10 March 2009

Ini Sejarah Kita - Bahagian 1

Salam w.b.t.

Dalam masa kurang 60 hari yang lepas, saya telah mengikuti beberapa episod 'Ini Sejarah Kita' di Czech Republic.

Saya cuba untuk menjustifikasi ISK secara berhemah..

Saya tidak bercadang untuk menghuraikan satu-persatu kandungan ISK, memandangkan untuk menerangkannya sahaja memerlukan masa lebih separuh hari. Namun, saya suka untuk memberikan pandangan dan pengajaran yang dapat diambil.

Di belakang tabir ISK v Olomouci, bersama Amin Prague

Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam pernah berjaya satu ketika dahulu. Namun demikian, sejarah juga telah membuktikan bahawa kejayaan dan kegemilangan umat Islam yang terdahulu bukanlah dibayar dengan harga yang murah. Sebaliknya mereka telah melalui keperitan dan rintangan yang tersendiri sebelum menempuh kejayaan. Tidak ada kemenangan percuma buat umat Islam.

Pertama saya mengambil contoh dakwah Rasulullah sendiri. Walaupun baginda adalah seorang Rasul, namun, baginda sendiri tidak mendapat kemenangan secara percuma. Ketika Muhammad s.a.w berdakwah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu sehinggakan darah mengalir hingga ke tumit baginda.

Demikian juga dengan para sahabat, contohnya Ammar dan keluarganya yang disiksa. Walaupun seorang Nabi, baginda tidak mampu membuat apa-apa, selain hanya berkata kepada keluarga Yassir supaya bersabar, kerana kelak akan dijanjikan syurga.

Dalam contoh yang lain, orang-orang Musyrikin pernah mencabar baginda supaya didatangkan mukjizat-mukjizat seperti dipancarkan air dari tanah di bumi Makkah, atau dijadikan kebun anggur dan kurma, di mana mengalir di bawahnya sungai, atau dijatuhkan langit ke bumi, atau Nabi membawa turun Allah dan malaikat, ataupun ada rumah yang dibuat dengan begitu mahal daripada perak atau Nabi naik ke langit dan turun kembali dengan membawa kitab. Namun Nabi hanya menjawab 'Maha suci Tuhan, aku tidak lebih dari hanya seorang manusia'. Dalam peristiwa ini, kita dapat melihat bahawa seorang Nabi tidak dapat melakukan sesuatu di luar kemampuan seorang manusia yg biasa.

Dalam contoh yang lain pula, Nabi juga pernah ditimpakan kotoran unta di atas kepala baginda ketika baginda sedang sujud ketika bersembahyang di Makkah, sehingga anaknya Fatimah mengalihkan kotoran tersebut. Hal ini diceritakan dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud (r.a.) :
"Bahawa Uqbah bin Abi Mu'it semakin jahat dan bertambah nakal, semasa Rasulullah bersembahyang di Kaabah dan Abu jahal pula sedang beristirehat bersama-sama kuncu-kuncunya, maka berkata setengah dari mereka, sesiapa di antara kamu yang sanggup mengambil uncang najis sembelihan terbuang itu dan meletakkan ke atas belakang Muhammad semasa beliau sedang sujud itu, maka bangun yang ternakal di antara mereka iaitu Uqbah bin Abi Muit beliau membawa uncang najis itu dan beliau tunggu hingga apabila Rasulullah (s.a.w) sujud maka beliau meletakkannya ke atas belakangRasulullah di antara kedua bahunya. Daku pada masa itu sedang menyaksi tindakan nakal itu. Daku tidak boleh berbuat apa-apa, kalauku boleh menahannya nescaya kulakukan, kata Ibnu Mas'ud lagi: Dengan itu mereka tertawa sesama mereka dan menghayun badan mereka ke kiri dan ke kanan kerana terlalu suka. Baginda tidak menangkatkannya hinggalah Baginda didatangi anak perempuannya Fatimah, mencampak buang benda itu dari belakang Baginda, kemudian barulah Baginda mengangkat kepalanya dan terus berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku, binasakanlah Quraisy sebanyak tiga kai, pihak Quraisy terasa beratdengan doa Rasulullah tadi, kata Ibnu Mas'ud: Mereka terasa begini kerana mereka mengetahui bahawa doa di tempat ini adalah mustajab dan makbul. Setelah itu, Baginda menyebut dengankatanya: Binasalah Abu Jahal Utbah bin Rabi'ah, Shaibah bin Rabiah, Al-Walid bin Utbah, Umaiah bin Khalaf dan Utbah bin Abi Muit... "
Perkara yang hendak ditekankan di sini, ialah sekalipun Rasulullah berdoa sedemikian, namun pihak Musyrikin tersebut bukanlah mati dengan begitu sahaja. Sebaliknya kesemuanya mati dalam peperangan Badar. Ini menunjukkan doa seorang Nabi pun bukannya termakbul dengan begitu sahaja. Ia memerlukan daya usaha untuk mencapai sesuatu matlamat.

Demikianlah juga contoh yang ditunjuk oleh umat-umat Islam yang kemudian. Sebagai contoh yang pernah saya sebutkan dalam entry yang lepas, Sultan Muhammad Al-Fatih tidak menang dengan kemenangan yang mudah, sebaliknya, baginda telah membuat meriam yang seberat 300 kg, yang mampu mengebom dengan jarak hampir 2 km. Ia adalah bom yang paling kuat pada masa itu. Strategi yang dilakukan juga sangat rapi. Mereka telah mengangkat 70 biji kapal ke daratan di Galata, daripada bahagian yang menghadap ke Selat Bosphorus hinggalah bahagian yang menghadap Golden Horn. Ini bukanlah satu kerja yang mudah. Sewaktu percutian saya di Istanbul, saya telah berjalan di Galata daripada bahagian yang menghadap Selat Bosphorus hinggalah ke Golden Horn. Kawasan daratan di situ bukanlah rata, sebaliknya kawasan berbukit yg curam dan sungguh memenatkan untuk berjalan. Saya sudah merasai sendiri kepenatan berjalan merentas kawasan Galata tersebut. Itupun tanpa membawa barang-barang. Sedang saya berjalan di Galata, saya terbayang di dalam fikiran saya bagaimana umat Islam dahulu mengangkat 70 biji kapal di Galata. Subhanallah.. Hebatnya mereka. Malah, semua ini dilakukan dalam 1 malam!! Ini menunjukkan kejayaan umat Islam yang terdahulu bukanlah hanya berlaku dengan hanya doa, sebaliknya mereka berusaha dengan begitu keras untuk memperoleh kejayaan.
Penulis di Eminonou, bahagian daratan yang bertentangan dengan Galata

Daripada contoh-contoh tersebut, jelas sekali menunjukkan, umat-umat terdahulu mencapai kejayaan dengan harga yang sangat mahal. Mereka bukanlah menang dengan hanya berdoa kepada Allah, sebaliknya pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk mencapai kegemilangan. Tidak ada sesekali kejayaan yang dapat dicapai secara percuma. Malah Allah sendiri ada berfirman dalam surah an-Najm:
"Bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakan" (An-Najm:39)
Jelas sekali, seandainya umat Islam pada hari ini hendak memperoleh kejayaan dan kegemilangan seperti umat yang lampau, usaha yang gigih dan bersepadu perlulah dilakukan. Bukanlah duduk berehat dan berdoa sambil mengharap kejayaan akan sampai kepada kita. Ayuh, bangunlah. Kita wajib mengembalikan kegemilangan yang satu ketika dahulu pernah menjadi milik kita. Kita pernah menguasai 2 pertiga dunia. Kita pernah menguasai ilmu dan teknologi. Kita pernah memegang tamadun dan menjadi umat yang disegani!! Adakah kita terlampau hina pada hari ini untuk mengembalikan kegemilangan?

Sayang sekali, dalam konteks situasi umat Islam pada hari ini, kita melihat umat Islam kelihatan begitu hina dan tidak dipandang tinggi dari kaca mata masyarakat dunia. Usah dilihat keadaan saudara-mara yang ditindas di sana-sini, malah lihat sahaja keadaan di Malaysia. Umat Islam memenuhi pusat-pusat serenti, pusat-pusat hiburan, pusat pemulihan akhlak, dan dari segi statitik, umat Islam mendahului dalam masalah-masalah sosial. Itu baru di Malaysia, belum lagi dilihat saudara-saudara kita secara global di negara lain. Inikah dia umat yang dikatakan ingin membela nasib rakyat Palestin? Di manakah silapnya sehingga kita jatuh dengan begitu hina? Padahal kita memegang aqidah yang sama dengan masyarakat yang dahulu. Kita mengharapkan kegemilangan, tetapi kita malas berusaha. Kita mengharapkan untuk mencapai ketamadunan, tetapi kita malas mencari ilmu. Kita mengharapkan kemenangan tetapi kita malas untuk bersaing. Kita malas mengeluarkan idea. Kita malas memulakan sesuatu yang baru.

Sedarlah bahawa umat yang terdahulu telah membayar dengan pengorbanan, penyiksaan dan perjuangan yang sangat perit untuk mencapai kegemilangan. Mereka juga telah melakukan pengorbanan yang begitu besar, supaya agama Islam sampai kepada kita pada hari ini. Apa pula yang kita lakukan untuk generasi akan datang?

Saya mengajak diri saya dan para pembaca supaya kita sama-sama bangkit untuk menegakkan satu-satunya agama yang diredhai Allah ini. Beberapa kali disebutkan di dalam al-quran, 'Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah adalah agama Islam'. Marilah kita berusaha setakat kemampuan kita untuk menaikkan kembali martabat agama kita. Tunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu bersaing, malah mampu beroleh kejayaan. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk maju dalam urusan dunia. Saya memetik kata-kata Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika mengulas soal bid'ah, beliau mengatakan:
"... Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar ialah urusan dunia. Ianya sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak, dan berpecah masyarakat mereka, urusan mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud daripada itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan atau menyingkap perkara baru... Adapun dalam agama mereka memulakan rekaan, membuat bid'ah dalam beragam berbentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah"
Mempelajari sejarah tidak cukup dengan sekadar tahu kegemilangan umat Islam. Sebaliknya kita juga perlu menaladani kejatuhan umat Islam juga, agar dapat menjadi pedoman buat kita. Namun, saya tidak bercadang untuk memperkatakan isu itu sekarang, memandangkan ia sangat panjang untuk dikupas. InsyaAllah, jika Allah izinkan, saya akan menyentuhnya pada masa hadapan, dalam bahagian kedua.

Penulis di Istanbul, satu percutian yang memberi sejuta pengajaran

Apapun, percutian saya ke Turki tempoh hari telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya untuk menghayati perjuangan umat Islam yang lampau. Sepanjang percutian tersebut, terlampau banyak pengajaran yang telah saya terima dan seringkali hati saya tersentuh, dan seringkali saya berfikir, alangkah hebatnya saudara-saudara saya yang lampau.

Buat para pembaca, pelajarilah sejarah, dan ambillah pedoman untuk masa hadapan. Ini BUKANLAH sejarah DIA, ini BUKAN sejarah MEREKA. Tetapi ini adalah sejarah SAYA, ini adalah sejarah ANDA. INI ADALAH SEJARAH KITA!!

8 comments:

Ahmad Eisa said...

Superb. Satu posting yg macho. Ia telah memaksa ana utk berfikr lbh lg. Umat Islam dahulu tidak sesekali mengabaikan urusan agama hanya kerana sibuk dengan kepentingan sendiri seperti mengejar harta dan pangkat, berhibur tak tentu arah dan sebagainya. Kita sekarang dah lain. Semoga kita insaf dan berubah......

Sesiapa yg berubah ( berhijrah) kerana Allah, dia akan dapat Allah

mohdnoor said...

Thanks, saudara eisa.. memang kagum dengan umat dahulu.. tapi tu semua sejarah, yang penting adalah masa depan.. moga sama-sama beroleh manfaat dan pengajaran, iAllah.

aisyah ismail ♥ said...

Salam'alayk

Alhamdulillah.. =)

"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, nescaya Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam ad-Din"

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu Dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang Yang beriman.”
Surah Hud 11: 120

aisyah baru sampai umah ni.. pkl 1 pagi td.. senan2 call la.. ade byk cite mnarik..hehe =)

mohdnoor said...

waalaikumussalam..

iAllah, nanti abg call.. minggu ni laptop abg ade problem, takleh nak on sumer.. huhu.. alhamdulillah, skarang dah ok, baru je tadi habis reformat semua.. nak gak tau 'cite2 menarik' tu.. hehe..

Nurul Atikah said...

ISK.. mmm.. syabas sbb menyertainya..
sejarah mmg perlu diulang..
sebagai ingatan..
untuk dijadikan pedoman..
sb sejarah mngkin berulang..
kalau x diambil pengajaran..

manusia2 yang lupe ini pasti akan terkial2 mencari penyelesaian utk masalah yg lbh kurang sama telah berlaku suatu ms dahulu..

umat islam terutamanya perlu berusaha memahami sejarah2 kegemilangan ISLam..
macam mana islam dijatuhkan.. sbb pengkhianatan hmba Allah yg munafiq dsb..
supaya ISLam mampu kembali gemilang seperti suatu masa dahulu..

Ya Allah.. tetapkan iman2 kami..

mohdnoor said...

thanks, saudari atikah.. saudari sure dah biase join, kan kat sane.. :-)

setuju dgn pendapat tu.. kite perlu sedar bahawa tanggungjawab kita terlampau besar.. kita perlu ambil ikhtibar dari kisah lampau untuk jadi pedoman masa akan datang.. rentetan cerita akan berulang, cuma persekitaran yang berbeza..

stay istiqamah..

AviCenNna said...

Salam..
Kupasan yang cukup berkesan untuk 'mengejutkan mereka yang masih tidur'..
Sejarah tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia..
Banyak pengajaran dapat diambil untuk dihayati dalam kehidupan seharian..

mohdnoor said...

Salam..

Thanks, Akmal.. yer.. memang ramai antara kita yang masih lagi dibuai mimpi.. moga2 kita dpt sentiasa memberi peringatan tujuan sebenar hidup ini, disamping mengingatkan diri sendiri jugak..