Salam w.b.t.
Kebelakangan ini, saya sering terbaca isu-isu yang 'berbau perkauman'. Soal-soal berkenaan ketuanan Melayu, meritokrasi, orang bukan Islam di dalam surau, doa bukan Islam dan sebagainya seringkali tersiar di dada-dada akhbar. Sampaikan sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini keihatan pudar dek sibuk akan isu-isu politik. Ada juga rakan yang bertanyakan pendapat saya berkenaan perkaitan Melayu dan Islam. Adakah kemerosotan sistem Islam di negara kita pada hari ini disebabkan kelemahan bangsa Melayu?
Islamkah yang naik kerana Melayu, atau Melayu yang naik kerana Islam?
Saya bukanlah seorang nasionalis. Saya hanya sekadar seorang Muslim yang berbangsa Melayu.
Ya, saya berketurunan Melayu Melaka dan Melayu Singapura. Dua tempat yang dahulunya sarat dengan sejarah ketamadunan silam.
Melayu Singapura
Semenjak saya kecil, ibu saya seringkali menceritakan pengalaman beliau sewaktu kecil di Singapura. Memang benar, kehidupan dan nasib bangsa Melayu di sana dulu dan kini jauh berbeza. Kalau dahulu, metropolis itu merupakan kawasan Melayu yang penuh dengan budaya Melayu tulen. Baik dari segi adat resam, permainan-permainan tradisional mahupun bahasa yang digunakan.
Namun hari ini, kalau lah tidak ada 'Geylang Patah' dan 'Arab Street', barangkali sesiapa yang datang ke Singapura tidak kenal bangsa Melayu di sana. Kawasan-kawasan Melayu lama kini hampir semuanya sudah dipindahkan dan dibangunkan bangunan-bangunan pencakar langit. Malah, kawasan sekolah rendah ibu saya di Kaki Bukit langsung sudah tidak kelihatan. Itu hanya jika dilihat dari sudut infrastruktur, belum lagi disebut hal-hal sosial, peluang pekerjaan, dan sebagainya, jika dibanding dulu dan sekarang. Bahasa Melayu yang dahulunya menjadi bahasa utama di ibu kota itu kini sukar ditutur oleh generasi muda Melayu sendiri.
Bukanlah budaya Melayu yang saya risaukan pupus. Namun yang lebih merisaukan adalah pegangan aqidah yang menjadi tunjang dan jatidiri seorang Muslim di sebuah negara yang dahulunya didominasi masyarakat Muslim.
Sengaja saya singkap sedikit keadaan di kawasan saudara mara saya di sana, apabila saya memikirkan pendapat seorang sahabat saya yang mengatakan 'Islam akan naik apabila Melayu naik'.
Persoalannya apakah punca kegagalan Melayu yang dahulunya sangat berkuasa di rantau ini.
Suka untuk saya singkap kembali sejarah Melayu di rantau ini.
Bercakap tentang Melayu, kita harus ingat bahawa bangsa Melayu dahulunya hidup dalam keadaan yang hina. Kita harus ingat, asalnya masyarakat yang mendiami tanah ini sebelum ini asalnya beragama Buddha, Hindu dan animisme. Mereka dikongkong oleh kewajipan agama yang sangat rumit. Raja dianggap jelmaan Tuhan. Amalan-amalan agama kebanyakannya memberi kelebihan pada golongan atasan yang mudah melaksanakan tuntutan-tuntutan agama.Tidak hairanlah candi-candi yang ditemui di kawasan istana raja dahulu. Sementara rakyat biasa pula perlu dikerah berkhidmat untuk raja-raja atau dewa-dewa yang dianggap sebagai wakil Tuhan di atas muka bumi ini.
Namun, kehidupan bangsa Melayu terus berubah dengan mendadak dengan datangnya agama Islam di rantau ini. Maruah rakyat dijulang ke tempat yang sepatutnya. Setiap golongan masyarakat bebas melaksanakan tuntutan-tuntutan agama yang tidak hanya terikat dengan pihak istana sahaja. Agama Islam merubah perspektif masyarakat tempatan daripada sesuatu yang berasaskan estetik (rasa dan nafsu) kepada sesuatu yang tinggi berdasarkan ilmu dan wahyu. Jiwa yang terikat di bumi, dibelenggu oleh kepercayaan terhadap dewa-dewa dan hantu-hantu jembalang akhirnya bebas di alam tinggi, mendalami ilmu wahyu dan filsafat ketuhanan. Raja tidak lagi menjadi bayangan Tuhan malahan hamba Tuhan yang diamanahkan untuk menjaga kemaslahatan rakyat pimpinannya. Islamlah juga yang mencetuskan revolusi ilmu yang mendorong penghasilan penulisan-penulisan dan karya-karya yang tidak pernah wujud sebelum kedatangan agama mulia ini.
Perubahan-perubahan yang dialami setibanya Islam di rantau ini tidak terkata banyaknya. Semuanya tercatat secara bertulis dalam sejarah yang dapat dikaji.
Pokoknya, Islamlah yang mencetuskan revolusi pemikiran dan ilmu di kalangan kaum Melayu yang dahulunya hidup dalam keadaan yang hina.
Eropah dahulu
Berbeza pula dengan zaman Renaissance di Eropah, masyarakat Eropah semakin maju dari segi ilmu apabila mereka menolak Gereja yang mengongkong perkembangan ilmu. Sistem feudal dan taubat melalui 'indulgence' yang merumitkan semuanya ditinggalkan sehingga tercetusnya revolusi demi revolusi. Pandangan-pandangan paderi konservatif ditolak tepi dan wujudlah masyarakat Eropah hari ini yang seakan-akan hidup tanpa agama.
Di Eiffel Tower - lambang Exposition Universelle, sempene memperingai 100 tahun Revolusi Prancis sewaktu Renaissance
Apa bezanya dengan kita hari ini?
Kita harus ingat, Islamlah yang mula menaikkan bangsa Melayu yang dahulunya tidak bertamadun. Sebaliknya masyarakat Eropah naik apabila mereka meninggalkan agama yang sememangnya tidak serasi dengan perkembangan ilmu.
Justeru jika bercakap dari sudut prioriti, saya berpendapat bukanlah Melayu yang harus diprioritikan, sebaliknya keaslian agama Islam yang harus diperbaharui. Islamlah yang memuliakan kita, dan jika kita meninggalkan Islam, tidak hairanlah bangsa kita menjurus ke arah keruntuhan.
Saya teringat kata-kata Saidina Umar al-Khattab:
'Kita dahulu adalah kaum yang hina dan Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Oleh itu, jika kita mencari kemuliaan (selepas itu) dengan selain daripada Islam, maka pasti Allah akan menjadikan kita hina kembali'
Apa bezanya kita dengan kaum Arab yang dirisaukan Saidina Umar dahulu?
4 comments:
cetusan idea menarik.. like this one..
yup. sangat bestt lah abang! thorbaek. keep it up!
nih kesan baca buku warna kuning tuh eh? :)
btw.. tgh google ttg 'baby throwing!' fuhh ngeriiiiiiiii.
under one roof,
aisyah ismail
huhu.. tak hbs pn bc buku tu.. tak tau la dpt idea mana.. mcm2 bende bace, dengar ;p
tu la.. baby throwing tu mmg ngeri pun.. tp benar2 berlaku..
interesting..
Post a Comment