Saya sedang mengemas-ngemas barang yang perlu dibawa balik. InsyaAllah, esok saya akan berangkat pulang ke tanah air berjumpa keluarga yang dirindui.
Kebetulan di kala saya bersiap-siap untuk pulang, saya sedang membaca tafsir surah Yusuf sepanjang minggu ini. Saya terkesan dengan nilai kekeluargaan yang diceritakan oleh Allah dalam surah tersebut. Diceritakan di dalam surah itu betapa rindunya seorang bapa terhadap anaknya yang sudah sekian lama tidak ditemui. Namun beliau tidak pernah berputus asa dari ujian Allah.
Pastinya Nabi Yaaqub adalah seorang bapa yang cukup hebat dan hamba Allah yang salih, sehingga kisah baginda dengan 12 orang anak-anaknya dirakam di dalam al-quran dengan begitu terperinci sekali. Demikian juga dengan kata-kata dan nasihat Ya'qub kepada anak-anaknya. Kesemua nasihat baginda cukup bermakna jika dihayati betul-betul.
Ikatan keluarga tidak ada gunanya jika ianya tidak berteraskan iman kepada Allah. Lihat sahaja kisah-kisah Nabi yang lain di dalam al-quran yang mana ada di kalangan ahli keluarga mereka tidak beriman, dan lihatlah kesudahan mereka.
Berbeza dengan kisah Nabi Yusuf, kisah Nabi Yaaqub tidak terhenti di dalam surah Yusuf sahaja. Di dalam surah al-baqarah, diceritakan pula bagaimana keadaan Nabi Yaaqub di akhir hayatnya.
'Apakah kamu menjadi saksi saat maut akan menjemput Ya'qub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka menjawab, "Kami akan menyembah Tuhan-mu dan Tuhan nenek moyangmu iaitu Ibrahim, Isma'il dan Ishaq, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kami (hanya) berserah diri kepadaNya"' - 2:133
Lihatlah betapa risaunya seorang bapa terhadap keluarganya. Ia bukanlah merisaukan pelajaran, harta atau pekerjaan, namun yang lebih dirisaukan adalah aqidah mereka sepeninggalannya.
Pastinya kata-kata terakhir bagi seorang bapa yang di hujung hayatnya adalah kata-kata penting yang dirisaukan olehnya. Semestinya nasihat itu adalah nasihat yang penting sehigga ia menjadi perkara yang paling dirisaukan. Tidak ada maknanya segala yang kita ada seandainya prinsip asas aqidah kita tidak benar.
Kata kuncinya adalah zuhud. Saya akui saya masih jauh dari zuhud dan terlalu jauh dari sifat tajarrud dengan jalan ini.
Jika diikut hati, banyak lagi sebenarnya hendak dikongsi namun, saya perlu menyambung mengemas barang memandangkan kini sudahpun larut malam. InsyaAllah, jika ada kesempatan, saya akan berkongsi sedikit sebanyak yang saya dapat dari surah yang menyentuh hati ini.
Apapun, kisah teladan Nabi Ya'qub pastinya meninggalkan impak di hati jika dihayati betul-betul kisahnya dengan anak-anaknya dari awal sehingga di saat hujung hayatnya.
Buat para pembaca, doakan keselamatan perjalanan saya esok. Banyak tugas yang menanti, banyak tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Semoga percutian kali ini dapat menambahkan lagi kekuatan diri saya dan semoga ia memberikan kebaikan buat diri saya dan orang-orang lain.
Ya Allah, berikan kekuatan pada diriku.
No comments:
Post a Comment