01 July 2009

Antara Exam dan Matlamat Hidup..

Salam w.b.t.

Seperti yang saya katakan dalam entry yang lepas, saya sudah pun menghabiskan kesemua peperiksaan saya seminggu yang lepas. Saya menghabiskan waktu di sini dengan menziarah rakan-rakan di tempat lain. Semalam pula, saya telah pergi ke Prague, sambil membeli belah sebelum pulang ke tanah air. Pada minggu ini juga, ada berlangsung 'Pameran Kecemerlangan Pelajar' di ibu pejabat JPA di Putrajaya, dan saya telah terpilih untuk terlibat secara tidak langsung. Saya juga banyak meluangkan masa cuti saya ini dengan memikirkan perkara-perkara yang berlaku pada masa yang lepas.

Bandar Prague yang dihujani manusia

Di sini masih lagi berlangsung musim peperiksaan. Dan menjadi lumrah bagi pelajar-pelajar di sini untuk belajar dengan seupaya mungkin pada ketika ini. Saya melihat perkara ini menjadi satu fenomena yang normal dari tahun ke tahun. Saya dapat perhatikan pelbagai kerenah, aksi dan ragam manusia yang bermacam rupa.

Pada ketika ini, ramai yang buka-buka mata sahaja menghadap buku. Ketika hendak tidur pun masih lagi cuba menghafal fakta-fakta perubatan. Buku dan nota-nota menjadi teman setia pagi dan petang. Ada juga yang sampai tidak mahu makan kerana takut mengambil masa belajar yang sangat berharga. Tidak kurang pula yang berkengkang mata, cuma tidur beberapa jam sahaja sehari. Ada juga yang setiap hari pergi belajar di fakulti, hingga lewat malam. Sesetengah pula membuat 'study group' bersama rakan-rakan. Pada waktu ini juga ada pelajar-pelajar yang datang berjumpa pensyarah untuk bertanyakan soalan. Ramai juga yang tidak mahu pergi membeli-belah, kerana risaukan masa yang digunakan. Pelbagai lagi ragam manusia yang barangkali tidak dapat saya nyatakan semua di sini.

Alhamdulillah, boleh dikatakan ramai pelajar yang sedar akan tanggungjawab dan matlamat dalam pelajaran.

Namun demikian, kadangkala, saya selalu merenung dan memikirkan seolah-olah kita terlampau risau akan dunia kita sehingga kita mengabaikan akhirat. Bukanlah salah untuk belajar, namun sejauh mana pula kita meletakkan prioriti untuk kehidupan yang kekal abadi yang akan datang? Kita lebih merisaukan exam yang belum pasti lagi kita dapat ambil, berbanding kematian yang merupakan sesuatu yang pasti. Kita lebih merisaukan keputusan peperiksaan, sehingga kita lupa akan nasib kita di akhirat kelak. Kita takut untuk gagal, namun kita tidak ada perasaan takut untuk bertemu dengan Pencipta alam suatu hari nanti. Kita risau dengan persediaan untuk peperiksaan, namun kita tidak risau tentang persediaan amalan kita untuk timbangan di akhirat.

Kita dilalaikan dengan dunia, dan mengabaikan akhirat..

Saya teringat firman Allah di dalam al-quran dalam surah at-Takathur:
"Bermegah-megahan (anak, harta, pengikut, kemuliaan, dsb) telah melalaikan kamu. Sampailah kamu masuk kubur. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui akibat perbuatan kamu itu. Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamuakan mengetahui akibat perbuatan kamu itu. Sekali-kali tidak! Jika kamu mengetahui dengan yakin. Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. Kemudian kamu akan melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)" - 102:1-8
Saya agak terkesan apabila membaca ayat ini. Susunan ayatnya benar-benar berbentuk ancaman kepada kita, jika kita lalai! Persoalannya apakah kelalaian yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Apakah dia perkara yang melalaikan kita? Adakah yang dimaksudkan dengan lalai itu adalah kerana melakukan perkara-perkara haram? Tidak! Namun yang dimaksudkan dengan lalai dengan ayat ini adalah perkara-perkara biasa yang halal, namun membuatkan kita leka dengan perkara tersebut.

Sesungguhnya fenomena ini bukanlah sahaja berlaku di kalangan pelajar. Namun, di mana-mana sahaja saya memerhatikan manusia terlalu mudah untuk dilekakan dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

Kita melihat orang berlumba-lumba mencari harta. Tidak cukup dengan handphone, hendak ada iPhone. Tidak cukup dengan motosikal, hendak ada kereta. Tidak cukup dengan kereta, hendak ada kereta besar. Tidak cukup dengan satu jawatan, hendak berebut jawatan. Tidak cukup dengan sepasang kasut, hendak berpasang-pasang kasut, dan sebagainya. Saya memerhatikan, menjadi lumrah manusia untuk bersaing, berebut-rebut dalam hal keduniaan, namun sayang sekali, sikit sekali mahu berebut ke arah akhirat. Kita sememangnya dilalaikan dengan dunia!

Saya teringat akan kata-kata Syed Qutb dalam tulisannya di 'Muqaddimah Fi Zilal' pada perenggan ke 3:
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah
berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?
Syed Qutb telah lama memerhatikan fenomena ini. Tidak dapat disangkal, cita-cita yang manusia kejar di dunia ini adalah amat kerdil, dan tidak dapat dibanding dengan cita-cita di akhirat. Seperti yang diterang dalam surah al-Sajdah, sehari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun dunia. Maka, sudah tentulah apa sahaja yang kita kejar di dunia ini sangatlah sedikit berbanding kehidupan di akhirat kelak.

Justeru, marilah kita sama-sama berfikir tentang hala tuju matlamat kita. Apakah sebenarnya prioriti kita, dan apa pula yang kita lakukan? Janganlah sesekali kesibukan kita membuatkan kita semakin jauh dari matlamat asal kita. Jangan pula biarkan usia yang singkat ini hanya terkongkong dengan sebuah matlamat yang kecil. Ingatlah bahawa cita-cita yang kita kejar amat kerdil berbanding realiti sebenar. Ingatlah juga bahawa begitu ramai juga saudara kita di tempat lain yang ditindas dengan kejam setiap hari.

Gambar hiasan - Education Center, Charles Uni, tempat di mana ramai pelajar mentelaah pelajaran

Saya sekadar mencetuskan fikiran yang kadangkala bermain di dalam fikiran ini. Ia sekadar sebuah peringatan, buat diri saya dan juga orang lain. Kadang kala kita tahu, namun kita lalai dan kita leka. Sama-samalah kita berdoa agar sentiasa diberi kekuatan kepada diri sendiri dan juga orang-orang di sekeliling kita.

Barangkali ini merupakan entry terakhir saya sebelum berangkat pulang ke tanah air. Doakanlah keselamatan saya pulang ke tanah air beberapa hari lagi.

6 comments:

aisyah ismail ♥ said...

study no 1 tp da'wa bukan no 2.. ea ke ayat ni? hihi =)

ape pon may Allah bless u n have a safe journey..

yeay yeay.. x sabarnyer nk dpt souvenir~ hehe

mohdnoor said...

thanks2..

souvenir tu, tgkla camne nanti.. byk gak la beli mase pegi mane2.. hehe..

ok, doakan abg slamat nanti..

shahkang said...

salam

manusia sememangnya buta
apabila dikata tentang akhirat
kerna tidak zahir di mata
yang celik hanya pada harta
yang menyenangkan dunia

Post yang bermanfaat :) TQ

mohdnoor said...

salam..

thanks atas perkongsian jugak.. moga masing-masing beroleh manfaat :-)

Shel said...

matnoor..

sangat taching...sobsob.

alhamdulillah kamu sgt matang. keep it up oke sebab akan selalu follow.

cuba nak ubah matlamat idup skrg. doakan ! =)

mohdnoor said...

shela rupenye :-)

Thanks, shela sbb lawat.. anyway, sama2 la ingatkan satu sama lain.. kdg2 diri sendiri yg lupa.. yela, manusia tak perfect..