Sebelum berbicara panjang lebar, saya ingin mengucapkan Selamat Hari lahir utk kakak saya, Dr Amrah binti Ismail, yang menyambut ulang tahun hari lahirnya pada hari ini :-)
Seperti yang saya uar-uarkan dalam entry yang lepas, saya telah menghabiskan cuti Easter saya yang lepas dengan mengikuti program 'The Professional Mukmin Generation' di Plumlov, Czech Republic. Beberapa sahabat saya ada meminta saya berkongsi sedikit sebanyak tentang program tersebut.
Saya sangat tertarik tentang konsep 'Islam itu mudah' yang ditekankan oleh Dr Mohd Asri. Kebetulan, pada cuti musim sejuk yang lepas juga, saya ada membaca sebuah buku karangan beliau sendiri, yang bertajuk 'Bid'ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami'. Lantaran itu, saya juga ada membuat rujukan-rujukan lain berkenaan apa yang telah saya baca dan belajar, ditambah dengan pengisian yang diberikan oleh Dr Mohd Asri sendiri dalam program TPMG baru-baru ini.
Saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu yang telah saya peroleh untuk kebaikan bersama, memandangkan ini adalah isu besar dan menyentuh soal aqidah. Maka adalah wajar bagi setiap umat Islam untuk berhati-hati dalam melakukan sesuatu.
Barangkali apa yang bakal saya utarakan akan menyentuh emosi sesetengah pihak. Namun, saya berlindung kepada Allah agar saya berada di pihak yang benar. Niat saya adalah ikhlas kerana Allah untuk berkongsi, dan saya suka untuk menjustifikasi sesuatu ilmu secara ilmiah, bukanlah secara emosi, agar kita semua dapat berfikir dan mempertimbangkan sendiri.
Pertama sekali takrifan bid'ah itu sendiri seringkali disalahguna pakai. al-Syatibi menakrifkan bid'ah sebagai:
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah.Tidaklah dinamakan bid'ah segala rekaan dan ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.
Persoalan bid'ah adalah satu persoalan yang begitu panjang lebar, yang dibahaskan sejak ulama'-ulama' salaf hinggalah hari ini. Justeru, adalah mustahil untuk saya mengupas isu ini dalam satu entry yang singkat.
Malang sekali, terdapat banyak amalam-amalan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari ini yang tidak berlandaskan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kadangkala, kita berkata, 'apa salahnya membuat sesuatu benda yang baik'. Namun, persoalannya, adakah ia dibolehkan? al-imam Malik bin Anas rahimahullah menyatakan:
"Sesiapa yang membuat bid'ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa bahawa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: "Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu". Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini.Jika kita berfikir secara logik akal pun, kalaulah ada amalan baik, sudah tentu para sahabat Rasulullah s.a.w. yang jauh lebih tinggi iman mereka sudah pun melaksanakan amalan tersebut. Apakah kita menganggap kita lebih mulia daripada para sahabat Rasulullah? Lebih malang, ada antara kita yang menyandarkan sesuatu amalan kepada sesetengah ulama', padahal sebenarnya ulama' tersebut tidak pun menyatakan sedemikian.
Antara amalan yang ditentang sendiri orleh imam al-Syafi'i adalah amalan mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai menunaikan solat fardhu. Saya tidak bercadang untuk memasukkan segala hujah-hujah beliau dalam entry ini memandangkan ia sangat panjang. Namun, jika mana-mana pembaca yang berminat untuk tahu, bolehlah hubungi saya secara peribadi.
Demikian juga amalan mengiringi jenazah dengan bacaan al-Fatihah setapak demi setapak. Kebanyakan orang memandang ini merupakan ajaran yang di ajar dalam mazhab al-Syafie. Namun, pada hakikatnya amalan ini ditentang oleh ulama'-ulama' mazhab Syafie sendiri seperti imam yang agung, iaitu al-Imam al-Nawawi. Dalam kitab al-Azkar, al-Imam al-Nawawi membantah perbuatan membaca al-quran ketika mengiringi jenazah.
Begitu juga dengan amalan menambah kalimah 'wabarakatuh' ketika memberi salam dalam solat. Amalan ini dibantah oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim. Tidakkah penambahan 'wabarakatuh' merupakan satu penambahan yang pada zahirnya kelihatan baik? Jika bid'ah hasanah ialah melabelkan semua yang nampak baik pada andaian manusia, sudah tentu al-Imam al-Nawawi mengkategorikannya sebagai suatu amalan yang disunatkan.
Dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab pula, al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi'i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:
"Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sedikit pun. Ia adalah bid'ah yang tidak disukai. "Kitab-kitab mazhab Syafi'i yang lain juga amat kuat menentang amalan ini.
Banyak lagi amalan yang berlegar di kalangan umat Islam pada hari ini yang sebenarnya terpesong daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kadangkala kita begitu taksub dengan mazhab, yang pada hakikatnya amalan kita tidak pun seperti yang digariskan oleh mazhab itu sendiri.
Sesungguhnya agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah agama yang sempurna, dan haram bagi kita untuk menambah-nambah sesuatu dalam agama. Terdapat banyak amran berkenaan isu ini. Dalam al-quran, Allah ada menyebutkan:
"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? - al-Syura 42:21Nabi Muhammad s.a.w. sendiri banyak memberi amaran terhadap amalan-amalan yang ditambah dalam agama. Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. menyebutkan:
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyin(mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya, dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat"Maksud 'gigitlah ia dengan geraham..' ialah peganglah ia dengan bersungguh-sungguh dan bersabarlah dengannya.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa setiap perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah disanggah sama sekali. Justeru kita perlulah sedar akan tindakan yang acapkali kita lakukan. Kita perlu sedar bahawa agama Islam adalah satu agama wahyu. Kita beramal dengan wahyu dengan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Seandainya amalan-amalan dan hadith-hadith dipermain-mainkan, maka jadilah agama ini seperti agama-agama lain yang sudah banyak tokok tambah dan berasaskan akal fikiran manusia belaka. Kita bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama!!
Sama-samalah kita berlindung dengan Allah daripada termasuk di kalangan perosak agama..
1 comment:
wow, dr maza dtg czech tuh
Post a Comment