Sebagai seorang manusia biasa, pastinya kita tidak dapat lari dari kesedihan. Kita cenderung untuk berasa sedih apabila kehilangan orang tersayang, ketika perkara yang kita harapkan tidak berlaku, ketika dianiaya dan sebagainya.
Demikian juga dengan dunia dakwah. Ia tidak lari dari pelbagai cabaran dan rintangan. Ada masanya, kita terpaksa menelan pelbagai perkara yang benar-benar menyakitkan hati. Kadangkala kita dikritik hebat oleh orang-orang di sekeliling kita. Tidak kurang pula yang difitnah dengan macam-macam perkara.
Dahulu, saya hanya mendengar cerita-cerita dari orang lain. Namun, ketika ia menimpa diri kita sendiri, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Apapun, percayalah, perasaan ini adalah fitrah yang dilalui oleh para anbia' sebelum kita. Hatta Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak terlepas dari perasaan ini. Saya teringat satu hadis Rasulullah s.a.w. selepas Peperangan Hunain:
Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Ketika hari peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w. melebihkan - mengutamakan - beberapa orang dalam pemberian pembagian - harta rampasan, lalu mem-berikan kepada al-Aqra' bin Habis seratus ekor unta dan memberikan kepada 'Uyainah bin Hishn seperti itu pula - seratus ekor unta, juga memberikan kepada orang-orang yang termasuk bangsawan Arab dan mengutamakan dalam cara pembagian kepada mereka tadi. Kemudian ada seoranglelaki berkata: "Demi Allah, pembagian secara ini, sama sekali tidak ada keadilannya dan agaknya tidak dikehendaki untuk mencari keridhaan Allah." Saya lalu berkata: "Demi Allah, hal ini akan saya beritahukan kepada Rasulullah s.a.w." Saya pun mendatanginya terus memberitahukan kepadanya tentang apa-apa yang dikatakan oleh orang itu. Maka berubahlah warna wajah beliau sehingga menjadi semacam sumba merah - merah padam kerana marah - lalu bersabda: "Siapakah yang dapat dinamakan adil, jikalau Allah dan RasulNya dianggap tidak adil juga." Selanjutnya beliau bersabda: "Allah merahmati Nabt Musa. Ia telah disakiti dengan cara yang lebih sangat dari ini, tetapi ia tetap sabar." Saya sendiri berkata: "Ah, semestinya saya tidak memberitahukan dan saya tidak akan mengadukan lagi sesuatu pembicaraanpun setelah peristiwa itu kepada beliau lagi." (Muttafaq 'alaih)
Hadis ini lebih dihayati sekiranya kita mendalami sejarah Peperangan Hunain. Peperangan ini merupakan satu-satunya peperangan umat Islam pada zaman Rasulullah di mana bilangan tentera Islam melebihi tentera Musyrikin. Dan ia juga merupakan peperangan pertama sejak bukanya kota Makkah. Namun, pada awalnya tentera Islam mengalami kekalahan dan sejumlah besar mereka lari meninggalkan peperangan. Tinggallah kira-kira hanya 100 orang sahaja pejuang Islam yang berperang bersama-sama Rasulullah. Diringkaskan cerita, 100 orang Islam ini akhirnya berjaya menewaskan tentera Musyrikin.
Apapun, hadis tadi menggambarkan betapa tingginya akhlak Rasulullah s.a.w., iaitu seorang rasul dan pendakwah terbaik sepanjang zaman. Sudahlah ditinggalkan di medan perang, berjuang habis-habisan hingga bukanya kota Makkah, apabila sudah menang, orang-orang yang meninggalkan baginda mempersoalkan pula keputusan baginda dalam pembahagian harta.
Namun, daripada menghukum orang-orang yang mempersoalkan baginda tersebut, baginda bersabar sambil menenangkan hati baginda dengan memperingati perjuangan Nabi Musa.
Nabi Musa menghadapi cabaran yang cukup hebat dari bani Israil sendiri. Sesudah baginda mengajak kaumnya lari dari Firaun, baginda dimarahi kaumnya apabila berhadapan dengan laut. Kemudian apabila baginda menyelamatkan kaumnya dengan membelah laut itu, bani Israil meminta untuk melihat Allah pula. Mereka juga meminta supaya diturunkan makanan dari langit. Sesudah diturunkan manna dan salwa, bani Israil masih lagi tidak merasa cukup, dan meminta Nabi Musa supaya memohon agar diberikan makanan-makanan jenis lain dari langit. Tidak cukup dengan itu, ketika baginda keluar meninggalkan kaumnya, mereka semua mula mensyirikkan Allah. Ketika disuruh berperang pula, mereka malas dan memberikan pelbagai alasan.
Kerana itu ketika Rasulullah s.a.w. sedih, baginda memujuk dirinya dengan memperingati kisah Nabi Musa a.s.
Inilah dia akhlak seorang daie yang unggul. Biar sesusah mana pun cabaran yang kita hadapi, pasti ada orang lain yang menerima cabaran lebih hebat daripada kita. Dengan membandingkan kesusahan kita dengan daie-daie sebelum kita, pastinya ia menyejukkan hati kita daripada kesedihan yang sedang melanda.
Ya, kita tidak keseorangan. Moga Allah bersama kita.
Hasbunallah wa ni'mal wakiil.
5 comments:
Nice one bro..
=)
to Abu Hamzah.. alhamdulillah.. Moga istiqamah..
to masruddin.. :-) lame tak jumpe nta nih.. huhu
nice sharing.la tahzan. innallaha ma'ak.
to khazinatul_asrar..
amiin.. tp kite sendiri pun kene ikhlas n usaha all out, baru rasa layak dpt bantuan Allah..
Post a Comment