01 September 2010

Masih Belum Terlewat..


Salam w.b.t.

Sebelum pulang ke Malaysia tempoh hari, saya fikir saya akan ada banyak masa luang di tanah air. Hakikatnya, banyak sekali perkara yang ingin dilakukan, namun masih belum lagi tercapai. Malah, ada juga orang-orang yang meminta pertolongan untuk memberikan kelas motivasi, kerja-kerja kemasyarakatan yang lain dan sebagainya, namun tidak dapat untuk saya bantu disebabkan banyak urusan yang lain. Kita merancang, dan Allah yang Menentukan.

Saya terfikir, bagaimana pula keadaan apabila saya sudah bekerja nanti? Kita sering diuar-uarkan tentang kesibukan profesyen seorang doktor. Moga-moga Allah tsabatkan diri saya di jalan ini dan moga Allah terus Memberikan kekuatan pada diri saya untuk melakukan kebaikan.

La haula wa la quuata illa billah.


Tanpa disedari kita sudah melangkah ke akhir Ramadhan. Saya teringat hadis Nabi yang seringkali kita dengar di awal Ramadhan dahulu.

'Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan iman dan mengharapkan pahala, nescaya diampukan dosanya yang telah lalu' - Muttafaq'Alaih.

Pertama sekali, hadis ini menafikan dakwaan sesetengah ahli sufi yang tidak membenarkan langsung kita beramal kerana mengharapkan balasan. Ada pendapat yang mengatakan kita perlu beramal kerana sifat kita sebagai hamba dan bukanlah beribadah untuk mendapatkan balasan. Hadis ini menafikan dakwaan sedemikian. Namun, tentu sekali balasan yang kita harapkan itu perlu bersandarkan kepada hadis yang sahih, dan bukanlah hadis-hadis lemah berkenaan fadhilat sesuatu amalan yang banyak berlegar-legar dalam masyarakat kita.

Hadis ini juga menjanjikan keampunan dosa bagi siapa yang mendirikan Ramadhan dengan ikhlas. Sesetengah ulama' mengatakan dosa yang dimaksudkan tidak termasuk dosa-dosa besar, namun ia tidak dinyatakan dalam hadis ini. Apapun, tawaran ini pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk kita peroleh. Masih ada masa lagi untuk kita beramal sebelum berakhirnya bulan yang dinanti-nanti ini.

Di akhir Ramadhan juga, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan lagi amal kebajikan seperti yang disebut di dalam satu hadis:

Diriwayatkan dari Aisyah radhiallahu 'anha ia berkata, "Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam terakhir Ramadhan, kerana sesungguhnya Nabi s.a.w. jika memasuki sepuluh malam terakhir, beliau menghidupkan malam-malamnya (dengan beribadah), membangunkan keluarganya dan beliau bersungguh-sungguh serta mengencangkan sarungnya (sebagai bukti kesungguhannya)" - Bukhari dan Muslim

Tidak perlulah untuk saya huraikan lagi kelebihan sepuluh malam terakhir memandangkan saya percaya seharusnya semua orang sudah sedia maklum. Sekurang-kurangnya ayuh kita hidupkan sunnah Nabi di akhir Ramadhan ini. Jika kita boleh 'stay-up' untuk belajar dan mengambil 'part time' untuk bekerja, mengapa tidak kita beramal untuk bekalan hari yang jauh lebih utama dari peperiksaan kita.

Ayuh kita manfaatkan hari-hari terakhir bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga Allah menerima semua amalan kita, dan semoga Ramadhan kali ini berjaya mentarbiyah diri kita ke arah yang lebih baik. Ramadhan semakin meninggalkan kita. Rugilah orang-orang yang mensia-siakannya.

Masih belum terlalu lewat untuk memanfaatkan bulan ini.

No comments: