Showing posts with label Copy and paste. Show all posts
Showing posts with label Copy and paste. Show all posts

15 November 2010

Khilaf Eiduladha..

Salam w.b.t.

Ramai sekali orang yang tertanya-tanya berkenaan bezanya tarikh Hari Raya Aidiladha di Malaysia dan di Makkah. Lihat sahaja di laman forum-forum, facebook, twitter, blog malah ada rakan-rakan yang bertanya pedapat saya secara langsung.

Pokok persoalannya, bagaimana boleh lain tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha di Asia Tenggara dengan di Makkah. Dan bagaimana pula dengan puasa Hari Arafah yang berlainan tarikhnya di tempat-tempat yang berbeza. Bagaimana pula dengan ibadah korban jika ia dilakukan bukan pada hari raya Aidiladha atau pun hari tasyrik.

Pastinya saya bukanlah orang terbaik untuk menjawab persoalan-persoalan sedemikian. Saya merujuk kepada nas-nas yang thiqah.

Ada beberapa fatwa yang saya temui perihal isu ini.

Penjelasan mufti Malaysia berkenaan hal ini dapat dilihat di link ini [klik sini] Asalnya, saya bercadang untuk 'copy and paste' di sini, namun ianya terlalu panjang untuk dimuatkan.

Terdapat beberapa fatwa lagi yang saya petik.

Pertama: Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

Telah ditanya kepada Syeikhul Islam rahimahullah berkenaan Ahli sebuah negeri yang melihat anak bulan Zul Hijjah kemudian tidak tsabit rukyah ini di sisi pemerintah negeri itu; maka adakah mereka boleh berpuasa pada hari 9 Zul Hijjah yang zahir pada negeri itu walaupun pada hakikatnya adalah 10 Zul Hijjah (di Mekah)?

Maka jawab Syeikhul Islam r.h:

“Ya, mereka berpuasa pada 9 Zul hijjah yang zahir di sisi kumpulan mereka (ahli negeri itu) walaupun pada hakikatnya hari itu adalah hari ke-10 jika dianggarkan tsabit rukyah tersebut kerana di dalam Sunan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ
Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].

Serta daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالْأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ

Maksudnya: “Hari raya fitrah adalah hari manusia beraya fitrah dan hari korban (raya korban) adalah hari manusia beraya korban”. [Al-Tarmizi].

Atas ketetapan inilah diamalkan oleh seluruh Imam (ulama) kaum muslimin...” [Majmuk al-Fatawa, 25/203].



Kedua: Fatwa Faqih al-Zaman Ibn Usaimin r.h:

Telah sampai surat kepada Faqih al-Zaman r.h berkenaan masalah:
“Kami telah membaca berkenaan fatwa Samah al-Syeikh dalam kitab (Fatawa Islamiah) bahawa rukyah hilal di sesebuah negeri tidak melazimkan kesemua negeri yang lain, adakah hukum ini juga berlaku terhadap rukyah hilal ‘Eidul Adha (hilal bulan Zul Hijjah)?”

Maka jawab beliau rahimahullah:

“Hilal (anak bulan) itu berbeza terbitnya antara satu tempat dengan tempat lainnya, sama ada hilal Ramadan ataupun selainnya, maka hukumnya adalah satu. Tetapi saya berpendapat hendaklah para manusia bersepakat atas satu perkara dan hendaklah mereka mengikut ketetapan ketua al-Jaliah al-Islamiah di negeri-negeri bukan Islam kerana perkara ini luas insya-Allah, di mana sebahagian Ulama berpendapat bahawa apabila tsabit rukyah di suatu negeri maka lazim hukumnya atas seluruh kaum muslimin di seluruh dunia”. [Majmuk Fatawa wa Maqalat wa Rasail, 19/43].

Demikian juga ditanya kepada beliau:
“Jika berbeza hari ‘Arafah kerana berbeza kawasan terbitnya hilal, adakah kami perlua berpuasa mengikut rukyah negeri kami atau rukyah al-Haramain (Saudi)?”

Jawab beliau:
“Perkara ini dibangun di atas ikhtilaf para ulama, apakah hilal itu satu sahaja untuk seluruh dunia atau berbeda sesuai mathla’nya (tempat terbit bulan).
Dan yang benar bahwa rukyah hilal berbeza sesuai dengan perbezaan mathla’.

Sebagai contoh: Apabila hilal telah nampak di Makkah, dan sekarang adalah hari ke sembilan (di Makkah), hilal juga terlihat di negeri yang lain satu hari lebih cepat daripada Makkah sehingga hari Arafah (di Makkah) adalah hari kesepuluh bagi mereka.


Maka mereka tidak boleh berpuasa kerana hari tersebut adalah hari raya. Demikian pula sebaliknya, jika di suatu negeri rukyahnya lebih lambat daripada Makkah maka tanggal sembilan di Makkah merupakan tanggal lapan bagi mereka. Maka mereka berpuasa pada hari ke sembilan (menurut negeri mereka) bersamaan dengan tanggal sepuluh di Makkah. Ini merupakan pendapat yang kuat kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا
Maksudnya: “Jika kamu melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan jika melihatnya pula maka berbukalah (hari raya)”. [al-Bukhari & Muslim].

Orang-orang yang hilal itu tidak nampak dari arah mereka beerti mereka tidaklah melihat hilal tersebut. Begitu juga manusia telah sepakat bahawa mereka menganggap terbitnya fajar dan terbenamnya matahari pada setiap wilayah disesuaikan dengan wilayah masing-masing. Maka demikian pulalah penetapan waktu bulan seperti penetapan waktu harian.” [Majmuk Fatawa wa Rasail, 20/47].


Maka jelas di sini bahawa setiap negeri perlu mengikut rukyah masing-masing, tidak terikat dengan penetapan kerajaan Arab Saudi mahupun Hilal Mekah.

Ulama Salaf juga telah sepakat wajibnya berpuasa dan berhari raya dengan pemerintah, maka perbezaan pendapat dalam isu ini perlu dirujuk kepada mazhab pemerintah.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h dalam menjelaskan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang disepakati:

وَيَرَوْنَ إِقَامَةَ الْحَجِّ وَالْجِهَادِ وَالْجُمَعِ وَالْأَعْيَادِ مَعَ الْأُمَرَاءِ أَبْرَارًا كَانُوا أَوْ فُجَّارًا

Maksudnya: “dan mereka percaya wajib mendirikan Haji, Jihad, Jumaat, dan Perayaan-perayaan (eidul Adha dan Fitri) bersama dengan pemerintah sama ada mereka itu soleh mahupun fasiq”. [al-Aqidah al-Wasitiah].

Ini adalah maksud Sabda Nabi s.a.w:

صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].

Ummul Mukminin Aisyah r.ha berkata:
“Sesungguhnya hari raya Adha itu adalah hari di mana Imam (pemerintah) melakukan korban dan jamaah manusia”. [Ahkam Ikhtilaf fi Rukyati Hilal Zil Hijjah, Ibn Rajab al-Hanbali, m.s 34-35, hadis Sahih].

Berkata Faqih al-Zaman r.h:
“Sebahagian Ulama berpendapat bahawa jika tsabit rukyah hilal di sebuah negeri maka tsabit hukumnya ke seluruh negeri, dan sebahagian yang lain berpandangan tidak tsabit hukumnya di negeri yang nampak hilal dan yang sama tempat terbit dgn negeri itu, pendapat ini lebih sahih, tetapi perintah ini ditujukan kepada pemerintah, adapun manusia mereka mengikut pemerintah masing-masing”. [Majmuk Fatawa wa Rasail, 19/61-62].

Kata beliau juga:
Maksudnya: “dan perkara-perkara yang ada padanya takwil dan ikhtilaf dalam kalangan Ulama jika dilakukan oleh pemerintah, tidak halal bagi kita melawannya dan menyalahinya...” [Syarah Aqidah al-wasitiah, lihat Majmuk Fatawa wa Rasil, 8/660].

Maka, Ulama berkhilaf adakah rukyah berbeza dengan setiap negeri atau sama sahaja, namun pemerintah kaum muslimin telah mengambil kata putus bahawa rukyah negara Malaysia misalnya berbeza dengan Arab Saudi, dan ini adalah qaul yang kuat berdalilkan hadis Ibn ‘Abbas r.huma dalam Sahih Muslim, maka wajib kita mentaati pemerintah dan mengikut tarikh raya dan korban yang mereka telah tetapkan.


Kesimpulannya, agama Islam adalah agama yang indah, yang mudah diamalkan di mana-mana. Saya berpendapat, tidaklah perlu untuk bertengkar berkenaan isu-isu khilaf. Terdapat banyak lagi permasalahan umat Islam yang wajar kita titik beratkan.

Wallahua'lam. Allah lebih Mengetahui. Saya berlindung dengan Allah atas segala keburukan-keburukan diri saya sendiri.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha semua Muslimin dan muslimat. Saya memohon ampun dan maaf atas semua kesalahan saya kepada anda.

Ayuh kita besarkan kalimah Allah di hari mulia ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!

Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu 'aam wa antum bikhair.


06 September 2009

Waktu Berbuka Puasa Di Udara

Salam w.b.t.

Ramai orang yang bertanyakan tentang buka puasa di atas kapal terbang, terutama sekali sekarang ini, ramai di kalangan pelajar-pelajar yang akan ke luar negara akan terbang di dalam bulan Ramadhan. Justeru saya sertakan fatwa di bawah yang saya 'copy and paste' dari sebuah blog. Semoga bermanfaat.

As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ketua persatuan ulamak sedunia telah mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.

As-Syeikh berkata, sesungguhnya dia dikejutkan ketika sekembalinya beliau daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan islam bahawa sekarang telah masuknya waktu berbuka puasa, dalam waktu yang sama matahari masih terpampang dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatussyeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang first class yang duduk bersebelahannya. Syeikh berkata, tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari, sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk, adakah sah kamu solat maghrib pada tika ini? Jawab mereka, tidak!! Maka aku menjawab balik, demikianlah juga berbuka puasa, tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya.

Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan bahawa manusia itu setiapkali dia berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan lewat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau ditempat –tempat yang tinggi maka akan lewatlah terbenamnya matahari dari penglihatan mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar.

Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang berlaku kejadian ini) dan juga pesawat-pesawat arab lain supaya memperingatkan pilot-pilot supaya berhati-hati dengan perkara ini dan memastikan waktu berbuka puasa betul-betul selepas terbenamnya matahari.


Sumber asal:

- http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7127&version=1&template_id=197&parent_id=196

21 May 2009

Ada Orang, Ada Orang...

Salam w.b.t.

Dalam kesibukan study ini, saya suka untuk berkongsi satu puisi yang mana bagi saya sangat menyentuh perasaan saya. Ini merupakan entry pertama di dalam blog ini dalam kategori 'copy and paste'. ;p Syukran atas keizinan pemilik blog. Moga kita sama-sama beroleh manfaat.

Ada orang..

dulu hidup penuh jahiliyyah, bila tersedar terus ligat sana sini ingin berdakwah.

bukan apa, bukti syukur dan sayang ummat.

Ada orang..

sayang dakwah tapi masih cintakan jahiliyyah

bukan apa, kene tadarruj

tapi mujur amal dakwi masih meneguhkan dia disini.

Ada orang..

sedap memberi ceramah

liqa’nya menarik dan menolak

bukan apa, banyak ilmu ditimba dan luas pengalaman di medan

tapi sayang, ghurur dan ujub menguasai diri,

takut-takut nanti tergelincir di tengah jalan.

Ada orang..

di mana dauroh di situ mukanya

di mana mukhayyam di situl dia

di mana mabit disitu tidurnya

kemana sahaja pasti ada dia

tidak perlukan dia pun masih ada dia

bukan apa, sayang sangat pada tarbiyyah

tapi sayang di medan longlai dan lesu

ke sana kemari hanya kerana suka

juga kerana semangat berpersatuan.

Ada orang..

dulu ligat

kereta hijau di belasah sekuat mungkin

bilik-bilik kosong digegarkan dengan liqo’

surau-surau menjadi saksi pertemuan kasih

tapi sayang

segalanya hanya sejarah

tapi mengapa?

Ada orang..

Ada orang..

Ada orang..

Jangan lupa kita juga orang..

Jangan lupa hidayah bukan milik orang..

Tentunya Allahlah yang memilih orang..

Adakah kita layak?

Untuk dipilih dan terus dipilih.

Satu langkah ke arah mungkar, akan ditambah beberapa langkah lagi.

Bila berpaling ke belakang sudah jauh berjalan rupanya.

Tapi tika dan saat itu, takut sudah letih berjalan untuk berpatah balik.

Jadi AWASI syaiton sekeliling!

Gigit kuat-kuat hidayah ini..

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.

(7:175)

Andai kau buka pakaian tarbiyyah ini

Syaiton menerkam memeluk kau erat!

Siapa rugi?

إِلَّا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(9:39)

Tak pa

pergilah jauh-jauh

seandainya hidup dunia itu kau pilih

pastinya dakwah ini ada penggantinya.

Jika buka kita

Orang lain..


http://almuhandisi.wordpress.com/