Salam w.b.t.
Setelah lebih kurang 2 bulan berada dalam suasana suhu bawah 0 darjah Celcius, akhirnya sejak 2 hari lepas, suhu di kawasan ini meningkat sedikit sebanyak 1 darjah di atas takat beku air. Seperti biasa, salji mulai cair, dan keadaan sekeliling agak kotor dengan tanah yang basah apabila salji yang putih itu mulai cair. Sudah mula nampak permukaan air di sungai-sungai yang sebelum ini beku dan diliputi salji.
Alhamdulillah, tahun ini salji turun dengan sangat lebat dan agak panjang berbanding sebelum-sebelum ini. Apabila fikir-fikir semula, saya masih ingat sewaktu kecil dahulu, saya sering kali teringin untuk bermain dengan salji, namun di sini, diri terasa sangat malas untuk keluar rumah pada suhu yang rendah sebegini. Namun, saya seronok melihat kanak-kanak kecil bermain di hadapan flat saya sepanjang musim sejuk ini.
Saya teringat sewaktu sekolah dahulu, ada rakan-rakan saya yang juga bercita-cita untuk pergi ke Eropah. Berhampiran dengan asrama sekolah saya dahulu, di sebelah dewan besar dan berhampiran dengan astroturf hoki, ada sebatang pohon besar. Pada satu-satu masa dalam setahun, pohon tersebut akan menguning keemasan dan meluruhkan daun-daunnya yang kekuningan. Sewaktu itu, pernah ada sekali rakan-rakan saya mengajak untuk mengambil gambar di situ, dan kemudian hantar ke Salam Perantauan, seolah-olah kami berada di luar negara sambil memakai 'sweater'. Kini, setiap kali saya teringat peristiwa itu, saya tersenyum sendirian mengenangkan telatah kami sewaktu sekolah dahulu.
Gambar hiasan - sewaktu di Paris, antara 'impian' waktu belajar bahasa Perancis di sekolah dahulu ;p
Itulah dia manusia, yang sentiasa impikan sesuatu yang kelihatan sungguh menarik di fikiran kita. Di dalam al-quran, Allah menyebutkan:
'Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik' - Ali-Imran: 14
Secara lumrahnya, manusia dikurniakan dengan sifat yang suka pada sesuatu yang kelihatan sungguh menarik di fikiran kita. Lihat sahaja orang yang mempunyai telefon bimbit, hendak telefon yang lebih canggih. Sudah ada telefon baru, hendak pula membeli iphone, dan sebagainya. Kita sangat sukakan sesuatu. Kita selalu mengimpikan sesuatu yang indah dalam fikiran kita. Ada pepatah Inggeris yang mengatakan 'dream the impossible because dreams do come true'.
Namun, kadangkala kita juga ada menyimpan impian dan cita-cita untuk menjadi seperti orang lain. Kadangkala, kita punya impian yang sungguh indah dalam fikiran kita, dan kita amat mencintainya dan berusaha ke arahnya. Boleh jadi impian tersebut berupa sebuah kehidupan, pekerjaan, manusia, kedudukan dan sebagainya.
Acapkali masalah timbul apabila kita seolah-olah tidak mendapat 'impian' yang kita cita-citakan. Lebih memeritkan apabila 'impian' tersebut sudah disimpan sekian lamanya.
Maka timbullah persoalan, di manakah letaknya pegangan kita? Apakah kita benar-benar menyerahkan urusan hidup kita pada Tuhan, ataupun kita meletakkan masa depan kita pada 'impian' kita tersebut.
Saya teringat satu lagi firman Allah dalam quran:
'...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.' - Al-Baqarah: 216
Ayat ini mengingatkan seorang hamba untuk menyerahkan urusan kepada Dzat yang mengetahui akibat segala perkara serta redha dengan apa yang Ia pilihkan dan takdirkan untuknya.
Bukanlah salah untuk menyimpan 'impian'. Seorang penulis novel Inggeris, Terry Pratchett pernah berkata:
'Only in our dreams we are free. The rest of the time we need wages'
Namun, usahlah biarkan kebergantungan kita diserahkan pada 'impian' tersebut. Ia sangat rapuh. Impian kita bukanlah segala-galanya dalam hidup kita. Tetapi segala-galanya bermula dengan impian kita.
Sengaja saya menyentuh isu ini, atas alasan peribadi, untuk mengingatkan diri sendiri juga.
Saya sekadar mahu tulis sampai sini sahaja. Selebihnya biarlah diulas lebih lanjut lagi pada masa akan datang? Bila? Barangkali apabila 'impian' saya dan anda tercapai :-)
No comments:
Post a Comment