Salam w.b.t.
Alhamdulillah, saya selamat sampai ke tanah air. Syukur pada Tuhan yang Maha Pemurah kerana memberi izin kepada saya menikmati nikmat di negara sendiri yang tidak ternilai jika dibanding dengan tempat lain. Saya tiba dua hari lepas, setelah bermukim sebentar di Melaka sebelum pulang ke Perak.
Sudah tentu perjalanan yang lebih sehari itu memenatkan, ditambah dengan perbezaan waktu 6 jam yang saya lalui dalam tempoh perjalanan tersebut. Namun, alhamdulillah, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, saya kurang sekali alami 'jet-lag'. Mungkin kerana saya berehat dengan agak cukup sebelum dan sewaktu perjalanan, di mana kali ini saya disediakan hotel 4 bintang untuk berehat-rehat sewaktu di Dubai.
Penulis di Dubai
Ya, saya gembira berada di samping keluarga yang kian lama tidak berjumpa. InsyaAllah hujung minggu ini pula, adik dan keluarga kakak saya akan sampai. Rindunya pada mereka.
Seperti biasa setiap kali pulang, orang-orang di tempat saya baik tua atau muda akan menegur saya bila mana berjumpa saya di masjid. Alhamdulillah, orang-orang di sini masih tidak melupakan saya, meskipun jarang sekali saya berada di sini semenjak beberapa tahun yang lepas. Mereka membuatkan saya rasa terharu.
Kebetulan semalam ada sambutan Israk Mi'raj sewaktu saya ke masjid. Alhamdulillah, masih ada kumpulan yang melakukan kebajikan di tempat ini. Saya tidak bercadang untuk menyentuh khilaf yang berlaku berkenaan tarikh dan sambutan tersebut.
Setelah bertahun-tahun belajar di luar negara, seronok sekali semasa pergi berjemaah di masjid. Mana tidaknya, di tempat saya belajar, masjid pun tiada, malah kami sedang berusaha mendapatkan masjid. Paling dekat pun, lebih kurang 100 km dari rumah saya. Itu pun kerajaan di situ tidak membenarkan ciri-ciri reka bentuk masjid diserlahkan.
Berbeza dengan di sini, begitu banyak sekali kemudahan yang diberikan kepada umat Islam. Mereka bukan sahaja tidak perlu mengumpul duit membina masjid, malah masjid yang ada sewaktu saya kecil dahulu sudah berkali ganda diperbesarkan, dengan begitu banyak kemudahan. Seronok sekali melihat orang bebas beribadat, mendengar azan dilaungkan, melihat saudara-saudara seagama menunaikan solat dan beraktiviti.
Namun, di sebalik keindahan itu, hati saya digigit rasa sayu.
Seperkara yang saya perasan, amat kurang sekali anak-anak muda sebaya dengan saya yang tampak setiap kali saya ke masjid di sini. Kadangkala terasa sedikit janggal kerana sentiasa dikelilingi dan bersembang dengan pakcik-pakcik yang lebih tua dari saya. Dalam fikiran, saya berfikir kemungkinan ramai pemuda-pemuda di sini yang sibuk bekerja mencari nafkah atau sibuk mentelaah pelajaran. Namun, tiap kali saya pulang ke rumah, ada sahaja terserempak kumpulan-kumpulan pemuda yang duduk-duduk menghisap rokok, bermain gitar dan sebagainya. Ah, terasa asingnya diri ini dengan pemuda-pemuda sebaya. Ya, terasa sangat asing.
Tidak tahu mana silapnya. Saya atau mereka. Besar sekali tanggungjawab dakwah yang perlu dipikul.
Saya tidak bercadang untuk menulis panjang. Ada tugas yang perlu saya lakukan malam ini. Sekadar berkongsi suara hati setelah beberapa hari tiba di sini.
Saya berdoa agar percutian kali ini dapat saya manfaatkan sebaik-baiknya. Saya percaya Allah tidak memberikan semua nikmat ini untuk kita bergembira. Malah Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia melainkan ada hikmahnya.
'Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami Menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? - 23: 115
Justeru saya tidak merasakan segala nikmat yang saya nikmati selama ini adalah sia-sia semata-mata. Pastinya ada tugas dan tanggungjawab besar yang harus dipikul.
Saya serahkan pada diri masing-masing untuk merenung kembali tanggungjawab kita.
Nombor telefon saya sepanjang saya di Malaysia: 013-4046316
p/s - saya sudah mengemaskini web album saya baru-baru ini.
2 comments:
wah..gambar promoter dubai..hihihi =p
-angah-
hehe..btul3x :D
Post a Comment