20 August 2009

Jaulah Ikhwah Czech, Mukhayyam


Salam w.b.t.

Alhamdulillah, segala pujian hanyalah milik Allah. Jaulah Brothers Czech yang saya uruskan akhirnya selamat berjalan walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak dirancang berlaku.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perjalanan jaulah yang telah saya rancang bersama beberapa rakan yang lain, walaupun ada perkara yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah, begitu banyak sekali ilmu dan pengalaman yang telah saya perolehi sepanjang jaulah kali ini, yang diakhiri dengan mukhayyam di Kepong. InsyaAllah, segala ilmu dan pengalaman yang telah saya peroleh akan saya manfaatkan pada masa akan datang.

Saya tidak bercadang untuk menceritakan secara terperinci tempat-tempat menarik yang telah saya lawati atau lalui memandangkan saya percaya ramai yang sudah biasa dengan tempat-tempat yang saya lawati, berbeza dengan tempat-tempat yang saya pergi sewaktu di luar negara. Apapun saya suka untuk berkongsi beberapa peristiwa yang menarik sepanjang perjalanan saya.

Ipoh

Sewaktu jaulah di Ipoh dan Tronoh, kami telah menziarah rumah-rumah ikhwah di kawasan tersebut. Alhamdulillah, pelbagai pengalaman dan ilmu baru telah dapat ditimba sepanjang jaulah tersebut, terutama sekali sewaktu menziarah Dr Hizul di Tronoh.

Pangkor

Percutian di Pulau Pangkor sememangnya menyeronokkan. Apatah lagi kami banyak melakukan aktiviti sesama sendiri. Setelah mandi-manda dan beraktiviti di Pantai Teluk Nipah pada waktu siang, di sebelah malamnya pula, kami telah menyalakan unggun api sepanjang malam tersebut. Bermula dengan menunaikan solat jemaah di tepian pantai dengan dihiasi pemandangan indah matahari terbenam, kami kemudiannya membaca ma'thurat, dan melakukan pelbagai lagi aktiviti sambil membuat barbecue hingga larut malam.

membuat unggun api di Teluk Nipah

Penulis menikmati keindahan alam di waktu malam

Keesokan harinya pula, saya dan rakan-rakan yang lain menikmati keindahan taman laut di Pulau Pangkor. Itu merupakan kali keempat saya snorkling, dan merupakan kali kedua di Pulau Pangkor. Namun pada pagi tersebut, ombak sangat kuat sehingga menyukarkan pergerakan.

Menaiki bot dari Pangkor

Kedah

Tahniah saya ucapkan kepada sahabat saya saudara Najmi dan Afifah yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Begitu juga dengan seorang lagi teman seusrah saya iaitu Yaqzan yang juga telah mendirikan rumah tangga. Semoga baitul Muslim yang didirikan berkekalan dan seterusnya menguatkan lagi semangat untuk berdakwah di bumi Republik Czech. Semoga dimurahkan juga jodoh untuk mereka yang masih belum berumah tangga, termasuk penulis sendiri :-)

Penulis bergambar bersama pengantin baru

Pulau Pinang

Di Pulau Pinang, pengalaman lain pula yang telah diperoleh. Ramai ikhwah baru yang saya berkenalan, dan kami telah berkongsi pengalaman. Banyak sekali pengajaran yang dapat saya peroleh melalui jaulah di Pulau Pinang. Saya juga sempat menyertai satu sesi ISK yang diadakan oleh ikhwah PMC untuk para pelajar USM Pulau Pinang.

Terima kasih juga kepada ikhwah Pulau Pinang yang telah membawa kami bersiar-siar keesokan harinya.

Mukhayyam

Ini merupakan mukhayyam pertama yang saya lalui. Pengalaman bersama ikhwah dari France banyak sekali memberikan ilmu baru.

Antara ikhwah Czech yang menyertai mukhayyam
Pegajaran

Sudah tentu mengembara di kawasan lain memberi pelbagai pengajaran. Hati saya beberapa kali tersentuh sepanjang jaulah tersebut. Namun, saya simpan pengajaran-pengajaran tersebut untuk saya muatkan dalam entry-entry selepas ini.

Ukhwah

Alhamdulillah, jaulah kali ini berjaya merapatkan lagi ukhwah yang sudah terbentuk, dan membuka ruang untuk ukhwah baru terjalin. Selama ini di Czech, kami hanya berjumpa untuk berbincang, mengadakan usrah, daurah dan pelbagai lagi program. Namun jaulah kali ini memberi ruang untuk kami lebih mengenali dengan lebih rapat, setelah berhari-hari bersama. Pelbagai cerita dan pengalaman hidup telah dikongsi sepanjang perjalanan. Sejak dari awal, segala perancangan dirancang dengan teliti.

Sewaktu di rumah Hakimi
Penulis bergambar bersama Ustaz Hasrizal sewaktu Eksplorasi Du'at

Apapun, satu perkara yang saya rasai sepanjang perjalanan kali ini ialah kemanisan rasa bekerja dalam suatu kumpulan. Program-program yang saya sertai sewaktu cuti musim panas ini membuatkan saya terasa yang saya bukanlah keseorangan. Kadangkala apabila berada di tempat belajar di Republik Czech, kita kadangkala merasakan pelik dengan apa yang kita sendiri lakukan. Namun, perasaan kebersamaan yang telah saya lalui bersama ikhwah dari pelbagai negara membuatkan saya sedar yang agenda dan cabaran yang dilalui bukanlah melibatkan saya seorang sahaja, seterusnya menaikkan kembali semangat untuk terus bekerja. InsyaAllah saya akan menyentuh perkara ini dalam entry yang lain :-)

Baki cuti musim panas saya insyaAllah akan saya manfaatkan dengan membaca buku-buku yang banyak yang saya beli di mana jua saya pergi.

Akhir sekali, sedikit makluman untuk semua. Saya ada menjalankan perniagaan khuf. Justeru bagi sesiapa yang berminat, bolehlah menghubungi saya :-)


p/s: Gambar-gambar yang dimuatkan dalam entry kali ini insyaAllah akan dikemaskini lagi

No comments: