Salam w.b.t.
Alhamdulillah, demam yang saya alami sudah pun surut. Saya kini sedang cuba menghabiskan percutian saya bersama keluarga di Sabah dengan perkara-perkara yang bermanfaat, selain membaca buku-buku bukan akademik.
Saya suka menghabiskan percutian musim panas saya ini dengan mengeksplorasi negeri utara Borneo ini. Sebelum ini, saya sudah pun melawat banyak tempat menarik di sini seperti Gunung Kinabalu, tip of Borneo, Pulau Manukan, kawasan rumah panjang, berkelah di Tanjung Aru, Lok Kawi, dan sebagainya. Baru-baru ini pula, kami sekeluarga telah pergi bersiar-siar di Sungai Klias dan kawasan air terjun Kibunut.
Antara pantai yang dilawati di Sabah
Penulis di Tip of Borneo 2 tahun lepas
Satu perkara yang sangat menarik minat saya berkenaan tempat-tempat menarik di Sabah ini ialah, tempat-tempat tarikannya semuanya adalah unik dan sangat cantik jika dibanding dengan tempat-tempat di semenanjung Malaysia. Lihat sahaja pada pantainya yang sangat cantik dan airnya yang sangat jernih seperti tidak terusik. Saya sudah pernah pergi ke pantai di semua negeri di semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, dan tidak syak lagi, pantai di Sabah jauh lebih indah berbanding mana-mana pantai di semenanjung. Begitu juga dengan kawasan-kawasan lain yang mempunyai nilai estetika yang sendiri.
Sewaktu di kawasan air terjun Kibunut, saya dan keluarga telah berehat sambil berkelah. Lokasi air terjun yang jauh dari bandar sangat menyenangkan fikiran.
Penulis di kawasan air terjun
Keluarga yang berehat sambil berkelah
Penulis mandi di air terjun setelah baru sahaja baik demam
Pada petang Ahad pula, saya telah pergi bersama keluarga ke Klias Wetland, Beufort. Beufort terletak di selatan Kota Kinabalu, tidak begitu jauh dari Brunei. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Klias mengambil masa hampir 2 jam.
Kami tiba di Sungai Klias tepat jam 4 petang, selepas menunaikan solat Asar. Kami dibawa menaiki bot kecil dan kemudiannya bot besar. Bot tersebut bergerak sebaik kami menaikinya dan di bot tersebut juga, kami telah disajikan dengan minum petang dan makanan tempatan.
menaiki bot kecil
Penulis sewaktu dalam perjalanan
Afiq Aliyuddin dengan gaya tersendiri
Antara makanan yang disajikan
Sepanjang perjalanan tersebut, saya dapat memerhatikan kepelbagaian dan keindahan alam. Pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan dapat diperhatikan. Saya teringat firman Allah di dalam al-quran:
"Tidakkah kamu tahu, bahawa Allah memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi, Dia Menyiksa siapa yang Dia kehendaki dan mengampuni siapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (Al-Maidah:40)
Keindahan ciptaan Tuhan di sepanjang Sungai Klias yang masih belum terusik sememangnya tidak dapat dipertikaikan. Malah sungai ini juga menjadi perhatian pengunjung-pengunjung di seluruh dunia, dan telah dipilih sebagai lokasi penggambaran beberapa aksi dalam filem 'Anaconda'. Sememangnya sungai yang besar ini menjadi habitat buaya liar.
Pemandangan matahari terbenam di Klias Wetland
Pada waktu senja, saya telah berpeluang menyaksikan matahari terbenam sewaktu di atas bot di sungai tersebut. Maha suci Tuhan yang Menciptakan alam. Kami telah disajikan dengan hidangan makan malam di atas bot tersebut.
Apabila hari semakin gelap, perhatian di sungai tersebut beralih pula kepada keindahan kelip-kelip di sepanjang sungai. Pemandangan tersebut sangat indah, seolah-olah kelihatan lampu-lampu warna warni yang berkelip-kelip dalam kegelapan malam. Begitu banyak sekali kelip-kelip di sepanjang sungai tersebut, menjadikan pemandangan yang begitu mengagumkan. Subhanallah. Indahnya ciptaan Tuhan. Keadaan malam yang terlampau gelap tidak mengizinkan saya untuk mengambil gambar pada waktu itu.
Kami mendarat semula pada kira-kira jam 7.15 malam. Keadaan pada waktu itu sudah pun gelap. Kemudian kami terus bergerak pulang ke rumah di Kota Kinabalu.
Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat menggunakan masa dengan keluarga saya. InsyaAllah, pada minggu hadapan saya akan bergerak pula ke Kelantan menghadiri satu program dan satu lagi episod baru dalam cuti musim panas saya akan bermula, insyaAllah.