15 July 2009

Sensitifkah kita?

Salam w.b.t.

Saya kini berada di Sabah bumi di bawah bayu, sebagai salah satu aktiviti percutian musim panas saya di tanah air. Saya terus pergi ke Sabah sekembali dari Singapura. Saya tinggal di rumah kakak saya di Kota Kinabalu. Kehadiran di sini sedikit sebanyak mengubat rindu pada anak-anak saudara saya yang comel.

Malangnya saya diuji oleh Allah dengan demam yang begitu panas dan sakit tekak sekembali dari Singapura. Badan terasa sangat lemah, tiada selera untuk makan dan berjalan. Saya hanya baring sepanjang hari. Saya berasa sedikit risau memandangkan Singapura merupakan salah satu negara yang tinggi kes virus influenza H1N1. InsyaAllah, saya akan berjumpa doktor esok. Moga-moga segalanya berjalan lancar.

Saya cuba mengamalkan konsep psikologi yang dinamakan 'denial' dengan cuba mengabaikan ketidaksihatan badan buat sementara waktu. Saya suka untuk mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat sepupu saya di Singapura, Mohd Danial yang baru sahaja mendirikan rumah tangga baru-baru ini. Semoga Allah memberkati keluarga mereka dan semoga hubungan yang terbina berkekalan.

Penulis bergambar bersama pengantin baru dan juga beberapa saudara mara

Baru-baru ini juga, saya ada membaca di www.islamonline.net berkenaan soal wanita Islam di Jerman, Marwa al-Sherbini yang dibunuh dengan kejam.

Saya telah bercadang untuk menulis di blog ini perkara itu, namun saya terlampau sibuk kebelakangan ini dengan aktiviti di Singapura, ditambah dengan keadaan badan yang demam sewaktu tiba di Sabah.

Saya tidak bercadang mengupas panjang lagi memandangkan saya percaya isu ini sudah pun diketahui umum, walaupun tidak diuar-uar oleh arus media utama.

Namun, bagi para pembaca yang tidak tahu menahu mengenai peristiwa berdarah ini, secara umumnya, peristiwa ini melibatkan pembunuhan kejam seorang wanita Islam bernama Marwa al-Sherbini berketurunan Mesir di dalam sebuah mahkamah di Dresden, sebuah bandar di Jerman, tidak jauh dari tempat saya belajar di Republik Czech. Wanita tersebut telah ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang lelaki Jerman berketurunan Russia. Dan lebih menyedihkan, wanita tersebut memeluk anak kecilnya ketika kejadian. Belum cukup dengan itu, wanita itu sendiri sedang mengandung selama 3 bulan sewaktu dibunuh dengan kejam. Suaminya yang cuba menyelamatkannya pula sedang cedera parah kerana polis di dalam mahkamah tersebut tersalah tembak ke arahnya.


Saya percaya isu ini sudah diketahui umum. Ia sudah pun ditulis dalam blog rajskezahrady. Namun, yang jelas, isu ini menjadi satu lagi tamparan hebat buat dunia Islam, yang selama ini sudah pun dikotak katikkan oleh bangsa lain. Lihat sahaja penderitaan umat Islam di serata dunia. Di manakah dia kekuatan yang pernah kita banggakan suatu ketika dahulu? Siapa pula antara kita yang berani bangkit untuk mempertahankan saudara Islam kita? Hari ini masyarakat dunia tidak lagi hormat pada kita. Kita ramai, namun kita terlampau lemah. Kita punya harta, namun masing-masing hanya mementingkan diri sendiri, sedikit pun tidak fikir tentang saudara mara kita yang lain.

Saya terkenang kata-kata Saiyidina 'Umar al-Khattab:

'Kita suatu dahulu merupakan bangsa yang hina, dan Islam telah menaikkan kita. Namun jika kita membuang Islam, maka kembalilah kita menjadi suatu bangsa yang hina'

Sama-samalah kita fikirkan. Buat para pembaca, dan diri saya sendiri, marilah kita sama-sama lakukan perubahan dan sama-samalah kita renung dan fikirkan apakah sumbangan kita kepada agama kita. Berapa ramai antara kita yang peduli, berapa ramai pula yang tidak peduli, berapa ramai pula yang ingin peduli? Apakah kita langsung tiada sensitiviti apabila saudara mara kita diperkotak katikkan? Janganlah kita terlalu asyik dengan kesenangan diri sehingga kita lupakan penderitaan saudara mara kita.

Apapun peristiwa ini juga membuat saya teringat akan beberapa ayat di penghujung surah at-Taubah. Antaranya:
"Sesungguhnya Allah Membeli dari orang-orang Mukmin , baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan demikianlah kemenangan yang agung" - at-Taubah: 111
Betapa besarnya harga yang harus dibayar untuk mendapatkan syurga. Semenjak zaman Rasulullah, para sahabat berjuang bermati-matian untuk mendapatkan apa yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya. Apakah pula yang kita korbankan untuk mendapatkan syurga yang kekal abadi? Sama-samalah kita doakan agar Allah membalas pengorbanan keluarga Marwa dengan syurgaNya.

Semoga entry kali ini memberi manfaat kepada semua. Akhir kata, doakanlah saya kembali sihat sediakala.

3 comments:

lenepawida said...

semoga cepat sembuh ye ^_^

run^nia in wonderland said...

wah...dah balik msia...
jeles nye ^_^

mohdnoor said...

to lenepawida.. thanks2.. huhu..

to run nia.. yela, dah dekat 2 minggu dah.. tp baru 2 hari lebih jer kat rumah kat perak.. huhu.. bile balik?