13 December 2010

Minggu Istimewa..


Salam w.b.t.

Minggu lepas, banyak perkara menarik yang berlaku. Tanpa disedari, kita kini sudah pun melangkah ke tahun baru menurut perkiraan kalender Islam.

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada 4 bulan-bulan Haram. Namun, suka untuk saya ingatkan, Muharram bukanlah bulan Hijrah seperti yang dianggap kebanyakan orang di negara kita. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. sebenarnya telah berhijrah dari Makkah ke Madinah dalam bulan Rabiulawal (rujuk Ar-Raheeq Al-Makhtum). Namun, tidak dinafikan Saidina Umar al-Khattab telah memilih tahun hijrah tersebut sebagai tahun pertama dalam perkiraan kalender Islam. Tahun baru ini tidak lebih daripada hari-hari biasa dan tidak wajar untuk kita mengkhususkan apa-apa amal ibadat pada hari tersebut.

Namun, saya berpendapat, tidak salah untuk kita mengenang kembali peristiwa hijrah yang menjadi tahun permulaan kalender Islam ini.

Tidak dinafikan peristiwa hijrah ini merupakan peristiwa besar bagi umat Islam, sehingga ia dipilih menjadi tahun pertama perkiraan kalender. Bukan sahaja ia meringankan bebanan umat Islam yang ditindas dengan teruk di kota Makkah, malah ia membuka lembaran episod baru dalam kerangka dakwah Nabi Muhammad s.a.w.

Pelepasan dari tindasan kaum Musyrikin Makkah bukanlah bererti umat Islam hidup dengan senang lenang selepas peristiwa hijrah. Sebaliknya, mereka diduga pula dengan cabaran-cabaran lain yang tidak kurang hebatnya baik dari segi mental dan fizikal.

Hanya setahun selepas berhijrah sehelai sepinggang dari kampung halaman, umat Islam telah pun diuji dengan Ghazwah Badar al-Kubra, iaitu salah satu peperangan awal yang menjadi penentu agama Islam.

Pelbagai peristiwa aneh yang barangkali tidak dapat kita lihat dengan mata kita pada zaman sekarang. Dalam peperangan tersebut, seorang anak boleh bertempur dengan bapa, seorang sahabat boleh berlawan dengan sahabat keribnya, dan seorang adik boleh berperang dengan abang sendiri.

Semuanya tidak mungkin berlaku tanpa kefahaman dan iman yang tinggi. Kerana talian persaudaraan Islam itu lebih kuat daripada ikatan keluarga sendiri.

Saya sangat suka berbicara tentang peperangan Badar ini, Lebih menarik jikalau kita mempelajari peperangan ini sambil meneliti ayat-ayat dari awal hingga akhir surah al-Anfal. Terlalu banyak yang hendak dikatakan kalau berbicara tentang Ghazwah Badar ini. Namun barangkali saya akan menyentuhnya lagi dalam entry yang lain, insyaAllah.

Apapun, yang pasti, penghijrahan ke Madinah bukanlah satu episod rehat setelah ditindas di Makkah. Tidak ada sebenarnya istilah rehat dalam perjuangan menegakkan umat ini!

Bersesuaian dengan tema hijrah, kita tidak seharusnya lupa bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah, bangunan pertama yang didirikan adalah masjid. Rasulullah s.a.w. hanya singgah 4 hari di Quba', iaitu 8-11 Rabiulawal, 1 Hijrah namun baginda masih sempat membina sebuat masjid di situ. (rujuk Ar-Raheeq Al-Makhtum).

Justeru adalah sunnah untuk kita mendirikan masjid apabila sampai di satu-satu kawasan. Bagi kami sendiri di sini, setelah hampir 5 tahun di sini, Alhamdulillah akhirnya kami berjaya mendirikan sebuah masjid di kawasan ini.

Minggu lepas adalah minggu yang istimewa kerana minggu tersebut merupakan kali pertama komuniti Islam di sini menunaikan solat di masjid kami yang baru, setelah bertahun-tahun diusahakan. Jumaat lepas merupakan hari pertama kami menunaikan solat Jumaat di situ, dan ia merupakan kali pertama saya melaungkan azan di masjid itu. Masjid ini bukanlah masjid ke seribu atau seratus di negara ini, tetapi ia hanyalah masjid ketiga dalam negara ini!

Justeru saya mengucapkan jutaan terima kasih buat semua pihak yang ada menghulurkan derma melalui saya sejak musim panas yang lepas, tidak kira di mana anda berada. Semoga Allah sahaja yang dapat Membalas amal jariah kalian.

teringatkan di Istanbul - lokasi gambar: Ayya Sofya, yang kini menjadi muzeum

Namun, kami di sini masih lagi memerlukan beberapa juta ringgit lagi untuk menyelesaikan bayaran masjid tersebut. Bagi yang masih belum menyumbang atau mahu menambahkan sumbangan, anda masih lagi berpeluang untuk merebut peluang keemasan ini untuk menambah saham di akhirat kelak. Anda boleh berhubung dengan saya secara peribadi.

Hari ini juga merupakan hari pertama kakak saya, Dr Amrah menjadi pegawai perubatan (medical officer). Justeru, tahniah saya ucapkan.

Saya juga mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepada adik saya, Afiqah Ismail dan abang ipar saya, Asmadib yang menyambut hari lahir pada minggu ini.

Akhir kata, semoga masjid baru di sini dapat menggiatkan lagi dakwah di sini, sepertimana giatnya dakwah Rasulullah setelah berhijrah. Ayuh, istiqamah dalam perjuangan. Perjuangan kita bukanlah seperti air yang dicampak batu! Semoga hati kita semua tsabat di jalan yang betul.

No comments: