04 December 2011

Budapest & Misi Kita..


Bismillah..

Alhamdulillah, baru-baru ini, saya berpeluang berjaulah ke Budapest, ibu kota Hungary, satu metropolis di timur Eropah. Budapest merupakan satu bandar yang besar, yang merangkumi bandar 'Buda' dan bandar 'Pest' yang dipisahkan oleh sebatang sungai yang besar.

Siapa sangka, Budapest sebenarnya pernah berada dalam kekuasaan kerajaan Turki Uthmaniah selama hampir 150 tahun. 150 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Sepanjang berada di Budapest, saya mencari di mana kesan penguasaan Islam di bandar ini.

Di penjuru-penjuru jalan di Budapest, kadangkala kita boleh nampak ukiran di dinding-dinding yang menunjukkan orang-orang Turki di Budapest. Ada juga beberapa bangunan yang ada seni bina Islam yang dapat dilihat di bandar ini, mengenangkan saya tentang percutian di Turki sebelum ini. Malah, kami jumpa ada menjumpai sebuah gereja di tepi sungai yang bertukar menjadi masjid sewaktu pemerintahan Islam, namun kini hanya menjadi sebuah muzeum.

Namun, boleh saya katakan kesan peninggalan tamadun Islam di metropolis ini sedikit dari segi senibinanya. Ia membuatkan saya terfikir, ke arah mana kita menyeru manusia. Ya, misi dakwah ini bukanlah untuk mengubah penganutnya kepada satu seni rekabentuk atau fizikalnya. Namun misi dakwah kita yang utama adalah untuk menyebarkan tauhid mengesakan Allah.

antara bangunan tinggalan kerajaan Uthmaniyah di Budapest

Malang sekali, hari ini, orang lebih memandang Islam dari aspek fizikalnya. Orang cina takut untuk masuk Islam apabila nama mereka harus diubah. Orang India tidak selesa menganut Islam apabila mereka di'Melayu'kan. Lebih malang, hari ini terdapat pelbagai slogan yang mengkaitkan kedaulatan Islam dengan satu-satu bangsa. Islam bukanlah milik orang Melayu, dan bukan pula milik orang Arab. Kita tidak menggesa Ah Chong makan tanpa menggunakan sudu apabila menganut Islam. Tidak pula menggesa Mutusamy memakai baju Melayu apabila datang ke masjid. Tetapi yang kita mahukan adalah aqidahnya yang benar, kerana itulah misi utama dakwah para rasul.

Ketika menghuraikan konsep nasionalisme, al-Imam Hassan al-Banna berkata:

Saudara yang dihormati, manusia berbangga dengan nasab dan keturunan apabila mereka mahu berkongsi keagungan dan kehebatan datuk nenek, atau kerana mahu meniupkan semangat dan maruah diri pada generasi anak-anak mereka. Namun kedua-dua tujuan ini sebenarnya tidak membawa apa-apa erti. Sebaliknya tidakkah anda rasakan hubungan anda dengan Allah lebih memberikan kehebatan dan kemuliaan.

'Kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya) - an-Nisa: 139

Hubungan ini akan lebih membawa anda ke martabat yang tinggi. Hubungan ini akan meniupkan semangat kepada mereka yang beramal untuk bangkit...

Seseorang tidak Muslim kerana berada di kelompok Muslim, atau lahir dari keluarga Muslim, atau berpakaian Muslim, atau bernama Muslim atau memakai jubah. Sebaliknya seseorang itu dikatakan Muslim apabila dia menerima Islam sebagai agamanya.

Isu ini mungkin perkara yang biasa kita dengar, namun asas perjuangan kita harus benar.

Saya fikir pemikiran yang mengsinonimkan Islam dengan Melayu harus dicantas dari pemikiran masyarakat hari ini. Sebaliknya perjuangan ini harus berteraskan aqidah tanpa mengira warna kulit dan perbezaan budaya. Dan apa gunanya kalau kita ada masjid yang besar-besar, bangunan-bangunan 'islamik' yang gah, namun penduduknya hanyalah angka-angka kosong yang tidak punya apa-apa kefahaman, apatah lagi sumbangan.

Misi kita harus jelas.

di Budapest

Sebenarnya banyak lagi yang hendak dikongsi berkenaan pengalaman baru-baru ini, namun saya sangat letih sekarang. InsyaAllah dalam entry lain selepas ini.

05 November 2011

Aidiladha..


Bismillah...

I've just broken my Arafah day fast with the Muslim community here. Alhamdulillah, I was coming back from Prague just now and it always feels good to be with those with the same aqidah with us from different races. And it feels more special, knowing that insyaAllah it's probably going to be the last Arafah Day and Eid celebration that I celebrate here.. insyaAllah.

To everyone who read this post, I would like to wish you all 'Selamat Hari Raya AidilAdha'. Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu 'aam wa antum bikhair.

Let's understand and practise the concept of 'sacrifice' the way it should be. Life needs sacrifice. The deen needs our sacrifice. And let's be istiqamah.

InsyaAllah, I'll be having my Obstetrics and Gynaecology examination next week. It's a big exam. It's my final year exam. Do pray for my success.


And last but not least, happy belated birthday to my beloved niece, Alya Mahdiya. I miss her very much.

27 October 2011

r-Evolusi...

Bismillah..

Minggu ini, rata-rata orang membicarakan perihal kematian Muammar Gaddafi, seorang diktator yang dikatakan telah menzalimi rakyat sendiri. Di mana-mana sahaja, orang membicarakan peristiwa ini. Maka lahirlah pelbagai artikel dan teori yang bersangkutan dengan peristiwa tersebut. Sebagai seorang yang beriman dengan aqidah Islam, kita seharusnya mengambil iktibar, setinggi mana pun kedudukan kita, ianya tidak akan lagi berguna bila nyawa kita sudah diambil. Moga-moga kita termasuk di kalangan mereka yang mendapat rahmat.

Saya tidak menafikan pemimpin ini punya karisma yang cukup besar. Bayangkan, beliau telah memimpin revolusi di Libya semenjang umur 27 tahun! Dan semenjak daripada itu, beliau memegang tampuk pemerintahan hingga ke akhir hayat. Itu belum dilihat pembaharuan-pembaharuan yang dilakukannya. Hebatnya pemuda tersebut.

Namun, tidak kurang pula kezaliman yang dilakukan. Kekejamannya menghapuskan ingatan orang ramai terhadap jasanya. Entah berapa ribu rakyatnya sendiri yang telah dibunuhnya. Siapa sahaja yang menentangnya akan dibunuh. Tidak perlulah untuk saya huraikan di sini memandangkan beliau sudah pun tiada.

Apapun, saya amat kecewa melihat layanan masyarakat Libya terhadap pemimpin mereka. Tindakan menayang-nayangkan jenazah di khalayak ramai supaya orang ramai boleh bergambar dengan jenazah adalah satu perbuatan yang jijik, keji dan tidak bertamadun. Saya tidak sanggup pun untuk berkongsi video yang saya lihat di laman blog ini. Barangkali benar tulisan sahabat saya yang mengatakan salah satu taktik penjajah apabila hendak menghukum pejuang-pejuang tegar, mereka mengambil pendekatan keras dengan memperlakukan mayat pejuang tersebut dengan dahsyat sekali. Lihatlah apa yang berlaku pada jenazah Gaddafi. Hal seumpama ini bukanlah perkara baru, sebaliknya ia pernah berlaku di negara kita sendiri. Lihatlah bagaimana British mengambil tindakan terhadap jenazah Haji Hasan Munas (Tok Janggut) yang mana jenazahnya diseret dan digantung songsang di Pasir Putih untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak ada lagi yang berani menentang selepas ini.

Apapun, dikator itu sudah tiada. Bagaimana pula dengan nasib rakyat Libya sekarang? Dengan pimpinan NTC yang sangat pro-barat, rakyat yang bergaduh sesama sendiri, peperangan yang tidak sudah, adakah anda merasakan keadaan akan bertambah baik di negara Afrika tersebut?

Apakah cita-cita rakyat Libya tercapai?

Apakah nasib mereka akan terbela?

Apakah mereka akan hidup aman tanpa pergaduhan selepas ini?

Mereka sebenarnya hanya menukar kepimpinan diktator dengan anak patung barat.

Saya mengumpamakan proses ini seolah-olah menukar cat rumah. Sudah lama sangat dengan warna lama yang sudah lusuh, tukar lah pula warna lain. Luarnya sahaja yang nampak berbeza, tapi dalamnya, mungkin lebih teruk dari sebelum ini.

Itu lah dia revolusi. Kita mungkin boleh menukar kepimpinan dan pemerintahan. Namun, perubahan kepimpinan sahaja tidaklah cukup untuk mengubah nasib umat ini!

Kerana itu kita belajar dari sirah, bagaimana Rasulullah s.a.w. membina tamadun bermula dengan mentarbiyah dan membina qaedah sulbah. Jika Rasullah s.a.w. hendak memegang tampuk pemerintahan, bisa sahaja beliau ditawarkan. Namun, baginda memilih jalan dakwah dan tabiyah yang jauh dan sukar sebelum baginda mengambil alih pemerintahan.

Perubahan ini tidak berlaku dengan sekelip mata. Ia adalah satu proses yang mana secara sunnatullah perlu berlaku beransur-ansur.

Syarikat Apple tidak menjadi terkenal secara tiba-tiba. Ia mengambil masa lebih kurang 20 tahun sebelum menjadi satu jenama terulung. Malah ia pernah beberapa kali gagal dalam percubaan pengeluaran produk daripada menarik hati pembeli.

Demikian pula dengan ideologi-ideologi yang pelbagai di dunia ini. Lihat sahaja pada komunisme. Ia tidak bangkit secara tiba-tiba. Lenin pernah ditangkap dan dibuang negeri atas perjuangannya. Ia mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan akar umbi. Kemudian barulah ia berjaya mengambil pemerintahan.

Ini adalah sunnatullah.

Untuk mengubah nasib masyarakat memerlukan usaha yang panjang. Ia tidak mungkin hadir dengan sekelip mata. Saya memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna dalam Majmu' Rasail, dalam bab Halatuju Dakwah Kita:

Pembentukan dan pembinaan sebuah bangsa, merealisasikan sebuah impian dan memperjuangkan sebuah prinsip memerlukan seluruh bangsa atau sekurang-kurangnya sekumpulan manusia yang mahu mencapai cita-cita ini memiliki jiwa yang benar-benar kental yang dapat dilihat melalui beberapa aspek iaitu: Kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan. Pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut. Memahami prinsip, meyakininya, menghormatinya, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip lain. Dengan hanya memiliki kesemua asas yang berbentuk rohani ini dan dengan memiliki kekuatan rohani yang agung akan tertegak sebuah prinsip dan akan mampu membentuk sebuah bangsa yang mampu bangkit, membentuk jiwa bangsa yang bersemangat waja dan akan bermula kembali suatu kehidupan bagi mereka yang telah sekian lama tidak merasainya.
Mana-mana bangsa yang kehilangan keempat-empat sifat ini ataupun pemimpin dan pendokong pembaharuannya kehilangan sifat-sifat ini, bangsa ini adalah bangsa yang tidak berharga dan malang. Bangsa ini tidak akan mampu mencapai kejayaan dan tidak akan dapat merealisasikan impian mereka. Mereka akan hanya hidup dalam dunia sangkaan, khayalan dan impian. “Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Maksud Yunus: 36).
Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah Allah tetapkan di alam ini.

Beliau menekankan empat prinsip utama

1. Kemahuan yang tinggi
2. Kesetiaan sejati
3. Pengorbanan yang agung.
4. Memahami dan meyakini prinsip

Dari satu konteks, masyarakat semakin sedar, perubahan itu perlu bermula dari bawah, dari akar umbi, namun, tanpa ada kualiti-kualiti ini, jangan diharap perubahan itu dalam dilaksanakan dalam sekelip mata.


Teruslah dengan tarbiyah. Jalan ini panjang, tapi hasilnya pasti.

Kita tidak memerlukan REVOLUSI, tetapi kita perlukan EVOLUSI.

16 October 2011

Keluh

Salam w.b.t.

Ketika menulis entry ini, saya dalam keadaan begitu letih.. Semalam hanya tidur beberapa jam. Petang pula pergi ke bandar lain dan memberi pengisian.. dan banyak lagi.

Kadangkala saya pernah terfikir kenapa saya sangat sibukkan diri saya dengan perkara yang orang lain tidak lakukan. Di kala orang lain berehat-rehat waktu cuti, kita sibuk dengan pelbagai program. Di kala orang lain menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, diri ini sibuk dengan penumpuan pada hal-hal bukan pelajaran. Di kala orang lain menghabiskan wang untuk membeli telefon canggih, baju-baju berjenama, kasut yang pelbagai rupa, kita menghabiskan wang untuk 'travel' ke sana dan ke sini, infak ke merata tempat, malah kadangkala dihabiskan untuk orang lain.

Saya terfikir betapa hebatnya cabaran yang dihadapi oleh golongan 'as-sabiquun al-awwaluun' di zaman Rasulullah di Makkah dahulu. Keadaan mereka semestinya lebih hebat dari kita. Mereka berjihad, berjuang demi mempertahankan sesuatu yang mereka sendiri tidak pernah melihatnya. Sekurang-kurangnya kita punya contoh dan sekurang-kurangnya kita tidak diancam dengan cabaran sehebat para sahabat dahulu. Ingatlah ketika kita mengeluarkan sebahagian harta kita, ada orang yang sanggup membelanjakan keseluruhan harta mereka. Ketika kita sibuk terkejar-kejar mencari masa mentelaah pelajaran, ada orang yang mencurahkan sepenuh masa untuk kerja-kerja dakwah. Ketika kita 'travel' ratusan batu hanya untuk berusrah, ada orang yang meninggalkan kerja, berjalan ribuan batu hanya untuk menyebarkan fikrah ini.

Kita yang pelik atau mereka?

Kadangkala terasa hendak menangis kerana sibuk. Kalaulah bukan kerana keyakinan ini, pastinya sudah lama saya meninggalkan jalan ini. Setiap minggu dalam keadaan yang sangat letih, fikiran yang memikirkan pelbagai masalah beserta usaha keras untuk mentelaah pelajaran. Itu pun masih lagi banyak kekurangan yang mesti diperbaiki.

Hakikatnya, semangat itu sedikit kembali tiap kali berjumpa saudara seperjuangan. Setiap dari kita umpama kepingan-kepingan 'jigsa puzzle'. Dan pengikat kita adalah ukhwah.

Dahulu saya hanya mendengar. Tetapi kini saya fikir saya lebih memahami erti ukhwah tersebut. Apa erti satu gerak kerja jikalau ahlinya tidak berkongsi susah dan senang.

Namun hakikatnya tidak ramai yang mampu berkongsi susah dan senang satu sama lain. Ya, pastinya tarikan dunia dari rakan-rakan lain sedikit sebanyak menggugat hati kita. Saya sudah banyak kali melihat orang-orang yang lebih mementingkan keseronokan diri sendiri dari kemaslahatan gerakkerja keseluruhan. Namun apa sahaja yang mereka dapat? Tidak lain hanya keseronokan sementara.

Bukankah Allah sudah berkata:
“Dan jika kamu ikuti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka itu menyesatkan kamu dari jalan Allah, mereka tidaklah mengikut, selain dugaan sahaja dan mereka tidak lain hanya mengagak sahaja” -Al-An'aam: 116

Ikhlaskanlah niat, tingkatkanlah ibadah kita dan rapatkanlah saf. Ah, kita tidak layak untuk mengeluh.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar. - at-Taubah: 111


p/s - Selamat Hari lahir kepada adik saya, Aisyah Ismail yang menyambut hari lahirnya kelmarin. Moga terus tsabat. Moga terus cemerlang dunia akhirat :-)

28 September 2011

'Negara' Apakah Di Sekitar Kota Baitulmaqdis itu?

Salam w.b.t.

Hari ini 28 September adalah genap 11 tahun perjuangan intifadha di Palestin. Sudah agak lama saya tidak menulis berkisar Palestin di ruangan blog ini. Namun, hari ini saya berminat untuk menulis beberapa pandangan mengenai isu umat ini.

Seringkali kita mendengar ceramah-ceramah dan bahan-bahan bacaan yang menuntut agar 'negara' Palestin diberikan semula kedaulatannya. Namun, apakah semua orang tahu, siapakah sebenarnya yang membentuk 'negara' Palestin itu? Ayuh, kita lihat sebentar sejarah ringkas 'negara' Palestin.

Semenjak tahun 630M lagi, tanah suci Baitulmaqdis dan sekitarnya berada di bawah kekuasaan pemerintahan khilafah islamiyah. Ianya bermula dengan penguasaan oleh Khalifah Islam yang agung, iaitu Khalifah Umar al-Khattab. Menariknya, sepanjang pemerintahan kerajaan Islam di tanah suci itu, orang-orang Kristian dan Yahudi dibenarkan tinggal dengan aman tanpa sebarang gangguan melalui sebuah perjanjian yang dinamai al-Uhda al-'Umariyya atau dalam buku sejarah bahasa Inggeris menyebutnya sebagai Convenant of 'Umar I. Dalam perjanjian ini, kaum Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan kepercayaan sendiri tanpa sedikit pun halangan. Demikianlah indahnya agama Islam yang bersifat syamil, kamil dan mutakammil.

Semenjak penguasaan Islam tersebut, Palestin terus menerus berada di bawah pemerintahan Islam dari beberapa jenis kerajaan sehinggalah tahun 1099, di mana tanah Palestin jatuh ke tangan tentera Kristian. Diringkaskan, pemerintahan ini berterusan sehingga ke tahun 1187, di mana seorang tanah Islam Palestin berjaya dibebaskan kembali oleh seorang panglima tentera yang hebat, berbangsa Kurdish, iaitu Salahuddin al-Ayyubi.

Seterusnya, Palestin terus menerus berada di bawah penguasaan Islam sewaktu pemerintahan Khalifah Uthmaniyah.

Persoalannya, sejak bilakah sempadan sebenar 'negara Palestin' itu diadakan? Padahal, dari sejarah, kita dapati berkurun-kurun lamanya, tanah Palestin itu berada di bawah pemerintahan Islam. Siapakah yang mereka-reka cerita bahawa tanah di sekitar Baitulmaqdis itu adalah 'negara Palestin'?

Tidak lain dan tidak bukan, definisi 'negara Palestin' akhirnya dibuat oleh Perancis dan British, yang membahagi-bahagikan wilayah Kerajaan Turki Uthmaniyah yang mulai runtuh pada tahun 1916. Dan pada tahun 1917, akhirnya sempadan 'negara Palestin' diadakan di dalam satu perjanjian yang dikenali ramai iaitu 'Balfour Declaration of 1917'. Saya tidak mahu menyentuh komplikasi yang terjadi sewaktu termeterainya perjanjian Balfour ini, kerana ia akan meleret lebih jauh.

Dan jika kita teliti, sebenarnya, pemimpin Yahudi British, James Balfour itu telah merujuk kepada peta yang disebut sebagai zaman Hebrew Bible atau Old Testament period pada tahun 830 sebelum masihi yang menceritakan tentang United Kingdom of Israel. Dan tahukah anda besar manakah negara Palestin di dalam peta tersebut? Itulah dia wilayah yang dinamakah 'Philistine', yang pada hari ini sangat mirip dengan Gaza.

File:Kingdoms around Israel 830 map.svg

Mengapakah saya mengingatkan kembali soal sejarah? Ini adalah supaya kita kenal pokok pangkal perjuangan kita. Kita perlu sedar bahawa sempadan 'negara Palestin' itu sendiri sebenarnya direka-reka oleh musuh Islam. Dan pentingkah untuk kita tahu semua itu?

Semestinya sangat penting untuk kita jelas tentang prinsip perjuangan kita. Tanah di sekitar Baitulmaqdis itu sebenarnya adalah tanah umat Islam. Tanah kita. Sudah pastinya terdapat perbezaan yang besar antara 'perjuangan menegakkan harta dan tanah rakyat Palestin' dengan 'perjuangan menegakkan harta umat'. Meletakkan definisi 'perjuangan menuntut hak rakyat Palestin' seolah-olah meletakkan bebanan di bahu rakyat yang bermastautin di kawasan itu.

Sebaliknya mendefinisikan perjuangan ini menjadi 'perjuangan menegakkan harta umat' meletakkan nilai yang jauh lebih besar, dan ianya wajib ditegakkan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ini bertepatan dengan prinsip al-maqasid al-syariah yang digariskan oleh al-Imam al-Syatibi yang menggariskan 5 perkara asas dalam kategori 'daruriyat', iaitu din (agama), nafs (nyawa), aql (aqal), maal (harta), dan nasab (keturunan).

Kita perlu jelas bahawa perkara yang membezakan manusia adalah aqidah, dan bukanlah kenegaraan. Ayat quran manakah yang membahagikan manusia mengikut negara? Sebaliknya di dalam quran, Allah sentiasa membezakan orang yang mempunyai aqidah dan sebaliknya. Islam tidak pernah memandang umatnya dalam pecahan-pecahan negara. Seluruh dunia ini adalah milik Allah, dan ianya hanya layak diurus menurut perintah Allah. Kerana itu Kita melihat kerajaan-kerajaan Islam dahulu meluaskan kuasa, kerana meletakkan hak pemerintahan alam ini di bawah pemrintahan Islam. Jika dunia ini bersistem mengikut 'negara', mengapa Khalifah Umar al-Khattab dahulu pergi bersusah payah memulakan penguasaan umat Islam. Dunia ini milik Allah, dan menjadi kewajipan umat Islam untuk berdakwah untuk meletakkan tanah-tanah milik Allah ini mengikut garis-garis panduan yang ditetapkan oleh Allah.

Prinsip perjuangan ini harus jelas. Ia bukan sahaja dalam kes Palestin, sebaliknya ia melibatkan perjuangan di seluruh dunia Islam sama ada di Iraq, Afghanisthan, Kashmir dan sebagainya. Perjuangan berprinsipkan 'nasionalisme' hanyalah satu perkara bodoh yang direka-reka oleh manusia. Harus diingat, nilai perjuangan sangat berbeza antara perjuangan rakyat Palestin, dan perjuangan menuntut hak umat, yang mana bebannya terpikul oleh seluruh umat yang mengaku dirinya adalah Muslim.

Ayuh kita teruskan perjuangan Sultan Abdul Hamid semenjak tahun 1900 untuk mempertahankan tanah suci ini.

Petikan fatwa al-Azhar 1947

On 29 November 1947 the scholars of Alazhar issued a call after the resolution of the United Nations to divide Palestine into two countries, a Jewish and a Palestinian. This call included: "The resolution of the United Nations is a resolution from a body without authority. It is an oppressive, and transgressing resolution which has no justice or equity." Then the Muslim scholars called for Jihad to liberate Palestine: "Block their path, and sit for them in every vantage point, boycott them with respect to their trade and do not deal with them, and prepare the requisites of Jihad amongst yourselves.. Fulfill what Allah has required of you..." [Ibid pp 12 - 15]



Rujukan:
- Palestine, History, Case and Solution, published in the 11th issue of Nida'ul Islam
magazine (http://www.islam.org.au) January – February [1996]
- www.wikipedia.org

05 September 2011

Kalbuku Rindukan

Kalbuku rindukan Ramadhan
Betapa amat ku merindui mu..

Ku rindu saat-saat lalu
Amalan-amalan dilipatgandakan
Perkara baik menjadi rebutan
Baik yang fakir mahupun jutawan
Keharmonian rumah ibadah sejukkan pandangan

Hari-hari kini tidak seperti dahulu
Ruh qiam semakin kabur,
Suasana malam kian panas
Amalan sedeqah kian terhakis
Alunan quran tidak lagi kedengaran
Jemaah di masjid makin berkurangan

Di kala manusia menyambut Aidilfitri,
Apakah kita kembali fitri
Atau menjadi manusia yang menyesali
Hari-hari Ramadhan yang berlalu tanpa erti

Semalam aku tangisi
Dada penuh rasa sangsi
Dapatkah diri terus teguh berdiri
Menghadapi jalan-jalan berduri

Ya Rahman,
Berikan daku kekuatan,
Hadapi hari muka yang sarat dengan cabaran,
Aku takut tersungkur di tengah jalan
Sebelum sempat ke pangkal jalan

Kalbuku rindukan Ramadhan,
Akan terus ku nanti kehadiran mu,
Ku rindu malam-malamku bersama mu

Ku tidak pasti akan ku temui lagi,
Andai diriku tidak lagi bertemu mu,
Salam rindu yang teramat buat mu,
Moga malam-malamku bersama mu,
Bisa bantu ku tika di depan Tuhan

Nah, biarlah kau pergi,
Namun, usah amalan turut mengikuti



- Mohd Noor bin Ismail -


~ p/s - Doakan saya untuk September :-)

02 September 2011

Eid Mubarak..

Salam w.b.t.

Sudah lebih sebulan saya tidak menjenguk sangat blog ini. Maaf buat orang-orang yang ada bertanyakan kepada saya. Sejujurnya, sepanjang bulan Ramadhan yang lepas, saya sangat sibuk dengan pelbagai urusan peribadi dan urusan-urusan yang melibatkan orang-orang lain. Apapun, saya harap masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat yang mengenali diri saya dan keluarga.

Saya memohon maaf atas semua salah dan silap yang pernah dilakukan. Mohon maaf juga bagi orang-orang yang ada hantarkan ucapan aidilfitri melalui sms yang tidak sempat saya balas.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu 'aam wa antum bikhair. Doakan kesejahteraan kami sekeluarga dan juga kejayaan saya di dunia dan akhirat.

02 August 2011

Kita dan Sunnatullah

Salam w.b.t.

Sebenarnya manusia punya banyak persamaan dengan sunnatullah alam ini. Demikian pula kerja-kerja kita. Baru-baru ini ketika mengajar adik saya Fizik, saya teringat hukum Newton ketiga. Setiap daya sentiasa ada daya bertentangan yang sama magnitud tetapi bertentangan arah.

Jika dilihat dari aspek perkembangan tamadun manusia, sejarah telah membuktikannya. Setiap peringkat perkembangan satu-satu usaha ke arah kebaikan sentiasa ada usaha lain yang menentangnya. Lihat sahaja dakwah Nabi s.a.w., peringkat mana yang baginda tidak mendapat tentangan. Hatta setelah menubuhkan negara, tentangan yang lebih hebat berlaku.

Saya juga teringat kata-kata Muhammad Ahmad ar-Rasyid. Sepertimana sistem galaksi, sepertimana sistem suria hingga sekecil-kecil atom, kehidupan manusia cenderung untuk berpusat pada satu paksi. Semakin kuat daya tarikan nukleus, semakin banyak elektron-elektron yang tertarik pada orbit sekitarnya. Ini seiring juga dengan hukum graviti semesta.

Di mana kita hendak letakkan diri kita? Di nukleus atau elektron. Dan sudahkah kita bersedia mengembangkan tarikan kita. Dan sediakah pula kita untuk menangkis tarikan nukeleus lain.

Mari fikirkan kaitan dengan kerja kita.

Ramadhan kareem!