Ini merupakan entry pertama saya berkenaan dengan seorang tokoh. Dan saya memilih untuk membicarakan mengenai seorang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Ayyub al-Ansari sebagai tokoh yang pertama. Saya sendiri pernah berjanji dalam satu artikel lepas bahawa saya akan bercakap tentang tokoh ini.
Pertama sekali, saya ingin menjelaskan bahawa ahl al-Sunnah wal Jamaah memartabatkan para sahabat. Kita memandang tinggi para sahabat Rasulullah. Mereka menduduki tempat yang cukup istimewa di dalam agama kita, yang tidak akan dicapai oleh umat yang seterusnya. Terdapat banyak hadith dan ayat Quran yang memartabatkan para sahabat Baginda s.a.w. Antaranya, dalam surah al-Hadid, Allah berfirman:
"Tidak sama antara kamu orang yang membelanjakan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Makkah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang yang membelanjakan (harta) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada kedua-dua golongan balasan yang lebih baik. Allah amat mengetahui apa yan gkamu kerjakan" - al-Hadid: 10Ayat di atas secara jelas menafikan persamaan martabat antara para sahabat yang berjuang dan berbelanja sebelum pembukaan Kota Makkah dengan mereka yang berbelanja dan berjuang selepas peristiwa itu. namun Allah menjanjikan kedua-dua golongan balasan yang baik iaitu syurga. Ini bererti kesemua mereka adalah ahli syurga.
Selain itu, al-Sunnah juga memartabatkan para sahabat. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam satu hadith:
Daripada Abu Sa'id al-Khudri, katanya: Bersabda Nabi s.a.w.: "Jangan kamu mencerca para sahabatku. Sesungguhnya jika ada di kalangan kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, ia tidak mencapai (nilai) secupak (makanan) atau setengahnya yang dibelanja oleh mereka." - Riwayat al-Bukhari dan MuslimDalam hadith ini baginda Nabi s.a.w. menggambarkan betapa tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah s.w.t. sehinggakan nilai secupak yang dibelanjakan oleh mereka pada jalan Allah adalah lebih mulia di sisi Allah daripada emas sebesar Bukit Uhud dibelanjakan oleh sesiapa yang selepas mereka. Hadith ini jelas membuktikan kelebihan atau keutamaan mereka jika dibandingkan orang-orang selepas mereka.
Dengan itu, pegangan kita, ahl al-Sunnah, kita memartabatkan para sahabat Baginda s.a.w. Kita bukanlah seperti sesetengah golongan yang saya tidak mahu sebut di sini, yang mencaci para sahabat, malah sampai ada yang mengkafirkan para sahabat.
Menyedari ketinggian martabat para sahabat, maka saya suka untuk berbicara mengenai salah seorang sahabat Nabi s.a.w. untuk kita mengambil pengajaran daripada insan yang mulia ini. Sahabat yang dimaksudkan ialah Abu Ayyub al-Ansari.
Abu Ayyub al-Ansari r.a (587 - 668) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib berasal dari Bani An-Najjar. Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekkah.
Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah dalam peristiwa Hijrah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: "Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan". Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a. Namun, Rasulullah tidak turun dari unta tersebut. Selepas beberapa minit, unta tersebut bergerak lagi, namun, kemudian ia pusing kembali, mengikut tapak yang ia lalui, dan kali ini unta tersebut duduk betul-betul di tempat sama di mana ia berhenti sebelum ini.
Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.
Peristiwa itu bukanlah kali pertama beliau menemui Rasulullah. Abu Ayyub pernah betemu Rasulullah ketika beliau mengikuti rombongan Madinah untuk berjumpa Rasulullah di Makkah sewaktu Perjanjian 'Aqabah.
Rumah Abu Ayyub mempunyai dua tingkat. Beliau telah menyiapkan tingkat atas untuk Rasulullah, namun, Rasulullah telah tidur di tingkat bawah. Beliau berasa sangat bersalah dan tidak dapat tidur pada malam pertama Rasulullah berada di rumah beliau. Beliau serba salah kerana berada lebih tinggi dari Rasulullah. Namun, Rasulullah menerangkan bahawa baginda duduk di bawah kerana menerima banyak kunjungan. Demikianlah cinta para sahabat kepada Nabi sehinggakan tidak mahu berada di tempat lebih tinggi dari Rasulullah.
Rasulullah telah tinggal di rumah Abu Ayyub selama kira-kira 7 bulan sehingga masjid dan rumah baginda siap dibina. Rasulullah hanya berjiran dengan Abu Ayyub. Abu Ayyub sangat mencintai Rasulullah, dan Rasulullah juga menyayangi sahabatnya itu.
Demikianlah keadaan yang berlaku sewaktu keadaan masih tenteram. Namun semenjak kaum Quraisy Makkah mengancam umat Islam Madinah, Abu Ayyub menjadi seorang yang tidak asing dalam medan peperangan. Beliau duduk di saf yang paling hadapan dalam peperangan Badr, Uhud, Khandak dan peperangan yang lain. Beliau telah mencurahkan diri dan hartanya di jalan Allah.
Beliau tidak terlepas mana-mana peperangan sejak zaman Rasulullah sehinggalah Mu'awiyah, kecuali jika peperangan itu bertindih dengan pertempuran lain.
Peperangan terakhir yang disertai oleh Abu Ayyub ialah ketika pemerintahan Mu'awiyah, yang diketuai anaknya, Yazid, menentang Constatinople. Sewaktu peperangan ini, terdapat desas-desus yang mengatakan: "Jangan menyertai peperangan ini. Kita di pihak yang kalah. Bukankah Allah ada menyebutkan, 'Jangan mencampakkan dirimu ke lembah binasa' "
Namun, Abu Ayyub yang ketika itu sudah berusia lebih 80 tahun menyanggah fahaman sedemikian. Beliau tidak cakap sahaja. Beliau membuat apa yang beliau katakan. Beliau yakin dengan janji Rasulullah bahawa Constantinople akan jatuh ke tangan umat Islam. Dengan usia yang begitu tua, Abu Ayyub masih mempunyai semangat yang begitu tinggi. Beliau telah bergerak bersama-sama tentera Islam dari tanah Arab ke arah kota Constantinople yang begitu jauh.
Dalam pertempuran tersebut, Abu Ayyub telah mengalami kecederaan yang parah. Ketika ditanya oleh panglima tentera tersebut iaitu Yazid bin Mu'awiyah, "Apakah yang engkau mahukan?" Tahukah anda apakah permintaan terakhir Abu Ayyub? Beliau berkata "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda 'Seorang lelaki soleh akan syahid dan dikuburkan di bawah kubu kota Constantinople'. Maka aku meminta agar disemadikan jasad ku di bawah kubu Constantinople agar suatu hari nanti aku dapat dengar bunyi tapak kaki kuda-kuda tentera Islam di atasku. Tahulah aku bahawa umat Islam sudah beroleh kemenangan"
Tentera Yazid telah membawa jasad Abu Ayyub sejauh mungkin ke dalam kota Constantinople, dan akhirnya dia telah dikuburkan di situ.
Janji Rasulullah sememangnya berlaku. Seperti yang saya ceritakan dalam entry yang lepas, tentera Islam akhirnya berjaya memasuki kota Constantinople di bawah Sultan Muhammad al-Fatih. Diriwayatkan, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuat maqam tersebut pada tahun 1459 selepas mentornya, iaitu Aktemsettin telah bermimpi menemui tempat kubur Abu Ayyub di dalam mimpinya. Sultan Muhammad al-Fatih juga telah mendirikan masjid di kawasan tersebut sebagai memperingati jasa seorang sahabat Rasulullah yang agung.
Sehingga hari ini maqam Abu Ayyub dapat dilihat tidak jauh dari dinding Constantinople di Istanbul. Ia mengingatkan kita mengenai peribadi seorang sahabat Rasulullah yang telah mencurahkan segala yang ada pada dirinya baik jiwa dan hartanya untuk agama Islam. Ia mengenangkan kita betapa umat yang terdahulu telah berjuang bermati-matian sehingga ke penghujung hayat semata-mata untuk menyebarkan agama Islam supaya sampai kepada kita pada hari ini. Tanpa perjuangan mereka, barangkali kita tidak dapat menikmati seruan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Umat yang terdahulu mencurahkan segala yang ada pada mereka untuk menyebarkan agama Islam. Apa pula yang kita lakukan untuk kebaikan Islam pada hari ini? Apakah kita sudah cukup berkorban untuk agama Islam? Atau adakah kita hanya mementingkan diri kita untuk mengejar kemewahan hidup di dunia? Sama-samalah kita renungkan dan memuhasabah diri kita.
p/s: Penulis kini sedang sibuk mentelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir summer semester. Diharap para pembaca dapat mendoakan kejayaan penulis.
3 comments:
wau best2!! nice entry gak.. aisyah x reti la nk tulis panjang2..~ kene menuntut ilmu ngan abang ni.. hehe~ k k all the best exam.. =)
p/s: cepat2 balik nnt kte g jumpa alya n afiq =)
salam...
Rasulullah SAW bersabda, "Sahabat-sahabatku Umpama Bintang Di Langit..." (Hadith sahih Riwayat Bukhari)...
Petiklah mane2 di antara mereka, nescaya menjadi pedoman dan petunjuk bg kita laksana bintang di langit menjadi penunjuk arah bg sang pengembara di waktu mlm.... insyaAllah... great story...
really admired to go there too!!! learn n see how they create the history... ^_^
Salam..
To aisyah.. thanks.. huhu.. tak sabar gak nak balik umah.. rindu sgt sgt kat alya dgn afiq.. huhu.. tp kene exam dulu nih..
to Saif Shah.. thanks jgk.. pegi la.. situ mmg sgt bes, n byk pengajaran :-)
Post a Comment