31 May 2012

Angka '0'...

Bismillah...

Baru-baru ini saya pergi ke Poland, sebuah negara jiran atas beberapa urusan, di samping menziarah sahabat-sahabat di sana. Itu merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki di negara tersebut, tetapi kali pertama di ibu negara nya. Kali pertama saya menjejakkan kaki di Poland adalah lebih kurang 3 tahun lepas, ketika berjaulah ke Krakow, sebuah bandar yang terkenal dengan peristiwa Holocaust.

Sepanjang jaulah saya ke negara tersebut, banyak sekali pengalaman dan peristiwa menarik yang saya tempuhi.

Peristiwa 1 

Sewaktu dalam perjalanan pergi ke Poland, saya duduk di dalam satu 'cabin' bersama dengan seorang warga Czech, Argentina dan Ukraine. Tentu sekali berjumpa dengan warga asing adalah satu perkara biasa bagi mereka yang sudah biasa berjalan di Eropah. Namun, uniknya, kami yang berada di dalam 'cabin' tersebut sibuk berbincang tentang isu semasa dunia.

Saya pada asalnya tidak bercadang untuk terlibat. Saya fikir hendak tidur atau hanya membaca buku. Namun, entah bagaimana, perbincangan kami akhirnya menjurus kepada isu Palestin dan Israel. Menariknya, warga Czech di dalam 'cabin' tersebut adalah seorang yang sangat 'pro-Palestin', sementara warga Argentina itu pula adalah seorang yang sangat 'pro-zionist'. (Saya sudah banyak kali berjumpa orang Yahudi, tapi ini adalah kali pertama saya berjumpa dengan seorang zionist dan bangga menjadi zionist).

Menariknya, diskusi kami menjurus kepada memenangkan pendapat masing-masing. Warga Argentina tersebut bersungguh-sungguh memberikan hujah untuk membela Israel. Malah dia ada membuat projek sukarela untuk membantu warga Israel. Yang seorang lagi pula memang benar-benar pro-Palestin. Dia tahu dan ingat kesemua rentetan sejarah Palestin. Dia tahu kesemua Perjanjian PBB dan Undang-undang Dunia yang berkisar Palestin. Malahan, dia sendiri boikot barangan Israel.

Diskusi kami berlarutan berjam-jam, yang mana akhirnya warga zionist tersebut akhirnya masih lagi enggan mengubah pendirian, sekalipun diberikan hujah yang pelbagai.

Peristiwa 2 

Dalam perjalanan pulang pula, saya ada bertemu dengan seorang warga Malaysia berbangsa Cina. (Jangan main-main.. dekat oversea pun, boleh terserempak orang Malaysia ;p). Kali ini lain pula ceritanya. Saya sempat bersembang dengan warga Malaysia tersebut sementara menanti tren. Lelaki tersebut masih lagi muda, seakan-akan tua sedikit sahaja dari saya, namun dia kini bekerja di Warsaw. Berkebolehan bercakap 6 bahasa dan mempunyai pekerjaan yang stabil di usia muda sudah cukup mengagumkan saya. Namun, apa yang lebih menarik, dia sebenarnya adalah seorang Muslim. Dia menceritakan kepada saya betapa hatinya tertarik dengan Islam sewaktu dia belajar bahasa di Germany. Subhanallah. Bayangkan, seorang berbangsa cina yang datang dari sebuah negara Islam (betul ke negara Islam ;p ) hanya tertarik dengan Islam apabila datang ke negara Barat. MasyaAllah, hidayah Allah itu boleh datang dari mana-mana.


Sepanjang perjalanan pulang, saya memikirkan apa sebenarnya ibrah yang Allah hendak tunjuk pada hambanya yang serba kekurangan ini.

Jika mahu dirungkai, saya kira banyak sekali pengajaran yang saya boleh tulis di sini. Ini belum termasuk peristiwa-peristiwa lain yang berlaku.

Sejujurnya, hati saya tersentuh dengan banyak perkara sepanjang jaulah pendek saya. Saya tersentuh dengan kesungguhan seorang bukan Islam untuk memperjuangkan isu Palestin. Negara Czech adalah negara yang sangat pro-Israel. Media masa di sini seringkali perjuangkan Israel. Malah negara ini sendiri adalah antara segelintir kecil negara di atas muka bumi ini yang menentang kedudukan Palestin di UNESCO. Jika di Malaysia, anda selalu melihat perhimpunan atau ceramah berkenaan pembebasan Palestin, jangan terkejut di Czech Republic, anda akan jumpa perhimpunan dan ceramah-ceramah umum yang memberi kesedaran kepada rakyat untuk bersimpati pada nasib Israel. Namun, ini semua tidak menghalang seorang warga negaranya sendiri untuk memperjuangkan isu Palestin.

Sungguh memalukan apabila ramai antara umat Islam hari ini yang tidak peduli isu di Palestin dan Syria. Yang terbaru, pengumpulan derma untuk Palestin dan Syria di tempat saya belajar mendapat teguran dari pihak kedutaan Malaysia.

Mengetahui isu ini, saya agak sedih dengan sikap umat Islam sendiri yang menjadi penghalang usaha-usaha membantu saudara Muslim yang lain. Keegoan dan kebodohan kita seringkali menjadikan kita alpa dan lalai dengan apa yang lebih utama.

Peristiwa kedua banyak mengajar saya betapa sebenarnya bilangan umat Islam yang ramai di sebuah negara tidaklah menjamin keberlangsungan dakwah mudah berlaku. Apatah lagi jika ramai umat Islam yang berkelakuan teruk, ia bukan sahaja tidak membantu dakwah, malah ia menjadi fitnah kepada umat Islam sendiri.

Tidak kurang pula bezanya dengan kes kedutaan di sini sekarang, juga kes-kes besar lain di negara kita.

Kadangkala saya terfikir, apakah menjadi agama majoriti di sesebuah negara satu kelebihan atau kekurangan. Apa gunanya jika bilangan sahaja ramai, tetapi berangka '0', jika bukan 'negative'.

Sebenarnya, yang menjadi penghalang kepada kemajuan umat kita adalah diri umat ini sendiri. Ketidakfahaman dalam beragama dan pelaksanaan ibadah secara taklid membuta sebenarnya memberikan impak negatif yang besar kepada umat ini sendiri. Mereka berlagak seperti faham, padahal sebenarnya mereka hanya mengelirukan orang-orang di luar sana yang benar-benar ingin mengenali agama ini. Maka tidak hairan, dari kalangan umat yang serba kekurangan dan tidak berilmu ini, lahirlah insan seperti Irshad Manji yang sedang hangat diperkatakan.

Sepanyol 

Pengalaman berjaulah ke Sepanyol sebelum ini banyak membuka mata saya, betapa sebenarnya bilangan yang ramai kadangkala boleh menjadi bahaya apabila masing-masing merasakan kita berada di 'comfort zone', sedangkan bilangan yang ramai itu tidaklah punya kualiti seperti ketika sedikit dahulu.

satu tamadun yang gah kini hanya tinggal serpihan-serpihan 

Sukar untuk percaya, bahawa kejatuhan empayar Islam yang berpusat di Medina Azahara sebenarnya berpunca dari krisis umat Islam sendiri yang mana akhirnya keseluruhan empayar itu runtuh.

Hari ini, jika datang ke Sepanyol, tidak ada lagi saki baki umat Islam dari tamadun Islam yang terdahulu. Kesemua mereka sudah dihapuskan dalam misi 'Inquisition'. Yang ada pada hari ini pun semuanya adalah yang imigrasi setelah ratusan tahun kerajaan itu jatuh.

Inquisition di Sepanyol. Umat Islam diberi pilihan untuk keluar, menukar agama atau dibunuh

Kita melihat sejarah dan kita belajar dari sejarah. Kejahilan dan kebodohan sebenarnya adalah satu liabiliti besar pada umat.

Kerana itu kesinambungan dakwah, tarbiyah perlu berterusan, selari dengan perkembangan aspek sosial dan politik.



p/s - Doakan kecemerlangan saya dalam peperiksaan akhir pengajian Perubatan saya dalam masa terdekat 

08 May 2012

24 Jam..

Bismillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Saya baru sahaja selesai peperiksaan akhir 'Surgery' siang tadi. Satu bidang yang cukup mencabar bagi saya. Apapun, alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dgn keputusannya. Alhamdulillah. Syukur pada Allah yang Memudahkan urusan saya siang tadi. Badan saya kini terasa amat letih, kurang bermaya, fikiran terasa berat dek sibuk dengan peperiksaan yang begitu panjang siang tadi. Jam sudah pukul 12 dan lagi beberapa jam sahaja lagi subuh akan masuk. Pantas sungguh masa berlalu.

Ramai yang bertanya tentang status blog saya setelah lama tidak mengemaskininya. Sejujurnya, saya tidak punya alasan yang kukuh mengapa tidak mengemaskini blog kebelakangan ini. Benar, saya sibuk mentelaah pelajaran di samping ke hospital di siang harinya. Namun, itu bukanlah alasan sebenar yang kukuh. Diikutkan hati, banyak sekali yang hendak dikongsi setelah beberapa ketika tidak menulis entry.

Ramai lagi orang yang lebih sibuk dari saya. Sesetengah mereka sudah bekerja, punya keluarga dan aktif dengan medan amal masing-masing. Dan mereka masih punya masa untuk bergerak merata tempat dan melakukan pelbagai urusan lain. Masih punya masa untuk menulis artikel-artikel yang menjadi rujukan masyarakat dan sebagainya. Saya cemburu dengan orang-orang seperti itu. Mereka hebat. Mereka punya keberkatan masa yang tidak semua orang miliki.

Ya, semua orang dianugerahkan 24 jam dalam sehari. Namun, dalam 24 jam tersebut, kita dapat lihat di sekeliling kita lain orang dapat manfaatkan 24 jam tersebut dengan pelbagai cara sekali. Ada orang yang sehariannya habis dengan pelajaran. Ada orang pula yang sudah habis peperiksaan, tetapi masanya habis dengan menonton filem.

Semua itu berlaku dalam 24 jam yang sama. Ya, satu nikmat yang Allah Kurniakan dengan adil pada semua.

astronomical clock di Prague yang terkenal


Namun, sungguh ajaib, bagaimana 24 jam ini menghasilkan natijah yang berbeza bagi individu yang berbeza. Ajaib. 1 jam bagi individu A mungkin lebih panjang dari individu B, walaupun jika diukur dengan jam, masing-masing punya bacaan yang sama. Sungguh canggih ciptaan Allah ini.

Itulah dia yang dinamakan keberkatan masa.

Sudah pasti 1 jam yang diberkati lebih baik dari 1 jam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati pasti lebih baik dari setahun yang tidak diberkati. Kita tidak boleh mengubah masa. Tetapi kita boleh menjadikan masa itu berkat dengan doa-doa dan usaha-usaha yang baik dan ikhlas.

Maka jika difikir-fikir, tidak hairan, orang selalu katakan masa adalah nikmat yang besar.

Masa kita sangat suntuk. Moga Allah Kurniakan kita keberkatan masa yang kita peroleh. Lupakah kita pada firman Allah dalam surah al-Asr:
'Demi Masa.. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran' 

Dalam ayat-ayat lain di dalam quran, kebiasaannya perkataan 'beriman' hanya diikuti dengan 'beramal soleh', tetapi bilamana membicarakan soal masa, Allah memasukkan sekali soal mengajak kepada kebaikan. Beriman dan beramal sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan mengajak kepada kebaikan. Tidak cukup! Jika tidak, kita masih lagi dikira rugi. Namun berapa ramai sahaja antara kita yang benar-benar memahami konsep ini.

Saya percaya ayat-ayat ini sudah biasa dibaca dan dihafal oleh anda yang membaca tulisan saya sekarang, namun bagi saya, ia adalah ayat yang cukup besar ertinya.

Ah, sukarnya untuk memanfaatkan masa yang suntuk! Ya, memang sukar! Saya akui sukar.

Namun, saya percaya, tiada yang mustahil jika kita punya urusan yang tersusun dan juga IQ.. owh, bukan intelligence quotience.. tetapi Iradah Qawiyyah :-)  Tidak hairan mengapa IQ ini menjadi jentera penting dalam kejayaan satu-satu gerak kerja.



p/s - jazakumullah khayran utk semua yang mendoakan saya :-)