04 February 2012

Sayang..

Bismillah..

Saya suka ramai orang di dunia ini. Di kalangan orang-orang yang saya suka itu, ada beberapa orang yang saya sayang lebih dari orang-orang lain. Di kalangan orang-orang yang saya sayang lebih itu pula, ada lagi orang-orang yang saya terlebih-lebih sayang. Ok ok. Cukup dulu setakat tu buat masa ini..


Jika saya sayang seseorang, saya akan selalu cuba untuk lakukan yang terbaik untuk orang tersebut. Saya akan cuba untuk suka apa yang dia suka.

Saya ingat kepadanya pada setiap masa. Saya akan cuba luangkan masa saya yang sibuk untuk dia. Saya akan cuba membuat sesuatu untuk 'impress'kan dia. Bila melancong pula, saya akan belikan hadiah untuk dia.

Kerana saya sayangkan dia.

Eh, kenapa sebut tentang sayang ni?

Kerana kadangkala saya keliru dan terfikir sejauh mana sebenarnya benarnya sayang kita kepada Rasulullah s.a.w. Kebelakangan ini, kerap kali saya mendengar orang berkata sayang pada Nabi. Namun, saya rasakan menterjemahkan kata-kata itu dalam perbuatan belum tentu lagi semua orang mampu lakukan.

Bukanlah tujukan kepada siapa-siapa, namun saya lebih memuhasabah pada diri sendiri.

Jika ada manusia yang paling sempurna di atas muka bumi ini, Rasulullah s.a.w. lah manusia tersebut. Ya, sememangnya beliau. Beliau bukan sahaja seorang pendakwah sepenuh masa yang kerja bagai nak gila, malah beliau adalah lambang pemimpin yang adil, panglima perang yang perkasa, penentang taghut yang paling berani, pencipta sebuah peradaban, pencetus budaya ilmu, pejuang keadilan sejagat, penuntut keamanan dan tokoh ketua keluarga yang paling unggul.

Ya, baginda adalah Rasulullah s.a.w, Beliau bukanlah rahmat pada umat Islam sahaja, malah beliau adalah rahmat kepada seluruh alam. Bukankah Allah ada berfirman di dalam quran:

وَ مَا أَرْسلْنَك إِلا رَحْمَةً لِّلْعَلَمِينَ‏

'Dan tidaklah kami mengutus engkau melainkan sebagai rahmat seluruh alam' - 21: 107

Ya, baginda dalah rahmat buat saya, anda, jiran-jiran kita, makcik-makcik kita, datuk nenek kita, musuh kita, kucing peliharaan anda, udara yang kita sedut, hidupan-hidupan di laut, hatta orang-orang Kristian, Yahudi dan sebagainya.

Justeru seharusnya baginda menjadi ikon yang paling kita sayangi, bukan hanya pada kata-kata, tetapi juga pada perbuatan. Adalah pelik jika kita hanya menyebut sayang seseorang, sedangkan dalam masa yang sama kita mendustakan orang itu. Adalah pelik jika kita hanya menyebut sayangkan seseorang, sedangkan dalam masa sama kita tidak perjuangkan malah menentang apa yang orang itu perjuangkan.

Jika benar kita semua sayangkan Nabi, pastinya surau-surau dan masjid-masjid di atas muka bumi ini akan dihujani dengan manusia setiap kali masuknya waktu solat. Kerana Nabi sentiasa menunaikan solat di masjid dan seharusnya orang-orang yang sayangkan baginda akan cuba meniru perbuatan baginda.

Jika benar kita sayangkan Nabi, pastinya semua orang menumpukan hidupnya untuk berdakwah kerana itulah sunnah Nabi yang terbesar. Maka pastinya pencinta-pencinta Rasulullah ini akan cuba sedaya upaya untuk meneruskan misi baginda yang paling besar itu.

Jika benar kita sayangkan Nabi, pastinya tiada siapa ingin berlumba-lumba mengejar harta di dunia ini kerana Nabi hanya menyuruh kita hidup di dunia seperti seorang pengembara. Sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Salman al-Farisi menangis ketika beliau sedang nazak, kerana risau beliau terlalu banyak mengumpulkan harta melebihi keperluan apabila terkenang hadis Nabi. Sedangkan ketika itu beliau hanya mempunyai 20 dirham sahaja.

Jika benar kita sayangkan Nabi, pastinya ramai orang akan berlumba-lumba membantu orang-orang yang susah, kerana Nabi sentiasa berbuat baik kepada orang-orang susah.

Jika benar kita sayangkan baginda, pastinya tiada siapa yang akan mengamalkan bid'ah dan meriwayatkan sumber yang sahih kerana kita sangat berhati-hati daripada melakukan sesuatu yang menjangkau ajaran Nabi, seolah-olah kita lebih pandai dari baginda.

Malangnya kebanyakan kita (termasuk diri saya) yang saya fikir sangat jauh dari praktikaliti. Benda-benda di sekeliling kita kerapkali lebih menarik hati kita daripada Allah dan Rasul. Namun, kita masih mampu mengaku yang kita sayangkan baginda.

Alangkah hipokrit jika kita hanya berkata sayang kepada Nabi namun kita tidak pernah cuba untuk lakukan apa yang baginda buat. Tidak berselawat ke atas nabi. Lebih keji jika kita menentang ajaran Nabi namun masih lagi mampu berkata sayang pada Nabi.

Lupakah kita pada ayat quran dalam surah at-Taubah:

Katakanlah: "jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNYA dan dari berjihad di jalan NYA, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. - 9: 24

Ah, terasa bagai ditumbuk seribu kali bila baca ayat ni.

Minggu ini sesetengah orang menyambut Maulidur Rasul, walaupun sebenarnya ada pelbagai pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah s.a.w. Apapun, ayuh perjelaskan cinta kita. Apa gunanya kita bercuti sempena kelahiran Nabi, sedangkan kita menentang usaha-usaha ke arah menegakkan ajaran Nabi.

Ayuh, sayangilah dengan hati dan perbuatan. Bukan hanya dengan cuti umum atau kata-kata kosong. Satukan hati kita. Kalau kita seorang pelajar, sejauh mana sayang kita pada pelajaran berbanding sayang pada Rasulullah s.a.w. Jika kita seorang yang sudah bekerja, sejauh mana pula sayang kita pada kerja berbanding Rasulullah. Begitu juga jika anda sudah berkahwin.

Saya sebenarnya malu untuk menulis artikel sebegini berkenaan Rasulullah yang tercinta. Kerana diri ini kerap kali memberi alasan tiap kali ada peluang berbuat kebaikan. Diri ini sendiri kerap kali lemah tiap kali diuji dengan kritikan-kritikan orang. Berapa banyak kali terlepas dari bangun qiam di awal pagi. Terlalu banyak yang super duper teramat sangat yang perlu diperbaiki. Malu mengucap sayang ketika perbuatan kita langsung tidak gambarkan ucapan itu. Terasa sangat rindukan Rasulullah, sangat teringin untuk berjumpa baginda, namun sangat malu dengan diri sendiri yang masih belum benar-benar terjemahkan cinta ini dalam perbuatan.

Sayanglah dari hati, bukan sekadar kata-kata.

Selawat dan salam buat baginda Rasulullah yang tercinta.



p/s - I've just opened my twitter account few days ago.. Currently I'm busy studying for my state exam in Clinical Medicine in few weeks. Do pray for my success.

5 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum saudara..

tersentuh hati bila baca...
congrats..good writing.. semoga kita semua menterjemahkn cinta kepada rasulullah dalam hati dan perbuatan yg sbnrn2 nya..

salam maulud nabi..

mohdnoor said...

w'salam, saudara/i..

iAllah moga sama2 dpt terjemahkan cinta kita.. bukan senang sebenarnya..

unm said...

salam..

trima kasih kerana menyedarkan saya..

Afiqah Ismail said...

abang lang,tq..nice one!

mohdnoor said...

la, fiqah rupenye.. makin mantap skarang :-) bgs2..