18 December 2009

Selamat Pengantin Baru.. Selamat Tahun Baru..

Salam w.b.t.

Saya percaya ramai kenalan di Malaysia yang teringin untuk bermain dengan salji. Namun, bagi kebanyakan pelajar yang belajar di sini, mereka bukan sekadar menyampah dengan salji, malah ada yang benci dengan salji. Kasihan pada salji yang tidak bersalah :-) Begitulah manusia. Kita seringkali merisaukan perkara yang kita tidak ada, tetapi kita jarang bersyukur dengan sesuatu yang kita ada.

Apa jua pun yang orang kata, bagi diri saya, saya sangat suka dengan salji, walaupun dengan tangan yang 'hyperemia' seakan-akan 'Raynaud's phenomenon' setelah keluar beberapa minit dari rumah, dan disusuli dengan rasa kebas sehinggakan jika diri kita luka teruk sekalipun, tidak merasa sakit disebabkan suhu yang begitu rendah sehingga deria rasa kita hilang. Saya gemar meihat dan menikmati pemandangan yang indah selepas salji lebat, sambil melihat air sungai yang beku.

Penulis sewaktu winter yang lepas

Ketika saya menulis entry ini, suhu di luar sekarang ialah -10 darjah Celcius. Biarpun tahun ini salji yang turun kali ini tidaklah setebal tahun lepas, namun saya bersyukur dengan salah satu fenomena alam yang sangat menakjubkan ini.

Pelbagai peristiwa berlaku kebelakangan ini. Sebentar tadi sewaktu solat Jumaat, ada seorang warga Czech yang datang dan memeluk Islam di hadapan kami. Itu merupakan kali pertama saya menyaksikan orang mengucapkan kalimah syahadah buat pertama kali secara berdepan-depan. Alhamdulillah, bertambah lagi saudara seaqidah saya di bumi yang sangat sedikit populasi orang Muslimnya ini.

Baru-baru ini juga, saya ada diberitakan tentang kematian seorang ikhwah Nottingham yang maut di jalan raya, hanya 4 jam selepas bernikah. Berita ini mendapat liputan media-media massa [klik sini]. Saya sedikit terasa memandangkan saya mendapat tahu tentang kesanggupannya untuk melayan mad'u walaupun sibuk dengan majlis walimah. Apapun, pastinya ikhwah di UK lebih merasainya. Takziah saya ucapkan buat keluarga beliau.

Akhir kata, saya juga ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat sahabat saya yang baru diakad nikahkan baru-baru ini. Pada hari yang sama juga, ada lagi seorang sahabat saya yang belajar di UK, saudara Azim yang saya kenali sewaktu program di Malaysia baru-baru ini yang juga telah menamatkan zaman bujangnya. Begitu juga dengan sepupu saya, saudara Iskandar bin Ismail di Singapura yang akan berumah tangga beberapa hari sahaja lagi. Entah bila pula giliran saya akan tiba ;p Apapun, sebenarnya, saya baru sahaja pulang dari majlis untuk meraikan mereka. Semoga Allah berkati kalian. Selamat tahun baru juga buat semua pembaca blog ini yang beragama Islam.

Dedikasi buat pasangan pengantin baru:



Doa untuk saudara pasangan yang baru berumah tangga:

بَارَكَ الله لكما وبَارَكَ عَلَيْكَما وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا في الْخَيْرِ

Semoga Allah memberkati kamu berdua dan diberikan keberkatan ke atas kamu berdua di antara satu sama lain dan menyatukan kamu berdua di atas kebaikan.

1 comment:

Ansorullah said...

salam... alhamdulillah...
tahniah kpd mereka berdua...
smg Allah merahmati dan menambah keberkatanNYA kpd mereka yang mencari keredhaanNya..
bila pula? =p
(barakallahulakuma is playing)