17 December 2010

Repost: Ada Apa Dengan Turki...

Salam w.b.t.

Memandangkan begitu ramai sekali sahabat-sahabat di negara-negara eropah ini yang akan bercuti ke Turki pada minggu hadapan, sengaja saya post entry ini semula untuk rujukan dan pengetahuan semua. Moga-moga percutian kita bukanlah sekadar satu jalan-jalan kosong yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat pun pada diri dan umat.


Alhamdulillah, segala pujian hanyalah milik Allah.. Dengan izinNya, saya telah selamat sampai pulang dari kembara musim sejuk saya. (Hradec Kralove - Olomouc - Bratislava - Istanbul - Pamukkale - Istanbul - Bratislava - Hradec Kralove)
Penulis di Istanbul - Latar belakang Blue Mosque

Saya benar-benar berpuas hati dengan kembara saya kali ini, dan bagi saya, kembara di Turki adalah kembara yang paling bermakna dan paling menyeronokkan setakat ini. Saya telah pun pergi ke banyak lagi bandar-bandar lain seperti Paris, Milan, Vienna, Krakow, Dublin, Berlin, Belfast dan sebagainya, namun, jikalau saya meletakkan 'grade' bagi setiap tempat yang saya pernah lawati, saya akan meletakkan Istanbul sebagai tempat pertama. Ia adalah satu tempat yang cukup istimewa dan menyentuh perasaan. Pengalaman itu sangat bermakna, dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

ISTANBUL

Istanbul adalah satu tempat yang cukup istimewa kerana ia pernah suatu ketika dahulu menjadi pusat ketamadunan bagi 4 tamadun besar yang berbeza. Bermula dengan Empayar Rome, Latin, Empayar Byzantine (Rome Timur) dan akhir sekali Empayar Turki Uthmaniyah. Kebanyakan empayar-empayar besar ini telah memilih Istanbul sebagai pusat pemerintahan. Maka jika dipandang dari sudut sejarah sahaja, sudah tentulah Istanbul mempunyai nilai estetika yang tersendiri, kerana ia telah dikuasai oleh pelbagai kuasa yang memegang tamadun dunia suatu masa dahulu. Malah ia adalah satu-satunya tempat di dunia ini yang pernah dipegang oleh banyak kuasa besar dunia. Sebagai contoh, Rome di Italy hanyalah terkenal dengan tamadun Rome, di Mesir pula terkenal dengan tamadun Mesir purba. Namun, Istanbul telah menjadi pusat bagi 4 tamadun dunia yang berbeza.

Napoleon Bonaparte pernah berkata,
"If the Earth were a single state, Istanbul would be its capital."
Apakah istemewanya Istanbul, sehinggakan ia menjadi tumpuan tamadun-tamadun dunia, yang begitu besar seperti Amerika pada hari ini? Mari melihat sedikit dari segi geografi.

Kedudukan Istanbul yang sangat strategik antara Asia (kanan) dengan Eropah (kiri)

Istanbul merupakan satu-satunya Metropolis di dunia yang terletak di dalam dua benua, iaituAsia dan Eropah! Di dalamnya juga terdapat Selat Bosphorus, yang merupakan laluan air yang terpenting di dunia, yang menghubungkan Timur dan Barat. Selat Bosphorus menghubungkan Laut Mediterranian dengan Laut Hitam.
Penulis memberi burung-burung makan, berlatarbelakangkan Ayyasofya

Istanbul juga memiliki pelabuhan semulajadi yang cukup besar dan strategik, iaitu Golden Horn, yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dan kapal-kapal pada zaman Turki Uthmaniyah. DiGolden Horn jugalah, Empayar Byzantine telah meletakkan rantai yang besar merentasi pintu masuknya dari Galata Tower. Rantai ini telah cuba dimusnahkan beberapa kali dalam sejarah dunia oleh kuasa-kuasa besar. Namun, cuma tentera Islam sahaja yang dikepalai oleh Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menembusi Golden Horn. Beliau dan tenteranya telah memasuki Golden Horn bukannya dengan memecahkan rantai tersebut, sebaliknya, tentera Islam ketika itu mengangkat kapal-kapal ke daratan merentas Galata dan menurunkan kembali kapal-kapal ke Golden Horn!! Demikianlah kehebatan tentera Islam ketika itu yang dikepalai oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Kehebatan beliau sememangnya tidak dapat dinafikan. Apatah lagi beliau menguasai Constantinople hanya pada usia 24 tahun! Tidak hairanlah mengapa Rasulullah memuji mereka dalam satu hadith:
"Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335
Golden Gate, sebahagian daripada Walls of Constantinople, dengan 3 lapisan, setiap satu setebal 2 meter, namun berjaya dimusnahkan oleh tentera Muhammad al-Fatih

Sepanjang percutian saya di Istanbul, hati saya sangat tersentuh dengan ciri-ciri Islamik yang ada di bandar tersebut. Begitu banyak sekali masjid, sehinggakan jika saya berada di satu-satu kawasan, saya dapat melihat sehingga 8 masjid!! Dan apabila masuk sahaja waktu solat, bandar Istanbul bergema dengan suara azan. Subhanallah.. Saya dapat merasakan suasana ketika tamadun Turki Uthmaniyah di situ suatu masa dahulu. Di Malaysia pun, saya tidak rasa suasana Islamik seperti di Istanbul.

Antara tempat yang telah saya lawati ialah Grand Bazaar, yang hampir dengan tempat tinggal saya. Bazaar ini adalah bazaar tertutup yang terbesar di dunia! Ia telah diasaskan berkurun lamanya oleh Sultan Muhammad al-Fatih sendiri, iaitu tokoh yang membuka Constantinople itu sendiri. Ia merupakan antara binaan yang paling awal dibina oleh beliau apabila menguasai Constantinople. Bazaar ini sesak dengan aktiviti perniagaan yang bermacam rupa. Binaannya juga sangat menarik, dengan dinding-dinding dihiasi dengan tulisan-tulisan khat. Saya juga telah mengambil kesempatan untuk membeli beberapa barang di situ. Namun, ia sangat besar sehinggakan saya tidak dapat pergi ke semua bahagian bazaar tersebut.

Salah sebuah pintu masuk ke Grand Bazaar

Pelbagai tempat lain telah saya lawati di Istanbul. Antaranya Blue Mosque, Ayyasofya, Golden Gate, Walls of Constantinople, underground cistern, Eyup Mosque, Topkapi Palace dan banyak lagi.

Mimbar di dalam Blue Mosque

Blue Mosque, yang hanya bertentangan dengan Ayyasofya

Satu pengalaman yang ingin saya kongsi di sini ialah ketika melawat Ayyasofya, atau dikenali juga sebagai Hagia Sofya. Ayyasofya dahulunya merupakan sebuah gereja. Sewaktu pembukaan Constantinople, Sultan Muhammad al-Fatih telah menukarnya menjadi sebuah masjid. Namun, sayang sekali, pada tahun 1935, Mustafa Kamal Attartuk telah menukarnya menjadi sebuah muzeum, atas dasar sekularisme. Bahagian dalam Ayyasofya sangat bercirikan Islam. banyak terdapat tulisan-tulisan khat dan binaan yang mengagumkan. Masih terdapat lagi mimbar dan struktur-struktur lain yang bercirikan Islam.

Ayyasofya pada waktu malam

Penulis di dalam Ayyasofya

Masih banyak calligraphy di dinding Ayyasofya yang kini hanya sebuah muzeum

Di Topkapi Palace pula, banyak ciri-ciri ketamadunan Islam yang dapat dilihat. Binaan ini telah dibina juga pada asalnya oleh Sultan Muhammad al-Fatih apabila membuka Constantinople. Kemudian khalifah-khalifah yang berikutnya ada menambah binaan-binaan lain. Di dalamnya, terdapat banyak peninggalan khalifah dan juga barang peribadi Rasulullah s.a.w. sendiri!! Begitu juga barang-barang peninggalan para sahabat seperti 'Umar al-Khattab, Sayyidina Ali, 'Uthman bin 'Affan, Abu Bakr as-Siddiq, Khalid al-Walid, 'Ammar bin Yassir, Zubair bin al-Awwam dan sebagainya. Hati saya tersentuh apabila melihat peninggalan-peninggalan tersebut.

Penulis di Topkapi Palace yang menyimpan pelbagai khazanah kerajaan Islam

Saya juga telah melawat Eyup Mosque, di mana di masjid ini, adanya makam sahabat Nabi, iaitu Abu Ayyub al-Ansari. Pernahkah anda terfikir, bagaimana maqam seorang sahabat Nabi di Madinah boleh ditemui di Istanbul? Saya tidak bercadang untuk menceritakan bagaimana ia boleh berada di Istanbul, yang begitu jauh dari Madinah. InsyaAllah, saya akan menceritakan lebih banyak mengenai Abu Ayyub al-Ansari dalam entry yang lain. Namun, kisah beliau jika dihayati, sangat menyentuh perasaan. Di Eyup Mosque juga, terdapat maqam Sultan Muhammad al-Fatih, pemimpin Islam yang unggul.

Maqam Abu Ayyub al-Ansari, sahabat Rasulullah s.a.w.

Terdapat juga peninggalan tamadun lain di Istanbul seperti underground cistern, dan juga aquaduct dari Tamadun Rome.
Valens Aqueduct, peninggalan tamadun Rome dan kerajaan Uthmaniyah

Penulis di underground cistern - teknologi saluran air bawah tanah di Istanbul

Banyak lagi tempat-tempat lain yang telah saya lawati di Istanbul seperti Fatih Mosque, Sulayman Mosque, Galata Tower, Dolmabahce dan pelbagai lagi. Setiap tempat mempunyai nilai estetika dan sejarah tersendiri yang begitu unik. Saya tidak bercadang untuk menceritakan setiap satu, kerana sangat panjang. Hampir di setiap masjid yang saya lawati, saya ada menunaikan sama ada solat fardhu atau solat sunat.

PAMUKKALE

Selain Istanbul, saya juga telah melawat tempat lain, iaitu Pamukkale. Ia adalah satu tempat yang cukup menarik dan dikatakan sebagai 8th Wonders of The World dalam kategori 'Nature'. Pamukkale merupakan satu kawasan air panas semulajadi yang mengalir pada suhu kira-kira 35 darjah Celcius. Kandungan kalsium yang tinggi membuatkan kawasan air panas di pergunungan itu menjadi putih yang begitu indah. Subhanallah, begitu indahnya ciptaan Tuhan!!
Pemandangan indah ciptaan Tuhan di Pamukkale

Penulis di kawasan air panas, Pamukkale

Keistimewaan Pamukkale membuatkan ia menjadi tumpuan tamadun-tamadun awal seperti Pegamon, Rome dan Byzantine dan tempat ini dikenali sebagai Hierapolis. Di situ terdapatnya satu bandar purba yang dilengkapi dengan pelbagai bangunan dan kemudahan awam yang dibina sewaktu tamadun Rome dan Byzantine. Uniknya Hierapolis ialah bangunan-bangunan di situ begitu besar dan ia tidak dibina dengan sebutir paku atau simen. Semuanya hanyalah susunan batu-batu, yang mana masih kekal hingga hari ini.
Penulis di Roman Arch, antara struktur di Hierapolis yang tinggal selepas dimusnahkan Allah dengan gempa bumi

Penulis di sebuah teater Rome, Hierapolis

Pada hari terakhir saya di Istanbul, saya telah menaiki 'cruise' merentas Selat Bosphorus. Bahagian kiri adalah Eropah dan di kanannya pula adalah Asia. Pemandangan di situ begitu indah, dengan banyak sekali kelihatan peninggalan tamadun-tamadun purba di bahagian Asia dan Eropah. Tidak hairanlah mengapa Constantinople menjadi tarikan pelbagai kuasa besar dunia suatu masa dahulu.
Masjid Yeni dan Masjid Sulayman, dari atas cruise merentas Selat Bosphorus

MASYARAKAT TURKI

Sepanjang saya berada di Turki, saya telah bersembang dengan berpuluh-puluh orang Turki. Sememangnya mereka sangat peramah dan suka menolong. Di mana sahaja saya berada, ada sahaja masyarakat tempatan yang tegur, tidak kira di dalam bas, luar bas, di dalam masjid, sewaktu ambil wuduk, malah di kaki-kaki lima. Sewaktu saya di Pamukkale, ada saudara seagama yang saya berkenalan di masjid membawa saya ke rumah dan menjamu dengan makanan. Malah, beliau telah menjemput rakan-rakannya yang lain untuk datang juga ke rumah untuk makan bersama. Hati saya sedikit tersentuh, kerana keadaan rumah lelaki tersebut sangat kecil, mungkin sama saiz dengan bilik tidur saya di sini. Namun, hatinya sangat baik untuk menolong dan meraikan tetamu, dengan apa yag dia ada. Sepanjang perjalanan pulang dari Pamukkale, saya terfikir di dalam hati apa agaknya maksud tersirat yang Allah hendak tunjukkan pada saya. Barangkali, selama ini saya tidak cukup berlaku baik dengan saudara seagama dan mungkin juga saya tidak begitu bersyukur dengan nikmat yang saya ada sekarang. Saya amat terasa persaudaraan Islam sepanjang saya berada di Turki. Saya tidak pernah berjumpa mereka dan mereka tidak pernah berjumpa saya. Namun, Islam telah mempersaudarakan umatnya menjadi satu. Indahnya persaudaraan Islam.

Namun demikian, ada juga masyarakat Turki yang berbangga dengan dasar sekular negara mereka. Malah ada antara yang saya berbual yang mempertikaikan solat 5 waktu itu sendiri. Ramai juga masyarakat Turki pada hari ini yang bukan sahaja tidak memahami, malah tidak tahu membaca tulisan Arab. Padahal, Sewaktu pemerintahan kerajaan Uthmaniyah, bahasa Arab merupakan bahasa utama di negara tersebut. Namun, bahasa Arab telah dihapuskan sama sekali di Turki oleh Mustafa Kamal Attartuk.

MENINGGALKAN KOTA ISTANBUL

Blue Mosque, Sultanahmet, Istanbul

Saat-saat meninggalkan Istanbul adalah sedikit beremosi, kerana saya tahu bahawa saya bakal meninggalkan satu kota yang pernah menjadi satu pusat pemerintahan kuasa Islam suatu masa dahulu. Apapun saya bersyukur pada Tuhan kerana telah diberikan kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi yang pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w., satu bumi yang pernah menjadi igauan para sahabat Rasulullah s.a.w. dan juga satu bumi yang pernah menjadi pusat penyebaran dan pemerintahan kerajaan Islam yang mulia.

Sekurang-kurangnya kembara kali ini mengingatkan saya betapa hebatnya tamadun Islam suatu ketika dahulu. Kepada para pembaca, marilah bersama kita naikkan kembali martabat Islam yang pernah memegang tamadun suatu ketika dahulu. InsyaAllah, jika Tuhan memberikan saya kesempatan, saya akan datang lagi ke Turki.

2 comments:

a.i.s.y.a.h. i.s.m.a.i.l said...

salam.

abang.. i'm off to spain malam nie.. btolak dr cardiff pkl 2.30 pagi..


predicted mlm ni snow lebat.. doakan lah everything goes well through out the 6 days journey.

x gi mane2 ke winter ni?

k la mohon maaf salah silap. take care.

loves,
aisyah ismail

muhammad noor ismail said...

ic2..

okeh. jln baik2 kat spain.. jg diri, jg barang sume, k.. abg gak tak sampai2 lagi ke spain.. padahal plan dah lame dah.. hehe..

abg gi dekat2 sini je cuti.. tu pun, jadual cuti dah full dah.. adeh.. mcm lagi busy dari tak cuti.. hehe..