27 October 2011

r-Evolusi...

Bismillah..

Minggu ini, rata-rata orang membicarakan perihal kematian Muammar Gaddafi, seorang diktator yang dikatakan telah menzalimi rakyat sendiri. Di mana-mana sahaja, orang membicarakan peristiwa ini. Maka lahirlah pelbagai artikel dan teori yang bersangkutan dengan peristiwa tersebut. Sebagai seorang yang beriman dengan aqidah Islam, kita seharusnya mengambil iktibar, setinggi mana pun kedudukan kita, ianya tidak akan lagi berguna bila nyawa kita sudah diambil. Moga-moga kita termasuk di kalangan mereka yang mendapat rahmat.

Saya tidak menafikan pemimpin ini punya karisma yang cukup besar. Bayangkan, beliau telah memimpin revolusi di Libya semenjang umur 27 tahun! Dan semenjak daripada itu, beliau memegang tampuk pemerintahan hingga ke akhir hayat. Itu belum dilihat pembaharuan-pembaharuan yang dilakukannya. Hebatnya pemuda tersebut.

Namun, tidak kurang pula kezaliman yang dilakukan. Kekejamannya menghapuskan ingatan orang ramai terhadap jasanya. Entah berapa ribu rakyatnya sendiri yang telah dibunuhnya. Siapa sahaja yang menentangnya akan dibunuh. Tidak perlulah untuk saya huraikan di sini memandangkan beliau sudah pun tiada.

Apapun, saya amat kecewa melihat layanan masyarakat Libya terhadap pemimpin mereka. Tindakan menayang-nayangkan jenazah di khalayak ramai supaya orang ramai boleh bergambar dengan jenazah adalah satu perbuatan yang jijik, keji dan tidak bertamadun. Saya tidak sanggup pun untuk berkongsi video yang saya lihat di laman blog ini. Barangkali benar tulisan sahabat saya yang mengatakan salah satu taktik penjajah apabila hendak menghukum pejuang-pejuang tegar, mereka mengambil pendekatan keras dengan memperlakukan mayat pejuang tersebut dengan dahsyat sekali. Lihatlah apa yang berlaku pada jenazah Gaddafi. Hal seumpama ini bukanlah perkara baru, sebaliknya ia pernah berlaku di negara kita sendiri. Lihatlah bagaimana British mengambil tindakan terhadap jenazah Haji Hasan Munas (Tok Janggut) yang mana jenazahnya diseret dan digantung songsang di Pasir Putih untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak ada lagi yang berani menentang selepas ini.

Apapun, dikator itu sudah tiada. Bagaimana pula dengan nasib rakyat Libya sekarang? Dengan pimpinan NTC yang sangat pro-barat, rakyat yang bergaduh sesama sendiri, peperangan yang tidak sudah, adakah anda merasakan keadaan akan bertambah baik di negara Afrika tersebut?

Apakah cita-cita rakyat Libya tercapai?

Apakah nasib mereka akan terbela?

Apakah mereka akan hidup aman tanpa pergaduhan selepas ini?

Mereka sebenarnya hanya menukar kepimpinan diktator dengan anak patung barat.

Saya mengumpamakan proses ini seolah-olah menukar cat rumah. Sudah lama sangat dengan warna lama yang sudah lusuh, tukar lah pula warna lain. Luarnya sahaja yang nampak berbeza, tapi dalamnya, mungkin lebih teruk dari sebelum ini.

Itu lah dia revolusi. Kita mungkin boleh menukar kepimpinan dan pemerintahan. Namun, perubahan kepimpinan sahaja tidaklah cukup untuk mengubah nasib umat ini!

Kerana itu kita belajar dari sirah, bagaimana Rasulullah s.a.w. membina tamadun bermula dengan mentarbiyah dan membina qaedah sulbah. Jika Rasullah s.a.w. hendak memegang tampuk pemerintahan, bisa sahaja beliau ditawarkan. Namun, baginda memilih jalan dakwah dan tabiyah yang jauh dan sukar sebelum baginda mengambil alih pemerintahan.

Perubahan ini tidak berlaku dengan sekelip mata. Ia adalah satu proses yang mana secara sunnatullah perlu berlaku beransur-ansur.

Syarikat Apple tidak menjadi terkenal secara tiba-tiba. Ia mengambil masa lebih kurang 20 tahun sebelum menjadi satu jenama terulung. Malah ia pernah beberapa kali gagal dalam percubaan pengeluaran produk daripada menarik hati pembeli.

Demikian pula dengan ideologi-ideologi yang pelbagai di dunia ini. Lihat sahaja pada komunisme. Ia tidak bangkit secara tiba-tiba. Lenin pernah ditangkap dan dibuang negeri atas perjuangannya. Ia mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan akar umbi. Kemudian barulah ia berjaya mengambil pemerintahan.

Ini adalah sunnatullah.

Untuk mengubah nasib masyarakat memerlukan usaha yang panjang. Ia tidak mungkin hadir dengan sekelip mata. Saya memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna dalam Majmu' Rasail, dalam bab Halatuju Dakwah Kita:

Pembentukan dan pembinaan sebuah bangsa, merealisasikan sebuah impian dan memperjuangkan sebuah prinsip memerlukan seluruh bangsa atau sekurang-kurangnya sekumpulan manusia yang mahu mencapai cita-cita ini memiliki jiwa yang benar-benar kental yang dapat dilihat melalui beberapa aspek iaitu: Kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan. Pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut. Memahami prinsip, meyakininya, menghormatinya, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip lain. Dengan hanya memiliki kesemua asas yang berbentuk rohani ini dan dengan memiliki kekuatan rohani yang agung akan tertegak sebuah prinsip dan akan mampu membentuk sebuah bangsa yang mampu bangkit, membentuk jiwa bangsa yang bersemangat waja dan akan bermula kembali suatu kehidupan bagi mereka yang telah sekian lama tidak merasainya.
Mana-mana bangsa yang kehilangan keempat-empat sifat ini ataupun pemimpin dan pendokong pembaharuannya kehilangan sifat-sifat ini, bangsa ini adalah bangsa yang tidak berharga dan malang. Bangsa ini tidak akan mampu mencapai kejayaan dan tidak akan dapat merealisasikan impian mereka. Mereka akan hanya hidup dalam dunia sangkaan, khayalan dan impian. “Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Maksud Yunus: 36).
Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah Allah tetapkan di alam ini.

Beliau menekankan empat prinsip utama

1. Kemahuan yang tinggi
2. Kesetiaan sejati
3. Pengorbanan yang agung.
4. Memahami dan meyakini prinsip

Dari satu konteks, masyarakat semakin sedar, perubahan itu perlu bermula dari bawah, dari akar umbi, namun, tanpa ada kualiti-kualiti ini, jangan diharap perubahan itu dalam dilaksanakan dalam sekelip mata.


Teruslah dengan tarbiyah. Jalan ini panjang, tapi hasilnya pasti.

Kita tidak memerlukan REVOLUSI, tetapi kita perlukan EVOLUSI.

16 October 2011

Keluh

Salam w.b.t.

Ketika menulis entry ini, saya dalam keadaan begitu letih.. Semalam hanya tidur beberapa jam. Petang pula pergi ke bandar lain dan memberi pengisian.. dan banyak lagi.

Kadangkala saya pernah terfikir kenapa saya sangat sibukkan diri saya dengan perkara yang orang lain tidak lakukan. Di kala orang lain berehat-rehat waktu cuti, kita sibuk dengan pelbagai program. Di kala orang lain menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, diri ini sibuk dengan penumpuan pada hal-hal bukan pelajaran. Di kala orang lain menghabiskan wang untuk membeli telefon canggih, baju-baju berjenama, kasut yang pelbagai rupa, kita menghabiskan wang untuk 'travel' ke sana dan ke sini, infak ke merata tempat, malah kadangkala dihabiskan untuk orang lain.

Saya terfikir betapa hebatnya cabaran yang dihadapi oleh golongan 'as-sabiquun al-awwaluun' di zaman Rasulullah di Makkah dahulu. Keadaan mereka semestinya lebih hebat dari kita. Mereka berjihad, berjuang demi mempertahankan sesuatu yang mereka sendiri tidak pernah melihatnya. Sekurang-kurangnya kita punya contoh dan sekurang-kurangnya kita tidak diancam dengan cabaran sehebat para sahabat dahulu. Ingatlah ketika kita mengeluarkan sebahagian harta kita, ada orang yang sanggup membelanjakan keseluruhan harta mereka. Ketika kita sibuk terkejar-kejar mencari masa mentelaah pelajaran, ada orang yang mencurahkan sepenuh masa untuk kerja-kerja dakwah. Ketika kita 'travel' ratusan batu hanya untuk berusrah, ada orang yang meninggalkan kerja, berjalan ribuan batu hanya untuk menyebarkan fikrah ini.

Kita yang pelik atau mereka?

Kadangkala terasa hendak menangis kerana sibuk. Kalaulah bukan kerana keyakinan ini, pastinya sudah lama saya meninggalkan jalan ini. Setiap minggu dalam keadaan yang sangat letih, fikiran yang memikirkan pelbagai masalah beserta usaha keras untuk mentelaah pelajaran. Itu pun masih lagi banyak kekurangan yang mesti diperbaiki.

Hakikatnya, semangat itu sedikit kembali tiap kali berjumpa saudara seperjuangan. Setiap dari kita umpama kepingan-kepingan 'jigsa puzzle'. Dan pengikat kita adalah ukhwah.

Dahulu saya hanya mendengar. Tetapi kini saya fikir saya lebih memahami erti ukhwah tersebut. Apa erti satu gerak kerja jikalau ahlinya tidak berkongsi susah dan senang.

Namun hakikatnya tidak ramai yang mampu berkongsi susah dan senang satu sama lain. Ya, pastinya tarikan dunia dari rakan-rakan lain sedikit sebanyak menggugat hati kita. Saya sudah banyak kali melihat orang-orang yang lebih mementingkan keseronokan diri sendiri dari kemaslahatan gerakkerja keseluruhan. Namun apa sahaja yang mereka dapat? Tidak lain hanya keseronokan sementara.

Bukankah Allah sudah berkata:
“Dan jika kamu ikuti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka itu menyesatkan kamu dari jalan Allah, mereka tidaklah mengikut, selain dugaan sahaja dan mereka tidak lain hanya mengagak sahaja” -Al-An'aam: 116

Ikhlaskanlah niat, tingkatkanlah ibadah kita dan rapatkanlah saf. Ah, kita tidak layak untuk mengeluh.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar. - at-Taubah: 111


p/s - Selamat Hari lahir kepada adik saya, Aisyah Ismail yang menyambut hari lahirnya kelmarin. Moga terus tsabat. Moga terus cemerlang dunia akhirat :-)