Salam w.b.t.
Kira-kira sebulan yang lepas saya ada menulis mengenai 'sejarah' dalam sebuah entry dan berjanji hendak menyambungnya.
Dahulu saya sangat tidak suka dengan subjek sejarah. Belajar pun sekadar untuk periksa, bukan untuk dihayati. Hatta hingga peperiksaan SPM, saya tidak pernah habis membaca buku teks sejarah (mungkin satu-satunya subjek yang saya tidak 'cover' semua waktu SPM). Malahan waktu saya menjawab SPM dahulu, ada soalan yang saya tidak pernah baca, dan saya sekadar mereka-reka cerita, yang saya rasakan logik diterima akal. Mujurlah, rekaan cerita dahulu entah bagaimana boleh jadi betul. Itulah satu-satunya subjek yang saya rasakan saya tidak 'deserve' untuk mendapat A1 sewaktu SPM dahulu.
Itu kisah lama. Pokoknya, bosannya belajar sejarah dahulu. Saya masih ingat ada rakan-rakan saya bergambar dengan senyuman sewaktu membuang nota-nota sejarah ke dalam tong sampah selepas peperiksaan Sejarah SPM untuk merakamkan perasaan lega sudah selesainya sebuah subjek yang membosankan.
Namun, realitinya, di dalam al-quran, banyak sekali kisah sejarah yang diceritakan. Kisah-kisah sejarah yang Allah ceritakan jauh lebih lama garis waktunya dari apa yang belajar waktu sekolah dahulu. Bukan setakat bermacam ceritanya, malah, banyak sekali dialog yang berlaku pada zaman silam dirakamkan sekali dalam kitab al-quran. Namun, kisah-kisah tersebut jauh lebih menarik dari buku-buku teks Sejarah dari tingkatan 1 ke tingkatan 5.
Saya mula meminati Sejarah setelah saya membaca tafsir-tafsir al-quran, dan setelah saya pergi melawati tempat-tempat yang besar signifikasinya dalam peradaban dunia.
Hari ini, sesekali saya terfikir sejauh mana kejujuran kita terhadap sejarah. Sejauh mana kita benar-benar belajar dan mahu belajar tentang sejarah.
Saya suka untuk mengambil contoh Turki, iaitu satu destinasi percutian yang biasa dikunjungi.
Jika ditanya pelajar di luar negara, ramai sekali yang sudah menjejakkan kaki ke negara Eropah dan Asia tersebut. Namun, persoalannya sejauh mana kita benar-benar menghayati dan meneladani sejarah yang lampau.
Istanbul - himpunan suka dan duka
Istanbul bukanlah indah dari segi seni bina ketamadunannya. Bukanlah hebat dari segi masjid-masjidnya yang mengagumkan. Istanbul bukanlah ketinggian sains dan teknologi tamadun Rom, Latin dan Islam yang tercatat di buku-buku. Tetapi Istanbul adalah himpunan suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, kemajuan dan kemerosotan.
Nilai sejarah Istanbul terletak pada kejujuran kita terhadap realiti sejarah itu. Ia terletak pada kesediaan kita untuk mempelajari apa yang membinasakan kehebatan Empayar Islam setelah ditawan hebat oleh Muhammad al-Fatih.
Sayang sekali, berapa ramai sahaja antara kita yang benar-benar menghayati nilai sejarah itu. Akhirnya, musuh-musuh kita yang lebih meneladani kisah sejarah, sepertimana yang diaplikasi oleh Israel pada hari ini yang mengadaptasi kisah Salahuddin al-Ayyubi.
Justeru, ayuh kita lebih proaktif dan tidak hanya duduk dan mengharapkan keajaiban berlaku untuk menaikkan agama. Janganlah sesekali kita rasakan bahawa kita adalah umat mulia dengan hanya duduk tanpa rasa langsung untuk berubah dan merubah keadaan. Jika tidak, tidak ada bezanya antara kita dengan umat Nabi Musa yang diceritakan di dalam al-quran, dan kita hanya perlu menanti bencana ditimpakan ke atas kita sepertimana yang ditimpakan ke atas Bani Israel dahulu.
Kita perlu jujur dengan sejarah!
No comments:
Post a Comment