02 December 2010

Kerdil Tapi Besar..


Salam w.b.t.

Ketika saya menulis entry ini, cuaca di luar sangat sejuk. Salji turun mencurah-curah dari dada langit. Suhu sekarang adalah -9 darjah Celcius. Hari ini, bukan sekadar salji turun dengan lebatnya, malah angin juga begitu kuat. Pemandangan dari jendela rumah saya putih dek salji di merata tempat. Alhamdulillah, Allah Menurunkan kembali nikmat salji di sini. Ada orang kata, apabila keluar dari rumah, terasa bagai masuk ke dalam peti ais. Malah, kadangkala, ketika musim sejuk sebegini, sesetengah orang mengamalkan penjimatan elektrik dengan meletakkan bahan-bahan beku seperti ayam, daging dan sebagainya di luar rumah sahaja, memandangkan kadangkala suhu di luar rumah lebih sejuk dari peti ais sendiri.

Kali ini salji turun dengan begitu awal berbanding biasa. Moga-moga keadaan tidak begitu sejuk sewaktu kemuncak musim sejuk nanti.


Subhanallah. Indahnya ciptaan Tuhan.

Keunikan alam di luar mengingatkan saya dengan kata-kata Syed Qutb.

Masih ingatkah kita dengan tulisan Syed Qutb dalam Muqaddimah Fi Zilal? Syed Qutb mengatakan:
'Aku hidup seolah-olah Allah bercakap kepadaku dengan al-quran ini... Ya, dia bercakap kepadaku, seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan Allah Pencipta Yang Maha Mulia?'

Ya, kita memang kerdil. Sedarkah kita bahawa begitu banyak sekali hidupan lain yang jauh lebih besar dari kita. Dan sedarkah kita bahawa planet bumi yang kita sedang duduki merupakan antara planet terkecil dalam sistem suria ini. Saiz bumi pula adalah kira-kira 1 juta kali lebih kecil berbanding dengan matahari. Matahari pula hanyalah sebuah bintang di galaksi Bima Sakti ini. Dan setiap galaksi pula terbina dari sekurang-kurangnya 10 juta bintang, dan terdapat lebih dari 170 galaksi di dunia ini.


Jika demikian, di manakah letaknya kita di dunia ini. Kita amat kerdil.

Saya teringat firman Allah di dalam surah an-Naziaat: 27- 32.
'Apakah penciptaan kamu yang lebih hebat atau langit yang Dibangun-Nya? Dia telah Meninggikan bangunannya lalu Menyempurnakannya. Dan Dia Menjadikan malamnya (gelap gelita) dan menjadikan siangnya (terang benderang). Dan setelah itu bumi Dia Hamparkan. Darinya Dia Pancarkan mata air dan (ditumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-gunung Dia Pancangkan dengan teguh.' - 79: 27-32

Di dalam ayat ini, Allah menyebut tentang penciptaan-penciptaanNya yang agung. Allah menceritakan tentang langit ciptaanNya yang hebat. Begitu juga dengan kejadian malam dan siang, kejadian bumi yang cukup istimewa, penciptaan mata air, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang.

Sememangnya penciptaan-penciptaan tersebut hebat-hebat belaka.

Namun, akhirnya Allah Menyambung dengan ayat seterusnya:
'(Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.' - 79: 33

Allah Menerangkan bahawa hebat mana pun penciptaan-penciptaan tersebut, semua penciptaanNya adalah untuk manfaat manusia dan haiwan ternakan manusia. Haiwan ternakan pula akhirnya menjadi makanan manusia. Subhanallah.

Besarnya nikmat yang telah Allah Kurniakan pada manusia yang kerdil ini. Sehinggakan kesemua ciptaan yang diciptakan Allah ini adalah untuk kesenangan manusia.

Lebih hebat, Allah s.w.t. menurunkan al-quran juga kepada manusia yang kerdil ini.

Justeru tidak hairanlah Syed Qutb merasakan kata-kata al-quran itu adalah satu penghormatan yang teramat besar buat manusia. Siapalah diri kita yang penuh dengan kekurangan ini. Siapalah diri kita jika dibanding saiz kita dengan makhluk-makhluk lain di alam ini. Namun, Allah s.w.t. Memilih manusia daripada makhluk lain. Betapa besarnya nilai manusia.

Sudah tentu nikmat besar ini wajar diikuti dengan tanggungjawab yang cukup besar. Namun berapa ramai yang sedar.

2 comments:

run^nia in wonderland said...

menarik betul...
-9 celcius...
tak payah guna peti ais pun
air dah jadi ais
^_^

mohdnoor said...

hehe.. -9 degree tu few days ago, ain.. pagi tadi sampai -18 degree.. huhu.. kalau dok luar lama2 sure tak tahan ;p

tp this year winter stat awal la, biasa time ni tak sejuk camni lagi..