinggakan isu transfer window EPL yang kebetulan juga sedang berlaku sekarang, kurang mendapat tempat di kalangan kaki-kaki bola.

Bagi mereka yang sedang dalam perjuangan menegakkan khilafah, revolusi demi revolusi yang sedang berlaku pastinya menaikkan semangat kita seolah-olah kemenangan Islam itu semakin hampir.

Ya, 2011 seolah-olah menjadi satu lembaran baru buat dunia. Dan saya percaya, semua rentetan peristiwa yang berlaku sekarang bakal menjadi satu titik tolak besar dalam arus perjuangan gerakan-gerakan Islam di seantero dunia.

Bermula dengan pemecatan Muhammad Dahlan dari kabinet Palestin [rujuk sini] diikuti dengan revolusi di Tunisia, dan hanya beberapa hari kemudian, berlaku pula gerakan anti-Mubarak di Mesir. Tidak cukup dengan itu, pada masa yang sama, gerakan menentang kerajaan diktator berlaku di Jordan [rujuk sini] dan juga Yaman. Hari ini, kabinet Jordan dibubarkan, dan ayuh kita lihat senario yang berlaku seterusnya.

Harus kita ingat, rusuhan jalanan bukanlah satu pilihan yang mudah. Ianya tercetus apabila rakyat sudah berputus asa dengan sistem yang sedia ada bercampur dengan penindasan yang tidak mampu lagi ditahan.

Sungguh, penukaran kerajaan dengan cara revolusi bukanlah satu perkara baru dalam politik dunia ini. Negara Thai sudah beberapa kali mengalami revolusi, namun lihat sahaja hasilnya. Malah Hosni Mubarak sendiri naik menjadi Presiden Mesir melalui proses revolusi yang menjatuhkan Anuar Sadat lebih 30 tahun dahulu. Namun, kita dapat lihat bahawa revolusi semata-mata tidak cukup untuk menegakkan yang haq. Kenaikan Hosni Mubarak lebih 30 tahun dahulu lebih mendatangkan keburukan kepada dunia Islam.

Lihat pula revolusi di Afghanistan dan Iraq yang dibantu kuasa luar. Kerosakan dan peperangan semakin menular di negara-negara tersebut. Puak sunni ditindas di Iraq. Dan di Afghanistan, pemimpin sekarang hanya mengikut jari telunjuk musuh Islam sendiri. Di manakah manfaatnya revolusi seumpama ini kepada kita.

Namun, apa yang menarik di Mesir, proses revolusi yang tercetus agak berbeza. Mereka tidak dibantu oleh kuasa barat. Mereka tidak berbunuhan, malah mereka yang terbunuh, dan ketika masuk waktu solat, mereka berhenti dan menunaikan solat.



Apa yang menarik, revolusi-revolusi ini bakal memberikan impak yang cukup besar, terutama jika benar revolusi tercetus di Mesir. Tidak ada lagi sekatan ke atas Gaza. Ketiadaan sokongan Mesir ke atas Israel pastinya memberikan harapan baru buat kita dan rakyat Palestin. Ini tidak lagi termasuk jika pemimpin baru di Jordan juga melakukan perubahan.



Video di atas sudah cukup menggambarkan kegerunan kuasa barat apabila enggan menggesa 'true democracy' di Mesir, berlainan dengan pendekatan yang diambil di Tunisia.

Sekurang-kurangnya, proses perubahan ini memberikan sinar baru kepada kita akan benarnya hadis Nabi yang mengatakan Islam akan kembali naik semula atas manhaj kenabian selepas jatuhnya era Malikun Jabriyyah (raja yang mencengkam).

Semoga bumi yang menjadi titik tolak kebangkitan Ikhwanul Muslimin (yang kini diharamkan di Mesir) lebih 70 tahun dahulu sekali lagi bangkit dengan perjuangan yang sama.

Semoga bumi yang dahulunya pernah menjadi bukti kemenangan dakwah Nabi Musa menentang Taghut ini dapat sekali lagi membuktikan kemenangan haq ke atas batil dan menjadi titik tolak kemenangan yang haq di seluruh dunia.

Buat perjuang-pejuang Islam, bersabarlah! Kemenangan pasti akan tiba.

5 comments:

Anonymous said...

awesome..

Sarah CJ said...

What is your opinion regarding the statement below?
"Rose Revolution di Georgia, Orange Revolution di Ukraine,Tulip Revolution di Kyrgyzstan, Green Revolution di Iran, Jasmine Revolution di Tunisia dan yang terbaru adalah di Mesir. Kejadian yang berlaku di Tunisia bukanlah puzzle permulaan, ianya adalah sebahagian rancangan regime change oleh pihak luar. Sewajarnya umat Islam bertindak secara berhikmah bagi mengelak yang tidak berdosa menjadi mangsa. Jangan terperangkap dalam jerat yang sudah dipasang oleh barat. Sesama Islam bergasak, barat ketawa melihat mangsa mereka memakan umpan yang sudah lama dipasang."

muhammad noor ismail said...

wallahua'lam.. personally aku tak suke sgt 'beriman' dengan teori2 konspirasi sume ni, walaupun bace je la.. lebih suke cakap based on facts.. so far, tak nampak ape benifit barat dapat drpd pertukaran regime kat tunisia n egypt..

tp mmg cara revolusi jalanan camni jadi tanda soal gak bagi setengah2 pihak dr segi hukum die.. tp kebanyakan org tak berselisih pendapat berkenaan keutamaan utk menjatuhkan regime mubarak ni.. cume, dari segi metod menjatuhkan tu ade perbezaan pendapat..

Sarah CJ said...

hopefully the change is for the better and not for the worse :)

muhammad noor ismail said...

ameen :-)