07 January 2010

Perjuangan Kita Bukan Seperti Air Yang Dicampak Batu..

Salam w.b.t.

Minggu ini, jika baca di media massa mahupun di blog atau apa sahaja informasi di Google Reader, ramai sekali tokoh-tokoh politik dan ilmuan agama yang mengeluarkan pendapat mengenai penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan sebuah akhbar Katolik. Tidak kurang pula yang berdiskusi di forum-forum yang saya baca. Di Facebook pula dalam sekejapan begitu ramai sekali yang membuat group sebagai bantahan dan sebagainya.

Saya bukanlah hendak memberikan pendapat dalam perkara ini. Jauh sekali untuk mengatakan mana pihak yang betul atau salah. Biarlah orang-orang yang mempunyai ilmu yang lebih dalam perkara ini untuk mengeluarkan pandangan mereka.

Saya sekadar memerhati, membaca dan berfikir dari apa yang saya lihat. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada lagi rasa prihatin pada Islam di kalangan masyarakat kita.

Sebenarnya rentetan peristiwa-peristiwa sebegini adalah perkara biasa yang kita lihat setiap kali ada sahaja isu yang menggugat sensitiviti umat Islam. Kadangkala, orang yang selama ini ke masjid pun tidak malah solat pun tidak, tiba-tiba boleh bangkit bersuara, berdemonstrasi dan berjuang habis-habisan untuk menegakkan kesucian agama. Kemudian apabila isu reda, suara-suara ini hilang bersama dengan isu tersebut.

Persoalannya di manakah kita letakkan nilai Islam tersebut. Apakah kita hanya menjadi Islam apabila adanya isu dan hilang apabila isu tersebut pudar. Adakah kita hanya mempraktikkan pada satu-satu masa. Jika demikian, jika katakan tiada isu yang timbul, di manakah letaknya perjuangan kita? Adakah ini bermakna kita tidak perlu berjuang untuk Islam?

Sengaja saya timbulkan persoalan-persoalan ini, supaya kita jelas dengan matlamat sebenar perjuangan kita. Isu mungkin adalah pemangkin, tapi isu bukanlah matlamat dalam suatu perjuangan. Jika demikian, perjuangan membela Islam akan hilang apabila isu itu hilang. Perjuangan kita bukanlah seperti air yang tenang, yang dicampak dengan batu. Air tersebut hanya akan berkocak sementara waktu dan lama-kelamaan hilang begitu sahaja.


Sebaliknya kita diibarat seperti satu tubuh, yang sentiasa berfungsi tidak kira apa jua yang berlaku di luar tubuh kita. Tidak kira apa jua cuaca di luar - panas atau sejuk, hujan atau salji; seluruh organ dalaman kita tetap berfungsi mengikut tugas masing-masing. Mungkin ada masa jantung kita berdenyut pantas apabila adanya hormon adrenalin apabila kita berasa takut atau cemas, ataupun ia berdenyut pantas apabila diberikan apa-apa ubat yang bersifat 'beta-sympathomimetic' atau 'parasympatholytic'. Namun, jantung kita tidak berhenti apabila ubat atau hormon tersebut dimetabolismekan di hati. Ia tetep berdenyut, meskipun seluruh anggota kawalan dan deria kita dilumpuhkan ketika dibius dengan 'general anaesthetics'. Jika berhenti denyutan tersebut, matilah tubuh kita.

Demikianlah perumpamaan sebuah perjuangan yang berteraskan isu dengan perjuangan yang ada hala tuju dan prinsip yang jelas. Tidak ada gunanya kita banyak berkata-kata jika perkara-perkara asas pun tidak kita penuhi. Saya mengingatkan diri saya juga.

Saya bukanlah menentang sebarang bentuk usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak apabila sesuatu isu dibangkitkan. Namun, hakikat sebuah perjuangan haruslah jelas dan bermatlamat. Perjuangan kita bukan seperti air yang dicampakkan batu!

5 comments:

aisyah ismail ♥ said...

ini terbaek. liking this. keep on writing :)

Anonymous said...

thorbaik..

mohdnoor said...

segala sesuatu datang dari Allah..

thanks, aisyah :-)

run^nia in wonderland said...

sgt setuju
contoh terbaik
macam usaha kita
untuk band
barangan amerika
yang kecoh dan hebat
tahun lepas

tapi tengok lah
apa yang dah jadi sekarang...
dah sunyi sepi
walhal...pihak yahudi
tak pernah sunyi sepi
dengan agenda tersembunyi

sampai kan
cerita 2012
yang keluar baru-baru ni
macam satu fenomena pulak
lupa pulak kita
yang 2012 tu sumber nya dari mana

bila dah start buat satu benda
kenalah tetap terus kan

kita suka topik yang panas
mungkin sebab melayu cepat melatah
patut perlu senyap dan berfikir
cara terbaik untuk beri respon

sekadar meluah kan
sebab rasa nya
ada cara yang lebih baik
untuk nak membantah isu ni

atau mungkin
kejadian-kejadian ni
semua nya ada agenda tersendiri
^_^

mohdnoor said...

thanks, ain, utk komen tu :-)

yep, yang penting, kite kene setiap masa terus bekerja dan berjuang utk agama..

Kerja yang kita ada lebih banyak dari masa yang kita ada..