24 April 2009

Pasca TPMG '09 - Bid'ah Hasanah?

Salam w.b.t.

Sebelum berbicara panjang lebar, saya ingin mengucapkan Selamat Hari lahir utk kakak saya, Dr Amrah binti Ismail, yang menyambut ulang tahun hari lahirnya pada hari ini :-)

Seperti yang saya uar-uarkan dalam entry yang lepas, saya telah menghabiskan cuti Easter saya yang lepas dengan mengikuti program 'The Professional Mukmin Generation' di Plumlov, Czech Republic. Beberapa sahabat saya ada meminta saya berkongsi sedikit sebanyak tentang program tersebut.

Saya sangat tertarik tentang konsep 'Islam itu mudah' yang ditekankan oleh Dr Mohd Asri. Kebetulan, pada cuti musim sejuk yang lepas juga, saya ada membaca sebuah buku karangan beliau sendiri, yang bertajuk 'Bid'ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami'. Lantaran itu, saya juga ada membuat rujukan-rujukan lain berkenaan apa yang telah saya baca dan belajar, ditambah dengan pengisian yang diberikan oleh Dr Mohd Asri sendiri dalam program TPMG baru-baru ini.

Dr Mohd Asri di Plumlov, Czech Republic

Saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu yang telah saya peroleh untuk kebaikan bersama, memandangkan ini adalah isu besar dan menyentuh soal aqidah. Maka adalah wajar bagi setiap umat Islam untuk berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

Barangkali apa yang bakal saya utarakan akan menyentuh emosi sesetengah pihak. Namun, saya berlindung kepada Allah agar saya berada di pihak yang benar. Niat saya adalah ikhlas kerana Allah untuk berkongsi, dan saya suka untuk menjustifikasi sesuatu ilmu secara ilmiah, bukanlah secara emosi, agar kita semua dapat berfikir dan mempertimbangkan sendiri.

Pertama sekali takrifan bid'ah itu sendiri seringkali disalahguna pakai. al-Syatibi menakrifkan bid'ah sebagai:
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah.
Tidaklah dinamakan bid'ah segala rekaan dan ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.

Persoalan bid'ah adalah satu persoalan yang begitu panjang lebar, yang dibahaskan sejak ulama'-ulama' salaf hinggalah hari ini. Justeru, adalah mustahil untuk saya mengupas isu ini dalam satu entry yang singkat.

Malang sekali, terdapat banyak amalam-amalan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari ini yang tidak berlandaskan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kadangkala, kita berkata, 'apa salahnya membuat sesuatu benda yang baik'. Namun, persoalannya, adakah ia dibolehkan? al-imam Malik bin Anas rahimahullah menyatakan:
"Sesiapa yang membuat bid'ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa bahawa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: "Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu". Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini.
Jika kita berfikir secara logik akal pun, kalaulah ada amalan baik, sudah tentu para sahabat Rasulullah s.a.w. yang jauh lebih tinggi iman mereka sudah pun melaksanakan amalan tersebut. Apakah kita menganggap kita lebih mulia daripada para sahabat Rasulullah? Lebih malang, ada antara kita yang menyandarkan sesuatu amalan kepada sesetengah ulama', padahal sebenarnya ulama' tersebut tidak pun menyatakan sedemikian.

Antara amalan yang ditentang sendiri orleh imam al-Syafi'i adalah amalan mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai menunaikan solat fardhu. Saya tidak bercadang untuk memasukkan segala hujah-hujah beliau dalam entry ini memandangkan ia sangat panjang. Namun, jika mana-mana pembaca yang berminat untuk tahu, bolehlah hubungi saya secara peribadi.

Demikian juga amalan mengiringi jenazah dengan bacaan al-Fatihah setapak demi setapak. Kebanyakan orang memandang ini merupakan ajaran yang di ajar dalam mazhab al-Syafie. Namun, pada hakikatnya amalan ini ditentang oleh ulama'-ulama' mazhab Syafie sendiri seperti imam yang agung, iaitu al-Imam al-Nawawi. Dalam kitab al-Azkar, al-Imam al-Nawawi membantah perbuatan membaca al-quran ketika mengiringi jenazah.

Begitu juga dengan amalan menambah kalimah 'wabarakatuh' ketika memberi salam dalam solat. Amalan ini dibantah oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim. Tidakkah penambahan 'wabarakatuh' merupakan satu penambahan yang pada zahirnya kelihatan baik? Jika bid'ah hasanah ialah melabelkan semua yang nampak baik pada andaian manusia, sudah tentu al-Imam al-Nawawi mengkategorikannya sebagai suatu amalan yang disunatkan.

Dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab pula, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi'i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:
"Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sedikit pun. Ia adalah bid'ah yang tidak disukai. "
Kitab-kitab mazhab Syafi'i yang lain juga amat kuat menentang amalan ini.

Banyak lagi amalan yang berlegar di kalangan umat Islam pada hari ini yang sebenarnya terpesong daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kadangkala kita begitu taksub dengan mazhab, yang pada hakikatnya amalan kita tidak pun seperti yang digariskan oleh mazhab itu sendiri.

Sesungguhnya agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah agama yang sempurna, dan haram bagi kita untuk menambah-nambah sesuatu dalam agama. Terdapat banyak amran berkenaan isu ini. Dalam al-quran, Allah ada menyebutkan:
"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? - al-Syura 42:21
Nabi Muhammad s.a.w. sendiri banyak memberi amaran terhadap amalan-amalan yang ditambah dalam agama. Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. menyebutkan:
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyin(mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya, dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat"
Maksud 'gigitlah ia dengan geraham..' ialah peganglah ia dengan bersungguh-sungguh dan bersabarlah dengannya.

Penulis bersama Dr Asri dan peserta-peserta lain

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa setiap perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah disanggah sama sekali. Justeru kita perlulah sedar akan tindakan yang acapkali kita lakukan. Kita perlu sedar bahawa agama Islam adalah satu agama wahyu. Kita beramal dengan wahyu dengan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Seandainya amalan-amalan dan hadith-hadith dipermain-mainkan, maka jadilah agama ini seperti agama-agama lain yang sudah banyak tokok tambah dan berasaskan akal fikiran manusia belaka. Kita bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama!!

Sama-samalah kita berlindung dengan Allah daripada termasuk di kalangan perosak agama..

09 April 2009

TPMG Spring Camp 2009

Salam w.b.t.


InsyaAllah, pada hujung minggu ini, saya akan menyertai TPMG Spring Campt yang akan diadakan di Plumlov, Czech Republic.. Sama-sama saksikan video untuk program ini..






Bersama kita memeriahkannya!!!

03 April 2009

Sekilas Lalu... Syahadatul Haq di Prague..

Salam w.b.t.

Video sewaktu kem Syahadatul Haq di Cerny Most, Prague, Czech Republic :-)



Moga ukhwah yang terbina berkekalan, dan moga ilmu yang diperoleh bermanfaat untuk diri sendiri dan orang-orang lain ;p

Cara Kita Mungkin Berbeza, Tapi Matlamat Kita Sama..

Salam w.b.t.

Saya sedar, sudah agak lama tidak menulis di blog. Sebenarnya saya sudah pun ada beberapa artikel untuk dipost, namun, saya sengaja simpan untuk masa hadapan. Keadaan di sini agak menyibukkan dengan pelajaran dan pelbagai lagi komitmen. Ditambah pula dengan masalah laptop saya yang tidak dapat berfungsi. Doakanlah agar ia dapat berfungsi semula dengan baik.

Sepanjang saya berada di perantauan, banyak perkara dan pengalaman yang saya belajar. Pelbagai kerenah manusia yang dapat saya perhatikan. Ada antaranya yang sedap didengar, dan ada pula yang hanya menyakitkan hati. Tidak mengapa. Saya menganggap itu semua sebahagian daripada pengalaman hidup saya. Beberapa kesimpulan dapat saya buat daripada pemerhatian saya setakat ini. Kepelbagaian jenis manusia di atas muka bumi ini membuatkan pelbagai kerenah manusia yang dapat kita perhatikan. Namun, bagi saya, bagaimana cara yang kita pilih adalah hak individu. Namun, yang penting, matlamat kita adalah sama dan betul.

Saya memberikan satu analogi. Sebagai contoh, jika kita hendak pulang ke Malaysia dari Czech Republic, terdapat pelbagai laluan udara untuk ke tempat tersebut. Ada yang memilih untuk mengambil 'direct flight', ada yang lebih suka untuk transit. Ada yang memilih untuk naik dari UK, Vienna, Frankfurt dan sebagainya. Namun, destinasi akhir kita semuanya sama. Tidak perlu untuk orang yang naik dari Frankfurt mencerca orang yang mengikut laluan dari Vienna, dan sebagainya.

Laluan kita berbeza, namun matlamat kita sama
Saya membangkitkan soal 'matlamat' ini kerana sejak kebelakangan ini, saya seringkali mendengar, melihat dan membaca perbahasan, kritikan, dan tuduhan-tuduhan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Malah, baru-baru ini juga, saya sendiri telah dikritik secara peribadi mengenai 'Malaysian Night' yang akan diadakan di tempat saya esok. Saya berasa agak pelik, kerana saya sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Malaysian Night ini. Malah, saya sendiri ada mempromosikan Malaysian Night ini kepada rakan-rakan international students yang lain. Tidak mengapa, saya sekadar husnudzan, barangkali beliau kurang tahu tentang diri saya. Namun, apabila hal ini sudah menyentuh saya secara peribadi, saya suka untuk menyebut perkara ini. Saya tidak mahu membahaskan hukum-hakam berkenaan isu ini. Saya berpendirian bahawa jika sesuatu perkara itu tidak menyalahi hukum agama, maka mengapa kita perlu mengharamkannya. Isu ini sudah banyak kali dibahaskan, dan tak perlulah saya mengupasnya lagi. Namun, saya tidak bersetuju jika ada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Bak kata seorang kawan saya, 'yang HARAM tetap HARAM'. Ya, saya bersetuju.

Malaysian Night v Hradci Kralove 2009

Dalam isu yang lain, saya agak terkilan apabila banyak kritikan telah dibuat terhadap institusi usrah. Golongan yang hadir usrah dianggap seolah-olah diri mereka 'superior'. Sebagai salah seorang yang mengikuti sistem tarbiyah usrah, saya menganggap ia adalah satu fitnah yang besar terhadap diri saya. Benarkah mereka menganggap mereka superior? Atau adakah diri sendiri yang berasa inferior? Allahu a'lam.. Allah lebih mengetahui.

Apakah sebenarnya matlamat hidup kita sebagai orang Islam? Semua orang Islam tidak terkecuali daripada tanggungjawab sebagai 'khalifah' dan untuk mengabdikan diri kepada Allah, seperti firmanNya:

" Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri padaKu"


" Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman pada para malaikat, 'Aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi..." 2:30"

Dengan itu, jelas sekali, bahawa tugas kita sebagai umat Islam adalah sebagai khalifah, untuk memakmurkan bumi ini. Kita bertanggungjawab menyebarkan ajaran dan kefahaman Islam kepada manusia yang lain, kerana tugas dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan kepada kita di akhirat kelak. Ini bukanlah suatu tanggungjawab yang kecil, sebaliknya ia merupakan satu amanah dan tugas yang sangat berat.

Namun, untuk memikul tugas ini, tidak ada ketetapan bagaimanakah caranya. Namun, jika kita mengikut sunnah Rasulullah, baginda bermula dengan mengadakan halaqah bersama para sahabat Baginda di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Jika kita jelas dengan tugasan yang terpikul di bahu kita, mengapa perlu kita mengkritik golongan lain yang sama matlamat dengan kita? Tidak kisahlah apa cara, atau apa 'kumpulan' yang seseorang itu ikut. Jika masing-masing faham dengan matlamat yang hendak dicapai, seharusnya perselisihan tidak berlaku sama sekali, kerana matlamat kita adalah sama!

Saya sekadar ingin mengingatkan diri saya dan para pembaca, agar kita sedar akan matlamat yang terpikul di bahu setiap seorang dari kita. Saya sedar, saya sendiri bukanlah insan terbaik, namun, marilah kita sama-sama berganding bahu memperbaiki keadaan untuk menjalankan tugasan kita. Fokuslah pada MATLAMAT, dan pilihlah ALAT kita.

Kadangkala dalam keghairahan kita menegakkan agama, kita begitu taksub dengan cara kita, sehingga kita mencerca dan mengkritik golongan lain yang cara mereka tidak sama dengan kita. Ingin saya tegaskan bahawa CARA KITA MUNGKIN BERBEZA, NAMUN MATLAMAT KITA ADALAH SAMA!!